Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 10 Julai 2025, 22:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Putrajaya – Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) tidak seharusnya dilihat sebagai sekadar acara tahunan, sebaliknya perlu menjadi pemangkin inisiatif yang lebih besar dalam usaha memasyarakatkan sastera kepada khalayak demi pemerkasaannya yang berterusan.

Menurut Menteri Pendidikan, YB Puan Fadhlina Sidek, tempoh penilaian dua tahun bagi HSPM wajar dimanfaatkan sepenuhnya untuk merangsang pembinaan karya sastera yang bermutu serta memperluas akses masyarakat terhadap khazanah kesusasteraan negara.

“Komitmen ini mesti disambut oleh pemimpin negara dengan membawa acara ini ke dalam masyarakat dan memperjuangkan kembali peranan sastera yang seharusnya dekat dengan masyarakat,” katanya ketika berucap dalam Majlis Penyampaian HSPM 2021/2022 di Hotel Zenith, petang tadi.

Selain itu, beliau menyeru agar gerakan pemasyarakatan sastera tidak hanya bergantung pada pelaksanaan HSPM semata-mata, tetapi memerlukan pelibatan menyeluruh dan berterusan daripada semua pihak.

“Sekiranya usaha ini dibina bersama menerusi keluarga dan masyarakat secara berakar umbi, dengan kefahaman bahawa sastera mampu membangunkan manusiawi dalam diri, saya percaya bahawa inilah antara kejayaan besar dalam perjuangan memartabatkan sastera negara.

“Kita harus kembali mempopularkan lagu puisi, menyediakan ruang refleksi kepada anak-anak dalam program yang memperkenalkan karya yang telah memenangi acara ini sebagai bahan bacaan mereka,” ujarnya.

“Jika naratif sastera itu kuat, mewakili suara masyarakat dan idealisme perjuangan, maka itulah nilai yang kita mahu terapkan dalam masyarakat,” tambahnya lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata bahawa pihak Kementerian Pendidikan Malaysia berbesar hati untuk mengangkat karya-karya pemenang HSPM kali ini untuk dijadikan sebagai teks Komponen Sastera (KOMSAS) dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

Kata beliau, teks KOMSAS dipilih daripada karya sastera yang berkualiti kerana karya sastera yang bermutu merupakan bahan penting dalam proses pendidikan pelajar demi memperkenalkan khazanah kesusasteraan sejak di bangku sekolah.

Beliau turut menegaskan bahawa HSPM bukan sekadar medan pengiktirafan, sebaliknya menjadi landasan penting yang memperkukuh asas penulis untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi dalam dunia kesusasteraan.

“Banyak sekali ruang dari aspek melihat potensi anak-anak kita untuk terlibat secara langsung, termasuk program yang membina seperti Minggu Penulis Kanak-kanak dan diikuti oleh Minggu Penulis Remaja, yang menjadi wadah utama untuk membentuk penulis generasi baharu yang bukan sahaja berbakat, tetapi juga berfikir secara kritis dan matang,” jelasnya.

Jelas beliau, ruang ini sangat penting dan banyak penulis besar dan tersohor tanah air telah berjaya dilahirkan melalui ruang yang disediakan secara aktif dan progresif, demi memperkaya landskap kesusasteraan negara.

HSPM yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia sejak tahun 1971 merupakan anugerah sastera paling berprestij pada peringkat nasional bagi mengiktiraf karya sastera bermutu tinggi.

Penganugerahan HSPM bertujuan untuk memberikan pengiktirafan bertaraf kebangsaan kepada para penulis atas karya bermutu yang dihasilkan, di samping menggalakkan penerbit untuk terus menerbitkan karya sastera berkualiti dalam bahasa Melayu.

Majlis penyampaian hadiah turut dimeriahkan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan, YB Tuan Wong Kah Woh; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, YBrs. Dr. Mohd Azam Ahmad; serta Sasterawan Negara.

Kredit Foto: Farid Janudin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi