Diterbitkan pada 28 Jun 2025, 17:04

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu — Usaha memartabatkan kearifan lokal dalam puisi esei tempatan Sabah menjadi tonggak penting dalam aspirasi menjadikan Kota Kinabalu sebagai Kota Sastera Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Penulis dan penyelidik sastera Sabah, Dr. Siti Aisyah Mat Saad, berkata demikian dalam pembentangannya bertajuk “Puisi Esei: Pendekatan Kearifan Lokal” di Wacana Puisi Esei ASEAN 2025 yang berlangsung di Hotel Horizon, Kota Kinabalu, petang semalam.

Menurutnya, pendekatan kearifan lokal dalam puisi esei tempatan Sabah merangkumi pelbagai aspek identiti etnik dan budaya negeri itu, termasuk bahasa dan dialek, mitologi serta legenda tempatan, di samping unsur alam dan geografi yang membentuk naratif kehidupan masyarakat setempat.

Dr. Siti Aisyah mengambil contoh dialog dalam puisi esei “Kisah Labuku dan Kiambang Bertaut” karya Sitti Rahmah G. Haji Ibrahim dalam antologi Kemilau Satu Langit mengangkat memori migrasi yang berlaku di Sabah.

“Beginilah untuk meneruskan sebuah kehidupan apabila kakak kembara dan dibawa ke Tawau menaiki kapal tongkang,” ujarnya.

Tambah beliau, penulis-penulis kini perlu lebih giat mengangkat kisah mitologi seperti legenda Arung Salamiah dari Semporna yang diolah semula ke dalam bentuk puisi esei, selain merakam peristiwa sebenar di kampung, tragedi masyarakat dan flora fauna setempat, sekali gus menjadikan karya lebih dekat dengan pembaca.

“Bahasa sungai dan dialek tempatan juga boleh disuntik ke dalam dialog atau monolog puisi esei bagi memperkukuh suara tempatan dalam arena sastera serantau,” katanya lagi.

Mengulas perkembangan puisi esei di Sabah, Dr. Siti Aisyah turut menyentuh kekeliruan awal dalam pemahaman genre tersebut.

“Terdapat persoalan yang timbul seperti ‘yang mana puisinya, yang mana eseinya? Yang mana puitis, yang mana prosanya?’ Maka, transformasi kesusasteraan puisi dan prosa berlaku untuk memurnikan bentuk ini,” ujarnya.

Beliau menyimpulkan bahawa perubahan dalam bentuk dan pendekatan penulisan, daripada puisi tradisional kepada puisi moden, hingga kepada puisi esei adalah wajar dan selaras dengan perkembangan zaman serta keperluan memperkukuh identiti kesusasteraan tempatan.

Sebagai rekod, Wacana Puisi Esei ASEAN 2025 menghimpunkan penulis, penyelidik dan penggiat sastera dari seluruh rantau untuk membincangkan perkembangan genre puisi esei sebagai wadah ekspresi dan dokumentasi isu semasa dan budaya setempat.

Kredit Foto: Adib Zulkifli
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi