Diterbitkan pada 15 Julai 2025, 07:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Banting – Ketika proses pendidikan sering dinilai melalui angka dan gred, Hari Puisi Nasional (HPN) ke-23 yang berlangsung di Hotel Villea Morib pada 11 hingga 13 Julai 2025 membuka ruang untuk kembali merenung asas sebuah sistem pendidikan yang benar-benar “mendidik”, iaitu melalui puisi.

Sesi wacana bertemakan “Puisi dan Pendidikan: Memanusiakan Manusia” telah mempertemukan Dr. Shamsudin Othman, YBrs. Prof. Dr. A. Halim Ali dan Encik Amiruddin Md. Ali Hanafiah tentang usaha membawa suara sastera ke ruang pendidikan.

Menurut Dr. Shamsudin, “Puisi bukan hanya untuk peperiksaan. Susunan kata yang indah itu sebenarnya untuk membentuk jiwa.

“Sayangnya, sistem kita mengajar pelajar menganggap puisi atau bahan sastera sebagai alat tanpa menyelami makna sebenarnya.”

Beliau menyingkap realiti semasa pendidikan sastera yang semakin hilang sentuhan rasa dan makna kemanusiaan kerana sistem yang mengawal pendidikan negara.

Sementara itu, Prof. A. Halim menyuarakan kebimbangan terhadap penyusutan ruang puisi dalam kurikulum.

“Jika sastera ditanggalkan dari bilik darjah, kita tidak hanya hilang puisi tetapi kita hilang kepekaan.

“Kita hilang manusia dan jangan mengharap nilai manusiawi itu ada dalam bidang lain,” katanya.

Amiruddin pula mengajak pendidik agar tidak sekadar melihat puisi sebagai teks, tetapi sebagai nadi masyarakat.

“Dengan puisi, pelajar belajar empati, belajar mentafsir dunia dengan lebih halus,” katanya.

Sesi ini merupakan salah satu pengisian program HPN ke-23 anjuran Persatuan Penulis dan Kebajikan Negeri Selangor (KEMUDI) dengan kerjasama Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kredit Foto: Mohamad Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi