Zulhilmi bin Shalehuddin .
Diterbitkan pada 28 Jun 2025, 17:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu — Wacana Puisi ASEAN 2025 menyaksikan perbahasan aspek utama dalam penulisan puisi esei meliputi teori sastera tempatan, penggarapan tema, karakter lokal, elemen rasionalisme dan pemasyarakatannya terhadap generasi muda dikenal pasti memainkan peranan signifikan dalam membentuk kekuatan puisi tersebut sebagai sebuah genre yang dinamik dan berwibawa.

YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Ali

Pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, YBhg. Profesor Dr. Abdul Halim Ali ketika membentangkan kertas kerja bertajuk “Teori Sastera Malaysia Pemersatu Sastera Nusantara” menyatakan bahawa dunia sastera tempatan masih terperangkap dalam kerangka pandangan Barat dan belum benar-benar bebas daripada bayangan imperialisme intelektual.

Menurut beliau, kesedaran untuk kembali kepada jati diri dan identiti bangsa bermula sejak akhir 1980-an dan awal 1990-an, dengan usaha yang diterajui oleh tokoh sastera seperti Shahnon Ahmad dan Kassim Ahmad melalui teori kesusasteraan yang berteraskan nilai tempatan serta kearifan budaya setempat.

“Kita harus menghargai para perintis ini yang percaya bahawa kita memiliki kekuatan dan jati diri untuk menghasilkan karya berasaskan pemikiran dan perspektif kita sendiri,” ujar beliau.

Beliau menjelaskan bahawa gagasan teori sastera Malaysia bukan bertujuan menolak sepenuhnya teori Barat, sebaliknya menawarkan pendekatan alternatif yang lebih serasi dengan latar budaya dan nilai masyarakat Nusantara.

Dalam konteks sastera Nusantara, beliau menegaskan bahawa perspektif kebaratan tidak boleh lagi menjadi landasan utama, sebaliknya pendekatan sastera tempatan yang dihasilkan perlu mendukung ilmu, menzahirkan kebijaksanaan, memancarkan keindahan bahasa, memperkukuh nilai kesusasteraan, lalu memberikan manfaat kepada masyarakat, menegakkan kebenaran serta mendekatkan diri kepada Tuhan.

YBhg. Profesor Dr. Azhar Wahid.

Seiring dengan itu, rakan sejawatnya, YBhg. Profesor Dr. Azhar Wahid dalam pembentangan kertas kerja beliau turut menyentuh kerelevenan keberadaan karakter lokal dalam karya sastera, khususnya di Malaysia.

Pembinaan karakter lokal yang terdiri daripada pahlawan terbilang dan pemimpin berjuang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Antanom, berperanan sebagai alat keaslian, medium pendidikan, selain membentuk identiti karya dan budaya serta membangunkan jalan cerita dan naratif nasional.

Beliau turut berpandangan bahawa penulis prolifik tempatan seperti Jasni Matlani dan Ramlee Awang Murshid menggunakan karakter lokal dalam karya mereka untuk mengambarkan nilai, konflik dan pemikiran masyarakat, seterusnya mengangkat warisan budaya serta mendekatkan pembaca dengan isu-isu setempat.

Tambah beliau, “Penulisan karya kreatif mahupun rencana yang dihasilkan oleh para penulis seharusnya selaras dengan hasrat masyarakat yang mempunyai hubungan rapat dengan sejarah perjuangan sesuatu bangsa.”

Tuan Haji Awang Suip Abdul Wahab.

Selain itu, Pemangku Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Brunei, YBrs. Tuan Haji Awang Suip Abdul Wahab dengan kertas kerjanya bertajuk “Puisi Esei: Mengikat Kebersamaan, Merangkul Perbezaan” menjelaskan bahawa puisi esei bukan sekadar menyentuh isu-isu permukaan, tetapi menyelam jauh ke dasar emosi, perasaan dan refleksi intelektual.

Analisis beliau terhadap tiga buah puisi esei dari rantau ini, iaitu “Sapu Tangan Fang Yin” (Indonesia), “Tingkah Seorang Pahlawan” karya Aminah Sambion (Malaysia) dan “Perintah Kanun Jenayah Syariah: Neraca Allah” oleh Adi Rumi (Brunei) memperlihatkan keragaman tema tetapi menyatu dalam semangat kebersamaan.

“Dalam dunia yang semakin berpecah oleh politik dan identiti, puisi esei tampil (dalam satu persamaan) sebagai bahasa penyatuan yang lembut tetapi kuat, mengikat kita dalam satu suara yang saling memahami dan merangkul perbezaan. Puisi esei ialah suara zaman,” ujarnya.

Seorang lagi ahli panel dari negara jiran yang sama, YBrs. Dr. Mohammed Zefri Ariff Mohammed Zain Ariff yang merupakan pensyarah Jabatan Kesusasteraan Melayu, Universiti Brunei Darussalam berkata, elemen rasionalisme dalam puisi esei melibatkan hukum logik, sebab musabab dan fakta kebenaran yang merupakan rujukan dalam penulisannya.

“Asas rasionalisme baharu berlandaskan kepada konteks pemerhatian teliti, penaakulan logik dan bukti empirikal yang melihat kepada sejarah,” katanya.

Tambah beliau, teori “rasionalisme baharu” semakin popular dalam kalangan intelektual kerana pendekatan berkenaan membina rangka kerja yang kukuh untuk membezakan fakta dengan fiksyen dalam era banyaknya penyebaran berita palsu; menawarkan alternatif rasional kepada penjelasan agama, perkara ghaib untuk fenomena alam; serta menggalakkan individu mencari ilmu dan terlibat dalam wacana yang bermakna.

Gol A Gong.

Turut berkongsi pandangan ialah penulis prolifik dan aktivis literasi Indonesia, Heri Hendrayana Haris atau lebih dikenali sebagai Gol A Gong, yang memperkenalkan genre puisi esei mini kepada golongan remaja, khususnya Generasi Z di Indonesia ketika ini.

Kemunculan puisi esei pada tahun 2012 yang digagaskan oleh Denny JA dari Indonesia membuka dimensi baharu dalam dunia puisi moden.

Gol A Gong juga menganggap bahawa pelancaran puisi esei mini dengan 500 patah perkataan dalam Festival Puisi Jakarta ke-2 tahun lalu merupakan platform yang berkesan untuk mendidik generasi muda berfikir secara kritikal dan kreatif.

Beliau kini mengendalikan laman media dalam talian golagongcreative.com dengan sokongan Denny JA Foundation telah menawarkan peluang kepada generasi muda yang berminat menghasilkan karya puisi esei mini.

Gol A Gong menyeru agar penghasilan karya puisi esei tidak hanya didominasi oleh kelompok tertentu, sebaliknya perlu diperluas kepada generasi baharu demi memupuk keprihatinan mereka terhadap persekitaran dan isu-isu masyarakat sekeliling.

Sementara itu, penganjuran program Wacana Puisi Esei ASEAN 2025 yang berlangsung di Hotel Horizon semalam telah menampilkan ahli panel dari pelbagai negara di rantau Asia Tenggara bagi mengupas pengkaryaan puisi esei yang dilihat sebagai genre yang berpotensi membawa semangat kebersamaan di bawah payung ASEAN.

Yang turut hadir dalam wacana tersebut ialah Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), YBhg. Datuk Jasni Matlani; Ketua Pengarah DBP, YBrs. Hazami Jahari; Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai; Pengarah DBP Cawangan Sabah, YBrs. Puan Jennitah Noordin, Ketua-ketua Bahagian DBP, Ketua-ketua Editor DBP, karyawan DBP, wakil persatuan, serta para penggiat sastera dari rantau ASEAN.

Gol A Gong (kanan) bersama-sama dengan Presiden Badan Bahasa dan Sastera Sabah (Bahasa), YBhg. Datuk Jasni Matlani (tengah) dan Ketua Pengarah DBP, YBrs. Hazami Jahari (kiri) menampilkan antologi puisi esei terkini beliau, Jejak Luka di Kaki Ciremai.
Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi