Diterbitkan pada 28 Julai 2025, 07:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Abdul Mubin Ismail memohon agar para penyelidik dan pengkritik sastera berlaku adil dalam penyelidikan tentang para penulis Terengganu yang sebenarnya cukup ramai dan masih aktif mengarang.

Berlaku adillah kepada penulis wanita Terengganu, bahawa dari segi kuantiti, Terengganu tidak kurang penulis wanita yang telah sedia menukil nama dan sedang mencipta nama di ujana persuratan tanah air …

Menjelang Perhimpunan Penulis Sastera Wanita Senusantara yang bakal dilangsungkan di Hotel Noble, Melaka Bandaraya Bersejarah pada 1 hingga 3 Ogos 2025 nanti, terimbau semula satu “penemuan ngeri” dalam satu sesi pembentangan bersempena dengan Perkampungan Penulis Wilayah Timur (PPWT) yang berlangsung di Hotel Sudara, Bachok, Kelantan pada 3 hingga 5 Julai 2025 lalu.

Penemuan ngeri yang dimaksudkan ialah bagaimana peserta PPWT diketemukan dengan tanggapan dan pemerhatian dari kaca mata seorang sarjana sastera tanah air, anak kelahiran Terengganu (pemegang Ijazah Doktor Falsafah Kesusasteraan) terhadap kuantiti dan kualiti penulis wanita Terengganu dalam perkembangan sastera negeri dan negara yang kurang tepat dari segi data dan faktanya serta maklumat yang kurang lengkap.

Dapatan dan pembentangan oleh pemakalah berkenaan dalam Wacana Dinamika Penulis Wanita Timur sempena PPWT berkenaan dilihat terlalu daif dan agak tersasar daripada hakikat sebenar.

Amat diakui bahawa ketiadaan atau kurangnya kajian terhadap penulis/sasterawan wanita Terengganu (malah, penulis Terengganu umumnya) serta karya mereka sudah berlaku sejak sekian lama. Sehingga kini pun, jelas terlalu banyak fakta dan data yang tidak dibuat kajian, direkodkan dan didokumentasikan secara sempurna tentang penulis Terengganu.

Hal ini sedemikian, sehinggalah pemakalah berkenaan yang dijemput untuk menyampaikan dapatannya dalam sesi Wacana Perkembangan dan Dinamika Penulis Wanita Terengganu sempena PPWT tersebut, akhirnya terpaksa mengakui bahawa beliau tidak banyak mendapat bahan rujukan kerana terlalu miskin kajian dan keterbatasan sumber dokumentasi. Atau mungkin, dapatannya semata-semata bergantung harap pada “Pak Cik Google”.

Sebelum dilanjutkan, suka ditegaskan bahawa tulisan ini tidak bermaksud untuk mempertikai kebolehan atau merendahkan sesiapa, namun lebih kepada membetulkan sedikit fakta dan data dalam kelompangan kajian lanjut dan ketersisihan dalam membicarakan penulis wanita Terengganu dan karyanya.

Pemakalah memulakan hujahannya dengan mengambil hanya seorang penulis wanita Terengganu yang lahir sebelum Perang Dunia Kedua atau lebih dekat sebelum kemerdekaan, iaitu Tengku Dalam Kalthum Tengku Wook Khazaki. Kemudian, beliau merujuk hanya sebuah karya yang dihasilkan oleh Tengku Dalam Kalthum, juga dengan data (jumlah rangkap syair) yang kurang tepat.

Mengikut rekod sejarah yang sememangnya agak terhad, sebelum Tengku Dalam Kalthum, sekurang-kurangnya telah muncul dua orang penulis wanita Terengganu yang aktif berkarya yang hampir sezaman pada era abad awal ke-20 atau era sebelum merdeka, iaitu Tengku Tuan Bilik yang menghasilkan Kobat Syahar Zaman 1 (fakta sekadar ada yang amat sedikit) dan penyair Wok Aisyah.

Wok Aisyah atau nama sebenarnya Hajah Wok Aisyah binti Al-Haji Nik Idris yang dilahirkan dan dibesarkan di Teluk Pasu, Kuala Terengganu (1883 – 1937) berjaya menghasilkan nashkah Syair Tuan Hampris, sebuah syair pensejarahan yang tertumpu pada zaman yang ditempuhi oleh Penasihat British yang pertama di Terengganu (dilantik pada 24 Mei 1919), iaitu J.L. Humhpreys.

Wok Aisyah sememangnya mempunyai bakat sebagai penyair. Walaupun hingga setakat ini, ketunggalan karyanya agak nyata, namun ada kemungkinan terjumpanya karya-karya beliau yang lain, jika diselidiki lebih lanjut. Kemudian barulah munculnya cucunda kepada Sultan Zainal Abidin III, iaitu Tengku Dalam Kalthum.

Antara ketiga-tiga penulis wanita awal Terengganu ini, Tengku Dalam Kalthum dianggap sebagai penulis/penyair yang lebih menyerlah dan unggul dalam konteks kualiti dan kuantiti penghasilan karyanya.

Tengku Dalam Kalthum telah menghasilkan syair Melayu terpanjang (tetapi tidak pernah diiktiraf oleh mana-mana pihak) Syair Tawarikh Sultan Zainal Abidin III atau dikenali juga sebagai Riwayat Terengganu Darul Iman yang mengandungi 3084 rangkap (telah dicetak oleh The Ahmad Press [Ahmadiah Press] Singapura dalam dua jilid. Jilid pertama mengandungi 1541 rangkap manakala jilid kedua mengandungi 1534 rangkap bertulisan jawi). Karya berkenaan telah diterbitkan setelah ditulis oleh Tengku Dalam Kalthom selama dua bulan, sekitar April 1936 dan Jun 1936.

Selain karya yang dianggap adikarya (masterpiece) Tengku Dalam Khalthum itu, baginda juga telah menghasilkan Khatim (karangan berangkap berbentuk nazam berbahasa Melayu dan Arab), Syarif ul-Akhtar (karang prosa dan puisi berunsur Islam dalam sembilan jilid buku catatan), Syamsul Anwar (karangan prosa berunsur Islam), Syah Kobat, Khobat Syahar Zaman, Khobat Syah Riar (cereka Islam dalam 36 jilid buku catatan), Gharib (karangan berangkap 15 jilid buku catatan), Hikayat ul-Nasib, Cik Siti Lela, dan Asyik (karangan berangkap berupa nasihat untuk kanak-kanak dalam tujuh jilid buku catatan).

Tidak keterlaluan andai dikatakan, sekiranya pada era berkenaan telah wujud anugerah/hadiah sastera, Tengku Dalam Kalthum sudah layak untuk dinobatkan sebagai Sasterawan Negara atau setidak-tidaknya Sasterawan Negeri atau penulis awal tanah air yang menerima anugerah persuratan di Nusantara seumpama SEA Write Award atau Hadiah Sastera MASTERA.

Perkara kedua yang disentuh oleh pemakalah berkenaan terkait dengan kualiti dan kuantiti serta tahap pengiktirafan penulis wanita Terengganu daripada pencapaian dan pengiktirafan yang diterima oleh beberapa negeri lain dalam Malaysia, terutamanya Kelantan.

Amat diakui, selepas merdeka, dari segi kualiti dalam apa-apa bidang sekalipun, Kelantan mendahului banyak negeri lain di Malaysia. Demikian dalam bidang bahasa dan sastera. Contohnya dalam bidang bahasa, Kelantan ada tokoh bahasa wanita bernama Nik Safiah Karim, sedang Terengganu tidak dapat dinafikan, masih tiada yang setanding dengan Nik Safiah Karim. Dalam sastera, Kelantan ada tokoh wanita (malah dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Kelantan pertama dan penulis yang pernah menolak SEA Write Award) Fatimah Busu. Terengganu sehingga kini masih belum ada.

Tanpa berbasa-basi dengan pelbagai kerenah birokrasi dan politik bahasa sastera dan seumpamanya, diakui bahawa Terengganu pada zaman moden ini masih belum mampu menzahirkan seorang tokoh penulis wanita yang boleh diangkat setinggi Fatimah Busu, Adibah Amin, Zaharah Nawawi, Khadijah Hashim, Azmah Nordin, Mawar Safei, Aminah Mokhtar, Siti Zaleha M. Hashim (sekadar menyebut beberapa nama), kalaupun tidak setaraf Sasterawan Negara Zurinah Hassan dan Siti Zainon Ismail. Namun hakikatnya, berlaku adillah kepada penulis wanita Terengganu, bahawa dari segi kuantiti, Terengganu tidak kurang penulis wanita yang telah sedia menukil nama dan sedang mencipta nama di ujana persuratan tanah air.

Persoalannya (dengan nada penuh simpati), ada yang bersoal. Kenapa sasterawan Terengganu terpinggir dalam penerimaan anugerah tertinggi dalam bidang penulisan/sastera negara? Sekali lagi jawabnya, “Berlaku adillah kepada penulis Terengganu”. Tragedi “politik sastera” yang menimpa Almarhum penyair T. Alias Taib, Almarhum cerpenis Razak Mamat, Almarhumah novelis dan cerpenis Zaharah Ibrahim, Almarhum novelis Aziz Afkar, Almarhum sasterawan Ali Jusoh, Almarhum cerpenis A. Rahman C.M., Sasterawan Negeri Terengganu Sharif Putera, Sasterawan Negeri Terengganu S.M. Noor, sasterawan dan teaterwan Wan Ahmad Ismail, dan beberapa nama besar lain dalam sastera dan persuratan di Terengganu, wajar diiktibarkan. Apa tragedinya? Biarlah rahsia kepada mereka yang mengetahuinya.

Seterusnya, pemakalah mempersoalkan kehadiran penulis wanita Terengganu ke PPWT yang padanya amat mendukacitakan, sedangkan forum itu membincangkan dinamika dan perkembangan penulis wanita Pantai Timur (termasuk Terengganu) dulu, kini dan akan datang.

Realitinya, nama penulis wanita Terengganu yang hadir sama (sebagai peserta perkampungan) pun tertinggal dalam pembentangan pemakalah berkenaan. Yang hadir “tercokoh” sebagai peserta di hadapan beliau hanya disebut Mahanie Sulong sahaja (itu pun mungkin pemakalah berkenaan tak kenal pun Mahanie Sulong), sedangkan yang ada dalam sesi wacana berkenaan sahaja termasuklah Rozais Al-Anamy (cerpenis/penyair yang pernah menang Hadiah Sastera Perdana Malaysia), Nazira Mohd Nor (novelis yang sudah menghasilkan 10 buah novel, termasuk terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka serta puluhan cerpen dan kerap kali menang pelbagai sayembara penulisan), Che Jamilah A.R (cerpenis dan penyair prolifik Terengganu), Dr. Fouziah Mohamad (cerpenis dan novelis kanak-kanak), penulis novel popular kelahiran Besut yang amat prolifik dan membuka meja menjual puluhan karyanya di perkampungan itu, serta beberapa orang penulis muda wanita yang baru mula berjinak-jinak dengan dunia kreatif tanah air, tetapi sudah menang beberapa sayembara mahupun anugerah sastera peringkat negeri dan wilayah serta kebangsaan.

Pembentangan menjadi semakin cacat apabila hanya disebut (beliau mengakui tidak menemui nama-nama lain) beberapa nama penulis wanita Terengganu yang muncul semenjak selepas kemerdekaan. Banyak nama yang tertinggal dalam hampir semua genre dominan mereka. Lebih mencacatkan, pemakalah menyenaraikan beberapa orang yang kononnya “penulis” wanita Terengganu, tetapi genre dominannya tidak tepat, malah ada yang bukan penulis pun (tidak pernah menghasilkan karya sastera/kreatif waima sebuah sajak) turut disenaraikan sebagai penulis, walhal “penulis” berkenaan merupakan seorang aktivis kesenian dan kebudayaan. Terdapat tiga nama kononnya “penulis wanita Terengganu”, sedangkan mereka sebenarnya aktivis teater dan kesenian di tanah hitam putih itu.

Sebarisan penulis wanita Terengganu sewajarnya disebut dalam apa-apa sahaja perbincangan dan atas nama penulis wanita Terengganu. Terutama apabila membincangkan perkembangan dan dinamika penulis selepas kemerdekaan/dalam alaf baharu.

Sewaktu sesi soal jawab, ada persoalan provokasi, kenapa jurang kualiti dan kuantiti ini berlaku dalam kalangan penulis Terengganu berbanding dengan penulis wanita negeri Kelantan sendiri. Jawapan pemakalah juga amat mengecewakan. Tanpa merujuk fakta sejarah atau fakta daripada penulis-penulis lama dan mapan yang masih setia ada di Terengganu atau dalam Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) sendiri misalnya, pemakalah terus menuding jari ke pelbagai arah yang tidak dinamakan dan jelas cuba bermain selamat.

Jawapan seumpama tidak ada pembicara yang membicarakan penulis-penulis berkenaan, tidak ada program berupa seminar atau seminar pemikiran atau wacana terhadap penulis wanita Terengganu, tiada pihak yang berusaha mengumpul fakta dan data berkaitan, tiada pusat dokumentasi yang mudah diakses oleh para peminat dan pengkaji sastera negeri dan seumpamanya, agak umum sifatnya. Realitinya, jawapan-jawapan di atas lebih menyerlahkan kelemahan pemakalah dalam usaha mengorek maklumat lengkap dan tepat terkait penulis wanita Terengganu atau apa-apa usaha yang telah dilaksanakan oleh banyak pihak di Terengganu.

Untuk makluman, seperti disebut, semua persoalan di atas jawabnya ada. Contohnya sebelum ini, selain program khusus secara berkala untuk penulis wanita dan penulis-penulis tersohor Terengganu, dalam setiap perkampungan sempena sambutan ulang tahun PELITA seperti Sambutan 10 Tahun PELITA (1976), Sambutan 25 Tahun PELITA (1991), Sambutan 40 Tahun (2006), dan insya-Allah tahun hadapan (2026) akan diadakan Sambutan Jubli Intan 60 Tahun PELITA, sudah tercatat, ada slot khusus untuk penulis wanita.

Dalam setiap program ini, diadakan pembentangan kertas kerja membicarakan penulis dan karyanya. Kekuatan dan kelemahannya mahupun mengupas pemikiran penulis dalam karya-karyanya. Ini secara automatiknya menjawab persoalan tiada orang yang menulis dan membicarakan penulis wanita Terengganu. Tinggal lagi, sebagai pemakalah, sepatutnya lebih tekun dan rajin memunggah dan merujuk maklumat dan fakta berkaitan di institusi-institusi berkaitan di Terengganu. Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu sendiri misalnya, ada bahagian Koleksi Terengganu dan koleksi peribadi beberapa penulis Terengganu di sana. Hampir semua karya dan maklumat berkaitan penulis Terengganu boleh diperoleh dengan percuma.

Lebih mendukacitakan apabila pemakalah menjawab dengan yakin bahawa tidak banyak wacana seumpama ini (wacana berkaitan penulis dan karyanya) dianjurkan, sekali gus bermaksud tiadanya tokoh pemakalah yang membicarakan para penulis Terengganu. Ironinya apabila diberi peluang, disediakan ruang diskusi dan kajian yang terhidang, jemput Profesor Dr. Falsafah (PhD Sastera) anak tempatan sebagai pemakalah pun, fakta yang dibentangkan semata-mata bergantung pada “Pak Cik Google”. Hal ini menjadikan data pembentang ke laut, maklumat sekadar tersangkut kail umpan.

Kita mempertikaikan orang lain yang tidak membicarakan penulis atau penulis wanita Terengganu. Kita sendiri setelah diberi peluang membicarakannya, apa yang kita usahakan? Itulah akibatnya. Maka jangan hairan, Terengganu akan senantiasa tertinggal dalam apa-apa sahaja bidang.

Pada pembentangan itu juga, pemakalah berdalih dengan hanya menyenaraikan beberapa nama penulis wanita tersohor atau yang pernah menerima anugerah (negeri/kebangsaan/antarabangsa) sahaja (kurang lebih 10 orang sahaja disebutkan sepanjang pembentangan). Walhal sebenarnya, tidak lengkap kerana tiada maklumat diperoleh. Misalnya, penulis wanita yang pernah menang Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) semenjak tahun 2013 lalu sendiri sudah melepasi angka 10, dan mereka masih terus aktif dan menang pelbagai hadiah sehingga kini. Akan tetapi, tersisih daripada senarai pembentangan. Malah, ada nama yang dikatakan yang pernah menerima anugerah, terselit nama yang semua orang tahu, penama itu hanyalah seorang “aktivis rumah sastera” sahaja.

Nama-nama lain yang masih berangkai, seolah-olah disisihkan dalam pembicaraan. Penyair Nawawee Mohamad dalam kata pengantar Antologi Sajak 27 Penyair Wanita Terengganu, Cempaka, Pinjamkan Kami Wangimu (PELITA-Pena Subur, 2021) pernah menganggap bahawa antologi CPKW sebagai sebuah antologi sajak penulis wanita peringkat negeri paling lengkap dan menyeluruh yang pernah diterbitkan di Malaysia. Senarai 27 Penyair Wanita Terengganu penyumbang (yang masih hidup) tidak pun dibicarakan, apatah lagi untuk membicarakan karya-karya mereka dalam antologi setebal 190 halaman itu. Malah, antologi itu sendiri berkemungkinan tidak pernah ditemui oleh banyak orang, terutama pengkaji dan peminat sastera.

Sebarisan penulis wanita Terengganu sewajarnya disebut dalam apa-apa sahaja perbincangan dan atas nama penulis wanita Terengganu. Terutama apabila membincangkan perkembangan dan dinamika penulis selepas kemerdekaan/dalam alaf baharu. Mereka termasuklah yang telah berpulang ke negeri abadi, termasuk Zaharah Ibrahim, Nafisah Ali dan Haslina Salleh. Mereka telah meninggalkan khazanah penulisan yang bermakna dan menjadi sebutan para pengkaji sastera tanah air.

Hakikatnya, selama berdekad-dekad ini, Terengganu sudah boleh berbangga kerana terdapat penulis wanita yang terus mengisi persada sastera tanah air dengan sejumlah naskhah novel, sajak, cerpen, skrip drama (TV, radio dan pentas), esei, dan genre lain yang tidak mungkin dapat disebutkan judul karya mereka satu per satu di ruangan yang terbatas ini. Sebahagian besar daripada mereka telah mendapat penghargaan dan pengiktirafan hasil ketekunan dan keakraban mereka menukangi karya sepanjang zaman daripada pelbagai sayembara/hadiah sastera tanah air.

Catatan ini sedikit sebanyak sebagai membuktikan bahawa para penulis wanita Terengganu berada pada saf dan kedudukan yang sudah setaraf dengan para penulis tersohor tanah air yang lain, sekali gus menolak dapatan dangkal sesetengah “pengkaji” sastera yang tidak mengkaji.

Apa tidaknya. Ke mana menghilangnya (dari radar kajian) nama-nama penulis wanita Terengganu yang muncul bermula era 60-an dan era-era seterusnya, termasuk Raja Fauziah, Nafisah Ali, Salmah Mohd Zin, Wan Seri Zaiton, Nor Aini Muhammad, Maznah Ali, Mahanie Sulong, Roqiyah Yusof, Che Jamilah AR, Wan Thuwaibah Ghazali, Sabariah Nor Salleh, Jamilah Harun, Norlaila Ghafar, Kamariah Kamaruddin, Nurzaliza, Wan Zalina Razali, Tuan Faridah Abdullah, Zaitun Abdullah, Normah Mustaffa, Dyza Ainun, Wan Asmah Ismail, Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali, Fouziah Mohd, Zahari Akil, Rohani Abdullah, Fatimah Ngah, Nazira Mohd Nor, Wan Dayang, Nik Dahna, Rozais Al-Anamy, Nazifah Awi, Lelawati Awang Chik, Raja Nordiana, Romaini Mustaffa, Wan Norsiah Abdullah, Tengku Anizan Tengku Ibrahim, Zubaidah Hassan, Nur Cahya, Siti Hawa Ibrahim, R’zie Ibrahim, Asmawati Mohd Ali, Fazila Adam, Puteri Idayu Laili, Rohani Said, Arina Abd Rahman, Roslina Muhammad, Rosmaniar Ramly, Rosemawati Arifin, dan Shahidah Manaf?

Sebahagian besar daripada mereka masih berkarya sehingga kini. Masih menerima deretan penghargaan dan pelbagai hadiah serta anugerah.

Menyusuli mereka di belakang ialah penulis wanita generasi baharu yang menjadi harapan Terengganu, antaranya terdiri daripada Fatin Nabila, Mazni Aznita, Indah Hairani, Emillia Munira, Anggerik Desa, Hanani Daud, Nur Aklamiah Alias, Nurul Adnie Bahiah Zahaba, Sayidah Mu’izzah, Aishah Yazid, Amla Rawi, Siti Zulaikha Adam, Guru Kidal, Aina Huda Aminuddin, Alya Husna Azha, dan sebarisan penulis wanita terkini yang tekal berkarya di luar kompas PELITA.

Bersetuju atau tidak, terserah pada penilaian masing-masing bahawa dari segi kualiti (gred A+), wajar mengakui bahawa penulis wanita Terengganu sehingga kini sukar untuk mengatasi seorang dua penulis wanita di beberapa negeri lain, termasuk Kelantan. Akan tetapi, dari segi kuantiti dan kualiti “gred A atau A-”, Terengganu sudah berjaya melahirkan sebegitu ramai penulis wanitanya dan berada dalam kelasnya yang tersendiri. Tinggal lagi, berlaku adillah kepada penulis Terengganu.

_________________________

Abdul Mubin Ismail atau Mubin Ismail penulis kelahiran Terengganu yang menulis dalam pelbagai genre semenjak berusia 15 tahun. Mengabdikan diri dengan Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) lebih 40 tahun dan kini diamanahkan selaku Ketua Dua PELITA sejak tahun 2012. Dalam PELITA, beliau bersama-sama beberapa pengasas PELITA yang masih ada, digelar sebagai “direktori bergerak” oleh pengalamannya bersama-sama rakan penulis Terengganu dan jatuh bangunnya PELITA di Terengganu.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi