Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMana Sikana menitipkan belasungkawa buat tokoh drama Allahyarham Zakaria Ariffin dan sumbangan besarnya dalam perkembangan teater kebangsaan.
Jelas sekali, ‘Pentas Opera’ dan ‘Raja Lawak’ ditulis sesuai dengan cita rasa khalayak ketika itu, tidak sesukar teks-teks sureal-absurd lain; Zakaria Ariffin faham dengan tuntutan komunikatif khalayak dalam teater.
Zakaria Ariffin meninggalkan kita sederetan repertoir naskhah drama yang bermutu. Sekian banyak drama itu, yang paling sinonim dengan namanya ialah “Pentas Opera”. Sebagai sebuah kanon, naskhah drama ini benar-benar membawa jiwanya sebagai dramatis serta melekatkan namanya sebagai pelibat teater yang penting. Khalayak pun terlalu senang dengan drama ini.
Kehadiran Zakaria Ariffin dalam dunia pentas Melayu tidak sahaja dialu-alukan, khalayak bagai tertunggu-tunggu, siapakah yang bakal datang mengisi kekosongan. Kekosongan, kerana suasana drama Melayu sedang nazak waktu itu. Pada akhir tahun 1970-an, penulis sureal absurd mula meninggalkan pentas, sehingga terjadi kelengangan pada dekad 1980-an. Pusat pendramaan pula telah bertukar dari Kuala Lumpur yang dibawa oleh Wan Ahmad Ismail ke Terengganu. Sekali-sekala, Noordin Hassan menghasilkan dramanya, dan Johan Jaaffar dengan drama adaptasinya, tetapi semuanya itu belum cukup dapat mengubati kegersangan drama. Di tengah-tengah kelembapan, kegersangan dan kepiluan inilah, munculnya Zakaria Ariffin. Hadirnya sebagai penyelamat drama. Sentuhannya sebagai midas berupa kilauan emas.

“Pentas Opera” kembali kepada sejarah: zaman bangsawan dan zaman Jepun. Drama ini dihasilkan dengan mengadaptasi skema metahistoriografik. Di Barat 1980-an ialah zaman muncul dan suburnya karya metahistoriografik, sehingga melahirkan teori sastera historisisme baharu untuk menilainya. Zakaria Ariffin mengikuti perkembangan drama dunia ini, dan tertarik dengan metahistoriografik sebagai sebuah simulakrum sejarah, yang mempunyai unsur-unsur idealistik pensejarahan, kaya dengan unsur kemanusiaan, political dimension, dan double voice.
Political dimensionnya berwacana tentang kekuasaan dan berhasrat untuk menjadi bangsa yang kuat. Tidak harus membiarkan negara dijajah, malah turut membawa suara teks pascakolonialisme. Sementara double voice atau makna duaan yang extended (dilanjutkan) ialah makna kejayaan yang dapat dicapai. “Pentas Opera” sesungguhnya sebuah teks yang menggarap dan memiliki semua unsur itu, di samping bermutu, mempunyai strategi tekstual yang kemas dan menyimpan makna yang relevan, mendalam dan berpengaruh.
Kita menyaksikan kemudiannya, satu demi satu teater berlangsung di tangan Zakaria Ariffin, dan mengembalikan khalayak ke pentas. Sesungguhnya, di sinilah sumbangannya yang perlu dikenang dan dihargai. Bukannya sahaja penyelamat, tetapi membawa kecenderungan dan aliran baharu dalam karya metahistoriografik, yang meninggalkan suasana sureal absurd sebelumnya. Jelas sekali, “Pentas Opera” dan “Raja Lawak” ditulis sesuai dengan cita rasa khalayak ketika itu, tidak sesukar teks-teks sureal-absurd lain; Zakaria Ariffin faham dengan tuntutan komunikatif khalayak dalam teater.
‘Pentas Opera’ mengambil latar kehidupan anak-anak wayang pelakon bangsawan, yang bergelut dengan kelangsungan hidup pada zaman serba sukar pada masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Beliau berasal dari Kuantan. Setelah bersekolah, Zakaria menuntut di Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim, Perak. Kemudian, belajar di Universiti Sains Malaysia (USM), dengan mendapat pendidikan daripada tokoh-tokoh drama seperti Kala Dewata, Ghulam Sarwar dan Gus Nasaruddin. Tahun 1977, tahun bersejarahnya. Buat kali pertamanya, beliau mementaskan drama sendiri, Penunggu Warisan di USM. Sebelum ini, USM terkenal dengan zaman Hatta Azad Khan dengan Patung-patung, yang sezaman dengan saya mementaskan Apa-apa di Universiti Kebangsaan Malaysia (1975).
Kemudian, Zakaria Ariffin bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), markas untuk sasterawan dan dramatis. Beliau berkenalan dengan dramatis Usman Awang, Othman Zainuddin dan Johan Jaaffar, yang sedikit sebanyak membentuk dan menyempurnakan pendramaannya. Bersama-sama dengan kegiatan pementasan drama DBP, beliau turut serta, seperti dalam persembahan Si Bongkok Tanjung Puteri karya Shaharom Hussien, Tamu di Bukit Kenny karya Usman Awang dan Di Mana Bulan Selalu Retak tulisan A.Samad Said.
Tahun 1981, Zakaria Ariffin menghasilkan Drama Melayu Moden dalam Esei sebagai lidah penyambung buku kajian drama yang sangat langka. Hanya dua buah buku sebagai rujukan waktu itu, iaitu Persuratan Melayu 111, Drama (Penerbitan Qalam, 1960) tulisan Edrus A.H dan Sejarah Seni Drama (Pustaka Melayu Singapura, 1963) kajian Tengku Syed Abdul Kader dan Zen Rosdy, di samping beberapa buah esei eceran yang ditulis oleh Kala Dewata dan Anis Sabirin. Sumbangan Zakaria Ariffin itu dengan cepat menjadi rujukan pelajar drama. Pada tahun 1984, Zakaria Ariffin menyelenggarakan antologi Drama Tiga Zaman, yang kemudiannya dijadikan sebagai buku teks kertas Kesusasteraan Melayu. Pelajar mula diperkenalkan dengan drama purba, sandiwara, realisme, dan absurdisme dengan bentuk komedi, tragedi dan tragikomedi.
Pada tahun 1988 dianjurkan Pertandingan Menulis Drama Kedua Esso-GAPENA. Saya masih ingat, saya bertindak sebagai ketua Panel Hakim bersama-sama Solehah Ishak dan Zam Ismail. Kami menemukan “Pentas Opera” – sangat luar biasa. Sesungguhnya dengan kemenangannya itu, meletakkan penglibatannya yang sangat bermakna dan signifikan.
“Pentas Opera” mengambil latar kehidupan anak-anak wayang pelakon bangsawan, yang bergelut dengan kelangsungan hidup pada zaman serba sukar pada masa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.
Terdapat tiga persoalan survival yang dijukstaposisikan pada latar sebuah pentas bangsawan di Kuala Lumpur, sekitar tahun 1945 itu. Pertama, anak-anak wayang terpaksa berhempas pulas untuk mempertahankan dan memastikan kehidupan kesenian bangsawan yang telah menjadi darah daging dan dunia mereka. Kedua, mereka juga sebagai manusia biasa, terpaksa menghadapi segala kesulitan dan keperitan zaman perang untuk mencari nafkah bagi meneruskan kehidupan. Ketiga, sebagai anak Melayu, mereka berasa terpanggil dan bertanggungjawab untuk sama-sama menyumbangkan sesuatu ke arah kemerdekaan tanah air.
Drama ini menggambarkan kesengsaraan hidup ketika berada di bawah pemerintahan penjajah, sebuah alegori yang ironik lagi dramatik terhadap dunia pentas. Peristiwa yang disampaikan dalam drama ini mengambil unsur tradisi daripada pentas bangsawan yang diadun dengan peristiwa sejarah yang berlaku di tanah air. “Pentas Opera” membongkar sejarah kejatuhan kumpulan bangsawan pada saat-saat akhir zaman pemerintahan Jepun, dan tahap awal kembalinya penguasaan British di Tanah Melayu.
Zakaria Ariffin telah menunjukkan kebolehan dan ketelitiannya mentranformasi dan memodifikasi peristiwa sejarah tanah air, yang dipetiknya daripada buku-buku sejarah yang diadunkannya dengan pengetahuan lampaunya untuk meneguhkan karyanya, yang berdasarkan naratif dramatik metahistoriografik. Drama ini telah memperlihatkan fakta-fakta yang hadir adalah berkaitan dengan jatuh bangunnya sesebuah kumpulan bangsawan, dan peranannya semasa pemerintahan penjajah. Zakaria Ariffin mendedahkan sikap sebenar penjajah dan golongan yang kaya serta sikap tuan punya kumpulan bangsawan dan para pelakonnya ketika menghadapi kehidupan yang serba sukar, sulit dan mencabar.
Peristiwa sejarah di tanah air dapat dilihat dalam buku sejarah, termasuklah Sejarah Malaysia oleh Kok Koun Chin, Diskusi Sejarah oleh Yusoff Iskandar dan Khalil Yusuf serta Sejarah Asia Tenggara 1824 – 1954 oleh Ibrahim Saad. Manakala sejarah kegiatan bangsawan dapat dilihat dalam buku Sejarah Perkembangan Drama Bangsawan di Tanah Melayu oleh Rahmah Bujang dan buku Drama Moden Malaysia oleh Abdul Rahman Napiah. Secara intertekstual, Zakaria Ariffin menghadirkan peristiwa sejarah, yang dieksistensikannya dengan pengetahuan lampau serta pengalaman pengarang sebagai penggiat drama, maka terciptalah drama “Pentas Opera”.

Zakaria Ariffin melakukan perlanggaran yang agak ketara dalam “Pentas Opera”. Walaupun ceritanya berlegar di sekitar kumpulan bangsawan, namun beliau tidak banyak memasukkan unsur persembahan sesebuah kumpulan bangsawan. Juga tidak ada selingan atau extra-turn yang dipersembahkan, seperti nyanyian atau tarian sebagaimana lazimnya dalam bangsawan. Hal ini harus kita fahami, kerana Zakaria Ariffin tidak mengangkat persembahan sesebuah kumpulan bangsawan. Sebaliknya, beliau cuba menceritakan kehidupan sebenar anak-anak wayang kumpulan bangsawan yang tidak pernah diketengahkan oleh pengarang lain sebelum ini.
Drama lain yang dihasilkan oleh Zakaria sebagai pengukuhan tekstualismenya ialah ‘Raja Lawak’, yang mengetengahkan para pelawak sebagai seniman yang selalunya membuatkan orang ketawa dan menghiburkan khalayak, namun mereka juga kerap menitiskan air mata …
Dekad 1980-an ialah zaman munculnya penulis baharu seperti Shamsiah Mohd. Nor, Zaharah Ibrahim, Siti Aishah Murad, Nina Kirana, Webah Salleh, Ghazali Ngah Azia, Marsli N.O, Hassanuddin Md. Isa, dan Abu Hassan Morad. Kebanyakan mereka menulis novel popular, novel remaja, sajak, dan cerpen. Keris Mas telah menghasilkan novel Saudagar Besar dari Kuala Lumpur yang seiring dengan keadaan semasa.
Zakaria Ariffin pun sebelum itu telah menghasilkan beberapa buah drama, mengarah dan melakonkannya, tetapi belum berjaya meraut pembentukan peribadinya. Usahanya menggali ruang batin drama pada zaman kekosongan itu dengan “Pentas Opera”, telah menemukan bayangan peribadinya. Drama lain yang dihasilkan oleh Zakaria sebagai pengukuhan tekstualismenya ialah “Raja Lawak”, yang mengetengahkan para pelawak sebagai seniman yang selalunya membuatkan orang ketawa dan menghiburkan khalayak, namun mereka juga kerap menitiskan air mata, di sebalik derai tawa khalayak itu. “Raja Lawak” sebuah parodi yang juga ironik, mendekonstruksikan hal yang berlaku di belakang pentas, yang selama ini jarang-jarang atau tidak dipedulikan oleh orang lain.
Drama ini juga ditulis dengan mengaplikasikan penstrukturan metahistoriografik, yang bermakna, Zakaria Arifin ingin memperkukuh genre yang telah dipegangnya. Dalam drama ini, kita kembali ke sejarah dekad 1970-an semasa muzik rock sedang meraja dan mengemukakan watak Osman Bombay yang mencari kekuasaannya dalam bidang seni jenaka. Pertembungan ini menjadi sentrum yang berbentuk antonim. Osman Bombay meneruskan seni jenakanya dengan gaya dan pendekatan persembahan tahun 1940-an.
Ketika itu juga, muncul pelawak muda dengan membawa gaya dan pendekatan yang baharu, tanpa perlu mengaplikasikan teknik slapstik atau memakai pakaian yang tidak kemas. Osman Bombay telah terhimpit antara budaya rock dengan pelawak muda yang lebih popular, akibatnya seni lawaknya kian dipinggirkan. Osman Bombay terpaksa menerima hakikat walaupun pahit, bahawa dia tidak mampu lagi menghadapi tentangan zaman dan harus berhenti melawak. Dia akhirnya rebah dan mati di pentas lawak yang telah menjadi darah dagingnya.

Tragedi ini mengingatkan kita kepada perjalanan hayat dramatis Perancis Moliére (1622 – 1673), yang indeksikal dengan watak kecekalan, dinamik dan cukup kuat dengan berpegang pada idealismenya, memperjuangkan keadilan sosial. Disanjung dan dihormati pada zaman mudanya, namun dia sering dirundung malang. Ada waktunya masyarakat kurang menghargainya, golongan aristokrat yang pernah dipetirnya membencinya, dan raja yang menaja persembahannya selalu tidak setia kepadanya. Pada penghujung hayatnya, dia selalu sakit-sakit dan muntah-muntah darah; tetapi dia tetap turun ke pentas. Pada sebuah pementasannya, Le Malade Imaginaire (Pura-pura Sakit), di tengah-tengah melakonkan biografi hidupnya itu, tiba-tiba dia terjatuh, terkejut ribuan khalayaknya, dan dia tidak bergerak-gerak lagi, amat tragis – dia telah meninggal di atas pentas untuk selama-lamanya.
“Raja Lawak” tidak lagi memperlihatkan latar zaman penjajahan, tetapi telah berubah ke tahun 1970-an. “Raja Lawak” mengungkapkan realiti kehidupan seorang seniman yang sentiasa dipandang tinggi, mewah dan sebagainya. Sebuah teks ironik berunsurkan antonimik dan mengemukakan watak adiwira. Citra yang digambarkan oleh beliau menceritakan keadaan sebenar kehidupan seorang seniman di sebalik tirai lawak jenaka. Penerokaan Zakaria Ariffin ini merupakan sebuah pembaharuan dan perlanggaran yang drastik sekali dalam sejarah pendramaan tanah air.
Naskhah “Perempuan Seorang Leftenan Inggeris” dan “Belum Selesai” pula ialah dua buah teks yang dirujuk bagi merealisasikan konsep pengukuhan dan individualisme Zakaria Ariffin. Pemilihan dua teks ini adalah paling sesuai kerana karya ini telah menampakkan kelainan tersendiri di samping menguatkan hakikat, bahawa Zakaria Ariffin sesungguhnya seorang pengarang yang versatil dan mempunyai visi yang luas dalam dunia kepengarangannya. Berbanding dengan teks yang telah dikaji sebelum ini, Zakaria Ariffin masih melanjutkan pemikiran seperti yang terungkap dalam teks awalnya itu; tetapi kali ini, aspek yang disentuh memperlihatkan kekuatan dari segi kedalaman pemikiran beliau untuk membicarakan sesuatu peristiwa.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
Beli Trilogi Pentas Opera Zakaria Ariffin di sini.
_________________________
Mana Sikana atau Dr. Abdul Rahman Napiah merupakan pengarang dan pengkritik sastera. Beliau menghasilkan novel, cerpen, drama teater dan buku ilmiah tentang teori kritikan. Beliau dinobatkan sebagai Sasterawan Perak Kedua oleh Kerajaan Negeri Perak pada 23 Jun 2004. Antara karya beliau termasuk buku kajian dan kritikan Berdiri di Akar Diri: Kritikan Sastera Melayu Pascamoden (ITBM, 2013), Drama dalam Penskripan, Pementasan dan Kritikan (DBP, 2016), dan kumpulan drama Di Hujung Taming Sari (DBP, 2021).