Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangM. Emir memberikan reaksi terhadap kenyataan bahawa puisi bersahaja tidak mempunyai merit.
Proses mengarang dan membuka lorong puisi ini pasti sukar, namun percayalah pada proses. Kita perlu berani meneroka.
Ketika saya sedang bermain media sosial, saya terjumpa kenyataan yang lebih kurang begini: “Puisi bersahaja? Alah, puisi jenis macam ni sekadar ikut trend bolehlah.”
Tanpa sedar, kenyataan penulis yang cukup terkenal sebagai “juri puisi” itu telah menghiris perasaan saya secara sunyi. Mungkin baginya, puisi yang baik ialah puisi yang perlu menyarungkan setiap patah kata dengan ungkapan mewah. Tidak, saya tak salahkan jenis puisi sebegitu kerana setiap penulis mempunyai hak untuk memilih dan menilai unsur estetik bagi karyanya.
Namun begitu, jantung saya tidak henti-henti berdenyut, seolah-olah ada semacam ketidakpuashatian yang belum diungkap. Hal ini kerana, saya sedang dilamun cinta pada puisi bersahaja. Ya, mungkin kita sudah dinormalisasikan dengan tip-tip daripada penulis sudah mapan mahupun baharu tentang prasyarat untuk menulis puisi berkualiti, iaitu jangan terlalu berterus terang.
Namun begitu, mungkin kita perlu lagi sekali menonton video-video lama Fahd Razy atau mengulang baca buku Sains Menulis Puisi yang menyatakan bahawa tip bukanlah peraturan. Seseorang penulis yang baik, akan dapat menghasilkan penulisan yang cemerlang sekiranya dia pandai bermain dengan teknik.
Sebagai contoh, apabila seseorang membaca sajak Khoo Phau Liang (termasuklah saya sendiri sewaktu membeli zine Tukang Puisi dahulu), mereka pasti akan tergaru-garu kepala mengapa sajak polos ini boleh disiarkan dalam Tukang Puisi. Namun begitu, apabila membaca dengan konsisten karya Khoo Phau Liang, saya dapati ada sesuatu yang beliau cuba tawarkan pada ranah sastera tanah air.
Mungkin selama ini kita dimomokkan dengan pandangan: “Ah, karya Khoo Phau Liang macam budak-budak.”
Namun begitu, lihatlah, puisi Khoo Phau Liang hari ini sudah semakin diterima. Contoh lain ialah Jack Malik. Pada awal kemunculannya juga, puisi Jack Malik seolah-olah mahu mengejek sastera arus perdana. Namun begitu, perlahan-lahan puisinya sudah diterima (selain Jack Malik sendiri yang makin memperkemas tulisannya).
Sama juga seperti kes puisi-puisi bersahaja. Kalau kita Mat Tatabahasa, sudah tentulah kita tak akan bersetuju dengan puisi-puisi bersahaja ini. Namun perlulah diketahui bahawa puisi-puisi bersahaja, seperti gabungan bahasa dalam sebuah puisi, pasti akan diterima juga akhirnya.
Proses mengarang dan membuka lorong puisi ini pasti sukar, namun percayalah pada proses. Kita perlu berani meneroka. Dahulu, saya tunduk pada gaya Jack Malik tetapi mungkin kini tidak lagi. Saya seakan-akan sudah jumpa gaya saya sendiri dalam puisi.
Pada peringkat awal, sudah tentulah gaya baharu akan ditentang oleh penjaga gerbang sastera. Namun begitu, jika masyarakat kita terus cuba mengetuk gawang editorial dan menyesuaikan hasil ciptaannya dengan komuniti, insya-Allah suatu hari akan lepas dan mereka pasti nampak apakah yang kita mahu tawarkan pada sastera sebenarnya.
Bersahaja Merupakan Pilihan Estetik
Pada pandangan saya, masyarakat tidak seharusnya menyatakan bahawa puisi yang bersahaja ini lemah, lemah dan lemah. Hal ini kerana penulisan gaya begini merupakan suatu pilihan estetik. Tidak semestinya puisi yang dibuat bersahaja perlu dikarang secara minimalis. Janganlah kita hadkan puisi bersahaja hanya pada epigram dan haiku semata-mata.
Mungkin puisi bersahaja boleh dikarang secara panjang lebar. Namun mungkin, syaratnya perlu sedap (baca: haha). Di sini, saya turunkan dua puisi yang saya nukilkan secara bersahaja. Satunya gabungan bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu, manakala satu lagi bermain dengan gabungan bahasa Arab dan bahasa Melayu. Hal yang pasti, titik persamaannya ialah, kedua-dua puisi di bawah merupakan puisi bersahaja, dan bukan puisi minimalis.


_________________________
M. Emir merupakan penulis yang berasal dari Kuantan, Pahang. Beliau telah menghasilkan beberapa buah puisi eceran yang tersiar dalam Tukang Puisi dan Selangorkini.