Diterbitkan pada 14 April 2025, 09:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dr. Aminudin Mansor menyampaikan secebis pengalaman orang dahulu menyampaikan sastera kepada anak muda sebelum merdeka.

Pendidikan bahasa sastera juga berlangsung secara tidak formal melalui tunjuk ajar ibu bapa, para guru dan orang-orang tua.

Proses pendidikan kepada seseorang berlaku sejak seseorang itu lahir ke dunia. Ada juga pandangan yang mengatakan bahawa proses pendidikan berlaku sejak bayi berada dalam kandungan lagi melalui tabiat dan perlakuan ibu. Bagi orang Islam dalam hal ini, proses pendidikan sastera Melayu secara tidak formal sebenarnya bermula ketika seseorang itu dilahirkan melalui laungan azan bagi bayi lelaki dan iqamat bagi bayi perempuan.

Semuanya bermula daripada proses mendengar, walaupun pada mulanya, tidak memahami apa-apa yang diucapkan dan dinyanyikan, tetapi laungan azan atau iqamat itu meresap ke dalam jiwa, membawa rasa damai dan tenteram. Dalam hal ini, terdapat unsur keindahan yang berlaku apabila alunan suara itu meresap ke jiwa. Inilah sastera. Orang Melayu percaya bahawa melalui suara yang lembut dibacakan ke telinga si bayi, ada unsur keindahan yang akan menjadikan jiwa bayi itu terdidik dengan lembut dan penuh kasih sayang. Inilah salah satu peranan bahasa sastera yang indah dan mendamaikan.

Ada peribahasa Melayu yang menyebut, “Melentur buluh biarlah dari rebungnya, menanam pokok biarlah dari benihnya.” Dalam budaya Melayu, proses dan pengalaman untuk ilmu itu sangat penting dan pendedahan selalunya bermula awal, bermula sejak lahir dan diteruskan hingga dewasa. Ramai generasi muda hari ini tidak mengetahui akan proses pendidikan secara tidak formal yang dilakukan oleh ibu bapa dahulu. Dulu-dulu, orang dewasa akan “mengajar” anak mereka (seperti azan dan iqamat tadi, melalui bunyi) melalui lagu-lagu yang dinyanyikan dan didodoikan, dengan makna yang sarat dengan pengajaran dan keindahan bahasa.

Lagu yang didodoikan seperti Buai Laju-laju, Tepuk Amai-amai, Anak Ayam, Ala Canggung, dan Rasa Sayang, telah wujud lama sebelum merdeka, sebelum adanya radio, televisyen dan telefon pintar. Para ibu selalunya menyanyikan lagu bagi menidurkan anak kecil yang hanya mendengar alunan lagu yang didendangkan, meskipun tidak faham akan maknanya.

Penulis yang lahir sebelum merdeka telah lama mendengarnya dan hafal liriknya. Lagu-lagu itu diulang-ulang setiap hari. Apabila meningkat remaja, barulah mereka faham akan makna lagu tersebut. Sememangnya, lagu tersebut disampaikan untuk mendidik jiwa secara tidak formal dengan unsur gaya bahasa yang kaya dengan nilai keindahan dan didaktik maknanya. Meskipun pada masa itu belum ada subjek Kesusasteraan Melayu di sekolah.

Seawal sebelum merdeka, kebanyakan kaum wanita didendangkan (diajarkan) dengan lagu syair, termasuk Siti Zubaidah Perang China, Syair Dandan Setia dan Syair Gemala Hikmat, yang biasanya disampaikan oleh para wanita dewasa yang mahir membaca Jawi ketika itu. Mereka menyampaikannya (bersyair) dengan suara yang lunak, kadangkala dengan alunan selawat, berzanji dan qasidah. Kadangkala juga dengan gurindam, dan antara gurindam yang terkenal ialah Gurindam Dua Belas. Biasanya, lagu-lagu ini didendangkan pada waktu malam atau dalam majlis atau kenduri tertentu di kampung-kampung. Era sekarang, masih terdapat lagi “kumpulan wanita masjid/surau” yang dijemput untuk mendendangkan qasidah dan berzanji, selalunya dalam majlis agama, namun jarang-jarang sekali bersyair atau bergurindam seperti dulu.

Seingat penulis, sejak di sekolah rendah tahun 1958 hingga 1963, banyak buku sastera menjadi bahan bacaan di sekolah, seperti buku Tangga Bacaan, Peribahasa Melayu, Ilmu Mengarang Melayu, Pelita Bahasa, Hikayat Bayan Budiman, Hikayat Seribu Satu Malam, Sang Lomeri, Si Tanggang, Hikayat Hang Tuah, Sejarah Melayu, dan Misa Melayu, yang kebanyakannya bertulisan Jawi. Buku-buku ini menjadi bahan bacaan yang menghiburkan disebabkan tiada hiburan lain bagi mengisi kekosongan jiwa ketika itu.

Selain buku-buku itu, pendidikan bahasa sastera juga berlangsung secara tidak formal melalui tunjuk ajar ibu bapa, para guru dan orang-orang tua. Merekalah, secara lisan, menyampaikan pepatah, perumpamaan, seloka, kiasan, pantun, bidalan, dan nasihat yang berhikmah agar budak kecil yang mendengarnya mengambil pengajaran, sekali gus membentuk fikiran, tingkah laku dan akhlak yang baik. Hal itu dilakukan dengan mencampuradukkan kata-kata nasihat atau penerangan dengan peribahasa tersebut, misalnya “jangan pula jadi seperti kera kena belacan” atau “sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya”. Bahasa sasteralah, dengan lenggok nada dan muzikal katanya, menjadi alat yang menyampaikan fikiran yang baik dan berkesan kepada generasi muda ketika itu.

Pemupukan untuk menanam minat gaya bahasa sastera yang indah ini wajar dilakukan secara tidak formal dan berterusan di rumah dan Tadika buat masa sekarang. Belajarlah daripada warisan pengalaman orang dahulu. Bijaknya orang Melayu dahulu yang mendidik anak melalui puisi tradisional dan cerita rakyat dengan pengajaran. Didikan dan bimbingan untuk tingkah laku dan penghayatan anak terhadap nilai murni dan terpuji dilakukan secara tidak langsung dalam kehidupan seharian, tanpa apa-apa peralatan moden. Begitulah, kata dapat membawa seribu makna.

_________________________

Aminudin Mansor (Dr.) atau Ami Masra ialah penerima Anugerah Karyawan Sepanjang Hayat 2014.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi