Diterbitkan pada 28 Jun 2025, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Kinabalu – Penulis dan penyunting buku dari Indonesia, Encik Jonminofri Nazir, mengetengahkan panduan praktikal dan teknik mendalam untuk menghasilkan puisi esei yang berkualiti dalam sesi Seminar Wacana Puisi Esei ASEAN 2025 yang berlangsung di Hotel Horizon petang semalam.

Dalam pembentangannya, Jonminofri menjelaskan bahawa kekuatan utama puisi esei terletak pada kisah benar yang difiksyenkan dengan elemen dramatik, sekali gus menyentuh emosi pembaca.

“Pilihlah satu peristiwa yang menggugat rasa kemanusiaan kita, sama ada isu pelanggaran hak asasi, ketidakadilan atau bencana kemanusiaan.

“Peristiwa itu boleh berlaku di mana-mana, di luar negara atau lebih dekat dengan kita,” ujar beliau.

Menurut beliau, walaupun puisi esei memerlukan elemen fakta, kekuatan sebenar karya itu terletak pada cara fakta tersebut diadun dengan fiksyen.

Beliau menegaskan bahawa “fakta sedikit, fiksyen lebih banyak” merupakan formula ideal untuk menghasilkan puisi esei yang menggugah.

Jonminofri turut berkongsi bahawa setiap puisi esei perlu berpaksikan catatan kaki yang merujuk kisah benar yang diangkat dalam karya.

Catatan ini mestilah bersumberkan berita atau maklumat yang boleh dipercayai, agar puisi esei tidak terjerumus dalam menyebarkan maklumat palsu.

“Dalam puisi esei, nota kaki itu ‘ibu’ kepada puisi. Nota itu menjadi asas dan sumber yang menentukan arah dan jiwa puisi itu,” katanya lagi.

Untuk menjadikan karya lebih hidup, beliau menggalakkan penggunaan teknik dramatik seperti pembinaan watak, konflik dan plot cerita.

Dialog atau monolog oleh watak utama juga boleh dimasukkan bagi menambah emosi dan menjadikan naratif lebih dekat kepada pembaca.

Beliau turut menekankan penggunaan laras bahasa yang komunikatif agar mudah difahami semua peringkat, termasuklah pelajar sekolah, tanpa mengorbankan kekayaan bahasa puisi seperti metafora, simbolisme dan hiperbola.

Sebagai penutup, beliau mencadangkan agar panjang puisi sekitar 500 patah perkataan agar sesuai untuk pembacaan pentas dalam tempoh lima minit agar pendekatan persembahan puisi esei semakin mendapat tempat dalam pelbagai lapisan masyarakat.

Pembentangan ini merupakan sebahagian daripada rangkaian sesi dalam Seminar Wacana Puisi Esei ASEAN 2025, yang menghimpunkan penyair dan penggiat sastera serantau, khususnya di Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, dan Singapura, dalam usaha memartabatkan genre puisi esei sebagai medium penceritaan yang menyentuh dan mendidik.

Kredit Foto: Aaron Burden/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi