Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMana Sikana menitipkan belasungkawa buat tokoh drama Allahyarham Zakaria Ariffin dan sumbangan besarnya dalam perkembangan teater kebangsaan.
Dengan sendirinya, dramanya beraroma pascakolonialisme …
Drama Perempuan Seorang Leftenan Inggeris merupakan sekuel Pentas Opera. Kedua-duanya lebih menekankan pendirian anak-anak negeri pada saat-saat akhir zaman pendudukan Jepun. Khatijah atau Miss Tijah merupakan protagonisnya yang berada dalam kekeliruan dan masih hanyut dengan nostalgianya sewaktu berkasih-kasihan dengan seorang pegawai tentera Inggeris, Harrison yang berpangkat Leftenan, sebelum Jepun menduduki Tanah Melayu. Nostalgia itu sungguh hebat menggoda jiwanya. Setelah Inggeris berundur, Khatijah rapat pula dengan seorang penulis dan pejuang kebangsaan bernama Ahmad Bakhtiar. Pada masa yang sama Khatijah turut melayani seorang pegawai tentera Jepun. Akhirnya, Khatijah sedar bahawa tidak ada makna lagi baginya, mengenangkan seorang lelaki Inggeris yang meninggalkannya, yang apabila terdesak, hanya menyelamatkan nyawanya sendiri. Dalam hal ini, Jepun sekurang-kurangnya telah membuka mata dan hati rakyat peribumi bahawa kuasa Barat bukanlah tidak boleh dikalahkan dan bangsa Asia. Pendudukan Jepun juga menanamkan keyakinan untuk peribumi memerintah negeri mereka sendiri.

Sementara itu, drama Belum Selesai tercipta sempena memperingati peristiwa Malayan Union yang berlaku pada tahun 1946. Drama ini mengambil peristiwa penentangan orang Melayu terhadap gagasan Inggeris yang sama sekali tidak dapat diterima oleh penduduk Melayu. Belum Selesai mengambil latar selepas Jepun menyerah diri kepada pihak Berikat, dan Inggeris kembali dengan pemerintahan British Military Administration (BMA). Drama ini menceritakan bagaimana Khatijah tidak lagi dapat menerima kehadiran semula Leftenan Harrison dalam hidupnya. Sebaliknya, Khatijah telah membantu Ahmad Bakhtiar dan para pejuang Melayu yang lain menentang Inggeris, yang ingin mewujudkan pemerintahan Malayan Union. Mereka sanggup berbuat apa-apa sahaja demi mempertahankan Tanah Melayu daripada dijajah oleh Malayan Union. Semangat perjuangan untuk mempertahankan negara telah mengatasi segala-galanya, sehingga mereka sanggup menggadaikan nyawa mereka sendiri untuk negara.
Pendramaan Zakaria Ariffin berdasarkan cerita benar tentang sejarah negara. Justeru, kita dapat menyatakan bahawa beliau seorang pengarang yang mementingkan fakta yang benar dan tepat. Namun begitu, sejarah itu telah dilakukan dekonstruksi olehnya, dengan membongkar, menggali serta membinasakan sistem strukturnya, kemudian merekonstruksikannya semula. Caranya adalah dengan membongkar sistem-sistem yang terlapis di dalam teks, yang kadang-kadang tempat bersembunyinya makna. Walau bagaimanapun, makna bukannya tujuan terakhir analisisnya, sebaliknya, tujuan utamanya adalah untuk menumbangkan hierarki konseptual yang menstrukturkan sesebuah teks. Zakaria Ariffin melakukan sifat dekonstruktif sambil memelihara unsur kesejarahannya, dengan melestarikan makna-makna yang tidur tersembunyi sebalik peristiwa historiografiknya.
Aspek kepengarangan drama Zakaria Ariffin jelas tidak terpisah daripada akar umbi budaya Melayu. Khalayak sentiasa didedahkan dengan pelbagai peristiwa sejarah yang pernah terjadi di negara kita. Khalayak yang menilai dan menghayati sesebuah drama akan menemui apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh pengarang melalui dramanya. Hal ini jelas menunjukkan yang pemikiran Zakaria mewakili agama, bangsa dan negaranya. Sesungguhnya, beliau begitu sensitif terhadap situasi di sekelilingnya dalam proses menghasilkan sesebuah karya. Pemerhati sastera dan juga khalayak tentunya terfikir, mengapa seni persembahan bangsawan dan unsur sejarah negara mendominasi pemikiran Zakaria Ariffin dalam usaha mengukuhkan karyanya ke arah teks yang unggul? Semua ini berdasarkan kesedaran dan semangat nasionalisme yang mengalir dalam tubuhnya. Khalayak pula di samping terhibur turut mendapat pengajaran serta memahami apa-apa yang ingin pengarang sampaikan. Ada idealisme dan petanda nasionalisme, berselerak dan berpecah dalam teks-teks Zakaria Ariffin.
Dengan sendirinya, dramanya beraroma pascakolonialisme. Idealismenya berteraskan Melayu dengan pancang nasionalisme dan patriotisme, yang menjadi dasar kepengarangannya. Drama Zakaria Ariffin setara dengan pascakolonialisme Bill Ashcroft, Gareth Griffiths dan Helen Tiffin dalam The Empire Writes Back: Theory and Practice in Post-Colonial Literatures (1989) yang menjelaskan bahawa karya pascakolonial merujuk sejarah atas kejatuhan bangsanya, justeru banyak dosa sejarah yang telah dilarik, terutamanya daripada kuasa luar dan manusia yang tamak.
Pencitraan pensejarahan itu juga merakam perasaan tak sedar pengarang tentang nasib bangsanya. Teori pascakolonial yang menggunakan model ras yang mengidentifikasikan perwatakan, yang memberikan ajaran hubungan antara ras haruslah diperhati secara hati-hati, kerana ada bangsa yang rakus seperti penjajah. Zakaria Ariffin menggesa supaya Melayu menjadi Melayu. Jangan terpedaya dengan penjajah, terutamanya dalam aspek “ajukan” (mimicry). Konsep mimicry pertama kali digagas oleh Frantz Fanon, dengan pengertian bahawa orang yang dijajah pada awalnya dipaksa untuk meninggalkan anggapan tradisional atau jati diri etnik dan identiti nasionalnya. Mereka kemudian mulai belajar membina identiti sendiri dengan identiti bangsa asing yang berposisi sebagai tuan mereka, kaum penjajah. Inilah sebuah ajukan atau peniruan, yang merupakan praktik dekonstruktif penjajah. Zakaria Ariffin sejak Pentas Opera sudah memperlihatkan pendiriannya, cintanya kepada bangsanya sungguh kukuh dan bermakna. Pengembaliannya kepada sejarah dengan tidak mementingkan urutannya, memperlihatkan makna yang amat besar dalam kalangan historisisme baharu. Oleh itu, teks-teksnya berisi suara pascakolonial bermekanisme metahistoriografik.
Kebanyakan dramanya mengetengahkan protagonisnya dalam kalangan wanita, yang menjadi primadona atau seri panggung.
Dapat disimpulkan kematangan penciptaan yang diperlihatkan oleh Zakaria Ariffin menjelaskan subjektiviti dan identiti naratif dramatiknya. Zakaria telah cuba menghasilkan sebuah penciptaan drama yang berlainan daripada sebelumnya. Karyanya meninggalkan surealisme. Namun begitu, unsur kenyataan dan realistik masih menjadi pegangan dramatiknya. Pada dasarnya, kesemua karya Zakaria sejak tahun 1983, bermula dengan “Si Tanggang Anak Derhaka”, telah memperlihatkan konsep penghidupan semua drama yang real tetapi dengan ramuan baharu. Drama ini bagi saya ialah drama yang mempunyai unsur neorealisme pascamoden.

Zakaria Ariffin menamakan dramanya dengan istilah “teater murni”, yang bermaksud teater yang mudah difahami oleh khalayak. Pemahaman dan penghayatan oleh khalayak amat penting bagi memahami apa-apa yang telah beliau hasilkan. Beliau tidak mahu khalayak menjadi tersasar, tersesat atau tersalah apabila menanggapi pendramaannya. Tidak mahu lagi mengulangi kesilapan drama absurd sureal, yang berat dan sarat menyebabkan khalayak meninggalkan dewan.
Kebanyakan dramanya mengetengahkan protagonisnya dalam kalangan wanita, yang menjadi primadona atau seri panggung. Pentas Opera dengan Ruby Soeparno, Perempuan Seorang Leftenan Inggeris dengan Khatijah dan Belum Selesai Khatijah atau Miss Tijah. Dalam “drama muzikal”nya pula, Bangsawan Siti Zubaidah, kita menyaksikan wanita menguasai dunia patriark. Jarang-jarang kita menemui wanita yang teraniaya, terpinggir atau dikejamkan dengan bungkam oleh Zakaria. Beliau sangat menghormati wanita, justeru khalayak wanita (penonton) sangat mesra dengannya. Watak-watak idaman wanita itu menunjukkan unsur feminisme yang sangat kuat dalam dramanya. Ruby Soeparno dan Khatijah membantah, membongkar dan menentang segala kezaliman patriarki dengan memperjuangkan emansipasi dan kesamarataan untuk mendapatkan hak dan kedudukan. Objektifnya bagi melahirkan sebuah dunia wanita yang sejahtera, bahagia dan bermaruah. Sistem penguasaan golongan lelaki, yang sering disebut sebagai the domination of men and the subordination of women mestilah dirobohkan.
Anatomi pendramaannya juga terletak pada ciri keaslian dan autentisiti stail atau mekanisme kebahasaan yang menjadi pegangan pengarang dalam berkarya. Zakaria Ariffin cenderung menggunakan bahasa kolokial yang digunakan sehari-hari oleh masyarakat di Malaysia. Bahasa yang digunakan ringkas, padat dan mudah difahami oleh khalayak. Selain itu, Zakaria juga memasukkan bahasa Inggeris bagi menyesuaikan latar realitinya dengan watak. Bahasa ini digabungkan dengan bahasa formal bagi mewujudkan gayanya yang tersendiri. Zakaria Ariffin bijak menyesuaikan bahasa yang digunakan mengikut situasi dan kenyataan. Hal ini dapat dilihat dalam Raja Lawak apabila beliau memasukkan bahasa budaya yang digunakan oleh anak muda yang melibatkan diri dalam muzik rock. Walaupun slanga yang digunakan nampak kasar dan tidak mengikut bahasa Melayu formal, tetapi kita dapat memahami maksud yang diucapkan, dan kegunaannya sesuai mengikut situasi watak itu berada. Tegasnya, gabungan begini terlihat sebagai unsur inversi yang melahirkan stail baharu. Sebenarnya, ada unsur variasi, unsur kelainan yang bertentangan dengan bahasa biasa. Bahasanya bersesuaian dengan persoalan dan pemikiran drama, dengan laras yang dicipta sejajar dengan naluri masyarakatnya.
Di samping itu, gaya bahasanya juga turut menyelitkan kata-kata nasihat dan kata-kata semangat yang dapat membangkitkan semangat kepada khalayak. Identiti gaya bahasanya telah menjadi satu bentuk pengenalan diri yang membezakan dirinya dengan pengarang-pengarang lain. Untuk mencapai jati diri bukanlah sesuatu yang mudah. Zakaria Ariffin terpaksa melanggar konvensi yang sedia ada, dan memperlihatkan unsur revolusi serta melakukan inovasi dalam usaha membina keperibadiannya. Gaya bahasa Zakaria Ariffin juga tidak lari daripada akar umbi bangsa Melayu yang bangsawan menjadi sebahagian unsur penting dalam karyanya. Drama moden telah dibaurkan dengan nilai tradisi yang dapat menceritakan budaya dan seni sesuatu bangsa secara tidak langsung. Kesemua daya cipta yang menggalurkan sejarah dan seni bangsa hanya dapat hadir daripada seorang pengarang yang mewakili bangsanya bersama-sama ciri yang terdapat pada bangsa tersebut. Di sinilah letaknya keistimewaan Zakaria Ariffin sebagai seniman kreatif yang sentiasa berfikir dalam rangka mencipta identitinya yang tersendiri.

Memiliki keberanian dan kesedaran membolehkan pengarang memperlihatkan hal yang diistilahkan sebagai “kekuasaan”. Zakaria Ariffin mempunyai kekuasaan dalam membicarakan persoalan penting yang berhubung dengan masyarakat dalam konteks zamannya. Persoalan-persoalan yang dianggap sensitif dan menjadi dilema bagi pengarang lain untuk dibicarakan, telah diketengahkan oleh Zakaria dalam dramanya. Beliau begitu berani mengkritik golongan atasan yang hanya mementingkan hawa nafsu dan harta benda sahaja. Beliau merasakan bahawa hal ini ialah satu tanggungjawab bagi menyedarkan golongan itu, bahawa mereka perlu menggunakan kedudukan mereka ke arah jalan yang betul. Sikap tidak mengambil berat terhadap golongan bawahan, perlulah diubah bagi menjadikan rakyat bawahan terus menghormati kedudukan mereka. Sebagai pengarang yang memiliki daya kepengarangan yang tinggi, beliau dengan segala keupayaan dan keberanian yang ada, telah mempersoalkan segala kepincangan yang berlaku dalam masyarakatnya dengan begitu berkesan sekali.
Untuk melihat kekuasaan yang dimiliki oleh Zakaria Ariffin, drama Pentas Opera dapat dijadikan bukti. Drama ini memperlihatkan keberanian Zakaria mempersoalkan kepincangan yang dilakukan oleh golongan atasan, khususnya institusi istana. Kuasa yang dimiliki oleh Raja Abdul Muluk membolehkannya melakukan apa-apa sahaja terhadap anak-anak wayang Seri Nilam Opera. Nyata di sini, rakyat jelata telah menjadi mangsa kerakusan golongan atasan yang berkuasa. Hal ini ditambah pula dengan sikap orang Melayu yang begitu taat kepada golongan istana, walaupun perkara yang dilakukan itu jelas bertentangan dengan sikap seorang pemimpin.
Sebagai pengarang yang berani dan bertanggungjawab, Zakaria Ariffin telah mengungkapkan persoalan ini buat renungan pihak-pihak yang berkaitan, agar sedar dengan kesilapan yang telah dilakukan dan kembali ke pangkal jalan. Zakaria berani mendedahkan hal ini, kerana beliau merasakan perlu mendedahkan kepincangan bangsanya sendiri; lagipun masyarakat sebenarnya memang tahu perkara seperti ini telah menjadi lumrah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi. Dengan segala kreativiti dan keupayaan intelektualnya, beliau berjaya menyampaikan persoalan yang dianggap sensitif tanpa menimbulkan rasa tidak puas hati oleh mana-mana pihak. Penggunaan simbol serta ungkapan bahasa yang mengandungi makna tertentu telah membolehkan Zakaria Ariffin mengungkapkan dan mengetengahkan persoalan yang dianggap sensitif ini. Keupayaan beliau telah meletakkan beliau pada satu tahap kekuasaan atau keberanian yang dapat membentuk jati dirinya sebagai seorang pengarang.
Namanya juga tersemat sebagai sepuluh dramatis penting Malaysia …
Pada tahun 1996, beliau berpindah ke Akademi Seni Warisan dan Kebudayaan (ASWARA). Di sana, beliau mementaskan Belum Berakhir (1996), Teja (1997), adaptasi Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said (1997), Pentas Opera (1997), Raja Lawak (1997), adaptasi Imam karya Abdullah Hussain (1999), dan Bangsawan Siti Zubaidah (2000). Zakaria Ariffin telah membawa Matinya Seorang Pahlawan Usman Awang ke London, diikuti dengan drama Selampit Anuar Nor Arai ke Pesta Teater ASEAN di Manila. Kemudian beliau mementaskan Bangsawan Siti Zubaidah di Istana Budaya.
Sungai Mengalir Lesu karya A. Samad Said merakamkan satu fasa dekad terpenting dalam kehidupan bangsa kita. Pengalaman getir kehidupan sekumpulan manusia di sepanjang sebatang sungai turut menjadi lambang kesengsaraan umum masyarakat Malaya pada zaman Perang Dunia Kedua. Betapa durjananya kesan dan bencana perang terhadap manusia, dan betapa wajarnya kita menghindarinya daripada berulang semula. Di samping sebuah karya sastera, Sungai Mengalir Lesu juga sebenarnya satu himpunan dokumentasi sejarah manusia yang amat berharga. Zakaria Ariffin telah berjaya memindahkan peristiwa perang itu ke dalam sebuah pementasan drama yang berjaya.
Imam karya Abdullah Hussain bukanlah drama komersial, bukan drama aksi atau melankolik. Imam ialah drama realisme tentang falsafah, kemanusiaan dan keagamaan dalam masyarakat. Adaptasi drama daripada novel besar itu memerlukan kefahaman dan ketajaman tanggapan bacaan. Zakaria Ariffin berjaya mengetengahkan sebuah adaptasi yang berjaya. Skrip yang dihasilkan oleh Zakaria cukup baik dan bernilai tinggi dari sudut naratif dramatiknya.

Sesungguhnya, Zakaria Ariffin telah berjaya membuktikan dirinya mencapai sifat keunggulan dalam berkarya. Tahun 1980-an dan dekad 1990-an ialah zaman emas Zakaria Ariffin. Keupayaan Zakaria menyerlahkan dirinya bersama-sama teks yang organik dan mencapai tahap unggul, telah berjaya mempertingkatkan martabat dunia kesusasteraan Melayu, khususnya dalam bidang drama. Tidak ada dramatis yang lebih penting selepas Noordin Hassan selain Zakaria Ariffin.
“Menangkap kegelisahan zaman dan mengungkapkan pergolakan jiwa bangsa dalam pencarian identiti bangsa kita” – itulah kata-kata permata Zakaria Ariffin.
Selaku tokoh drama berwibawa dan menjadi raja dramatis di zamannya, pada tahun 2001, beliau diberi anugerah besar, SEA Write Award (Malaysia). Namanya juga tersemat sebagai sepuluh dramatis penting Malaysia, iaitu Shaharom Husain, Kala Dewata, Usman Awang, Noordin Hasssan, Johan Jaaffar, Hatta Azad Khan, Mana Sikana, Wan Ahmad Ismail, Zakaria Ariffin, dan Ismail Kassan. Sebenarnya, Zakaria Ariffin layak dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara.
Diharapkan dalam masa terdekat ini, ada grup atau institusi drama yang akan mementaskan “Pentas Opera”, “Raja Lawak” atau “Belum Selesai”. Hanya dengan cara ini saja kita dapat mengingati jasa besar seorang tokoh dalam dunia drama kita. Sekianlah tulisan yang amat sederhana ini, sebagai ingatan dan penghormatan kepada Allahyarham Zakaria Ariffin. Sesiapa membaca tulisan ini, dipohon membaca Surah al-Fatihah untuk disedekahkan kepada Allahyarham Zakaria Ariffin dengan iringan doa agar arwah ditempatkan bersama-sama hamba-Nya yang dirahmati dan beriman. Al-Fatihah …
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
Beli Trilogi Pentas Opera Zakaria Ariffin di sini.
_________________________
Mana Sikana atau Dr. Abdul Rahman Napiah merupakan pengarang dan pengkritik sastera. Beliau menghasilkan novel, cerpen, drama teater dan buku ilmiah tentang teori kritikan. Beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Perak Kedua oleh Kerajaan Negeri Perak pada 23 Jun 2004. Antara karya beliau termasuk buku kajian dan kritikan Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden (ITBM, 2013), Drama dalam Penskripan, Pementasan dan Kritikan (DBP, 2016), dan kumpulan drama Di Hujung Taming Sari (DBP, 2021).