Diterbitkan pada 26 Mei 2025, 10:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Lebih daripada 100 penggiat dunia penulisan berhimpun dalam sesi Temu Mesra Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI yang diadakan sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 bertempat di Bilik Kuala Lumpur, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pada 23 Mei 2025 lalu.

Sesi yang bertujuan membincangkan hala tuju penerbitan buku fasa kedua projek tersebut dimulakan dengan ucaptama oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad, bertajuk Peneguhan dan Gagasan Masa Hadapan Dunia Penulisan Malaysia MADANI”.

Dalam ucapannya, Dr. Saleeh menekankan peranan intelektual dan nilai karya dalam membentuk Malaysia MADANI, selain menggariskan fungsi sastera sebagai medium pembinaan budaya dan peradaban yang mengikuti acuan idealistik.

Beliau turut berkongsi perkembangan Projek Penerbitan Buku PENA-MADANI fasa pertama yang menghasilkan 125 buah buku merangkumi lapan genre, antaranya termasuklah kumpulan puisi (50 buah), kumpulan cerpen (26 buah), novel remaja (11 buah), buku bergambar kanak-kanak (10 buah), novel dewasa (9 buah), buku umum (9 buah), drama pentas (6 buah), dan novel kanak-kanak (4 buah).

Saleeh Rahamad turut menjelaskan kriteria pemilihan genre serta sebab-sebab penolakan sesetengah manuskrip termasuk biografi dan autobiografi, dengan menekankan keperluan kandungan yang berkualiti dan relevan dengan aspirasi MADANI.

Sesi temu mesra yang bermula sekitar jam 4.00 petang itu dikendalikan oleh penggiat seni dan sastera, YBrs. Encik Azalan Hussain (Sinaganaga Lan Benhussain), YBrs. Encik Abd. Khalil Zalmi Kamarazaman, dan YBrs. Encik Anuar Manshor, yang membuka ruang diskusi dalam bidang utama kerja editor dan pembaca pruf; pereka dan ilustrator; percetakan, penstoran, pengedaran dan pentadbiran; serta penulis dan penyelenggara.

Luahan, saranan serta cabaran daripada semua pihak yang terlibat dalam projek ini turut dikumpul sebagai input penting untuk perancangan akan datang.

Penutup sesi disempurnakan oleh Pengarah Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI, YBrs. Encik Mohd. Khair Ngadiron yang membentangkan rancangan dan hala tuju fasa kedua menerusi ucapan bertajuk Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI: Jalan ke Hadapan”.

Beliau menegaskan bahawa PENA komited dalam memperluas impak budaya ilmu dan mengekalkan idealisme penerbitan berkualiti tinggi.

“Jalan ke hadapan tidak akan sunyi selagi ada yang percaya pada kuasa sebuah buku,” katanya.

Antara penggiat sastera yang hadir termasuklah YBhg. Dato’ A. Aziz Deraman, YBhg. Datuk Dr. Lim Swee Tin, YBrs. Dr. Shamsudin Othman, YBrs. Encik Roslan Madun, YBrs. Encik Marsli N.O., YBrs. Puan Nisah Haron, YBrs. Encik Ladin Nuawi, dan YBrs. Puan Rosmiaty Shaari.

Sesi Temu Mesra Projek Penerbitan Buku PENA-Malaysia MADANI gegak gempita bersama-sama para hadirin.
Kredit Foto: Raja Yusoff Ariffin dan Urus Setia PBAKL 2025
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi