Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Melaka – Perkembangan era digital menyaksikan inovasi baharu yang membawa pelbagai perubahan ketara kepada pengarang wanita, khususnya dari segi kreativiti dan produktiviti. Namun begitu, inovasi ini turut datang dengan cabaran seperti pengekalan kualiti karya, isu plagiat serta hak cipta yang tidak dapat dielakkan dan harus ditangani dengan serius.
Hal ini dinyatakan oleh Rebecca Ilham dalam pembentangan bertajuk “Transformasi Penulis Wanita dalam Era Digital” pada Sesi 2 Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Se-Nusantara yang berlangsung di Hotel Noble, hari ini.
Menurutnya, pengarang wanita wajar bergerak seiring perkembangan teknologi agar tidak ketinggalan dalam menghasilkan karya yang segar dan relevan dengan konteks semasa.
Perubahan besar dalam landskap penulisan wanita di Malaysia dapat dikesan sejak tahun 1969 apabila penulis wanita mula diiktiraf melalui kemenangan hadiah sastera utama. Pada ketika itu, kebanyakan mereka terdiri daripada pendidik, pensyarah dan wartawan yang menulis karya realisme menerusi penerbitan konvensional.
Memasuki era digital sekitar tahun 2000, bidang ini semakin terbuka kepada pengarang daripada pelbagai latar belakang. Akses mudah ke rujukan, bengkel, serta penggunaan blog dan media sosial memperluas tema karya, termasuk fiksyen sains, fantasi dan realisme magis.
Kini, pada tahun 2025, teknik penulisan semakin inovatif dengan terbitan kendiri dalam talian semakin lazim. Walau bagaimanapun, cabaran baharu muncul, antaranya isu hak cipta dan keperluan untuk mengekalkan hubungan interaktif bersama-sama dengan pembaca.
Rebecca berkata, era digital membolehkan pengarang wanita mengakses sumber maklumat melangkaui sempadan perpustakaan tradisional. Jelasnya lagi, repositori dalam talian yang terbuka dan sentiasa dikemas kini, bengkel penulisan secara maya, serta langganan digital memberikan peluang pembelajaran berterusan tanpa kekangan masa dan lokasi.
Selain penerbitan bercetak, katanya, platform digital membolehkan karya penulis wanita diterbitkan dan dipasarkan secara lebih luas, termasuk kepada penerbit antarabangsa.
“Peranan ejen penerbitan turut membantu memperluas capaian ke pasaran global. Namun begitu, penerbitan sendiri yang semakin popular menyaksikan penghakisan peranan editor tradisional, sekali gus menambah risiko terhadap cabaran keaslian dan plagiarisme,” katanya.
Teknologi digital membuka ruang kolaborasi rentas negara. Rebecca mengambil contoh projek antologi seperti The Grimoire of Grave Fates oleh Random House, yang mengumpulkan lebih 12 orang pengarang antarabangsa di bawah penyelenggaraan Hanna Alkaf, menjadi contoh keberhasilan kerjasama global.
“Acara sastera digital juga semakin berkembang, antaranya program SUNTIK oleh kumpulan pengarang wanita Sabah sejak tahun 2017 serta Secangkir Kopi Jam 10 oleh Nisah Haji Haron dan Nor Azian M. Isa sejak tahun 2022,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa penggunaan aplikasi mudah alih interaktif, kecerdasan buatan, serta pangkalan data mempercepatkan proses penulisan dan penyelidikan. Selain memudahkan rujukan silang, katanya, teknologi ini membantu meningkatkan kualiti karya, walaupun dalam masa yang sama menuntut pengarang lebih teliti menjaga keaslian.
Dalam konteks semasa, jelasnya, karya pengarang wanita banyak mengangkat persoalan malar segar yang relevan dengan dunia moden. Antaranya persoalan identiti dalam Syumul karya Azmah Nordin, persoalan akidah dan roh dalam Impuls: Roh karya Sri Rahayu Mohd Yusop, serta persoalan etika penyiaran dalam Tabula Rasa karya Hafizah Iszahanid.
Menurut Rebecca Ilham, transformasi ini membuktikan bahawa meskipun era digital membawa cabaran, transformasi ini juga membuka ruang luas untuk pengarang wanita Nusantara mengukir nama, memperluas pengaruh dan membina warisan sastera yang kekal mekar.