Diterbitkan pada 25 Mac 2025, 08:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Zuharman Mohammad Nor menyorot ceramah Penulisan Kreatif dan Deskriptif GEMA 2025 oleh Sasterawan Kelantan, Rosli K. Matari yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini. Sorotan ini bermanfaat bagi perkongsian pada para bakat pemula dan penyair muda di tanah air.

Sembilan aspek itu mampu bergerak sebagai pemangkin penyelesaian masalah dalam kebuntuan pemikiran idea yang berkecamuk, nanar atau gelap fikiran sebelum memulakan penulisan.

Dalam penelaahan sembilan aspek untuk mengatasi kebuntuan idea dalam dunia penulisan dan kepenyairan, Sasterawan Kelantan Rosli K. Matari mengingatkan saya terhadap sejarah awal saya mula terlibat dengan dunia penulisan.

Masa saya panjang pada bidang kewartawanan, meskipun tunasnya berputik dengan penulisan kreatif. Walaupun bertugas secara stringer atau pemberita sambilan, pelibatan saya tidak kurang dengan lima agensi berita, termasuk akhbar arus perdana dan portal berita dalam talian.

Sejujurnya, pada peringkat awal, saya sering saja berhadapan dengan detik sukar untuk menulis atau menyiapkan sebuah berita pendek. Berkecamuk, berbaur pelbagai emosi, kekangan dan kebuntuan.

Akan tetapi, saya dilatih supaya sentiasa turun ke lapangan. Di lapangan, saya akan melihat, bertemu dan mendengar. Maka di situ, saya rakam segala input dan maklumat. Saya mengamati apa-apa yang berlaku secara langsung. Semua itu menjadi bahan yang akan membantu untuk menulis. Apatah lagi pada sebuah berita, yang menuntut pada fakta dan kebenaran. Bukan wewenang boleh ditulis mengikut emosi atau imaginasi.

Justeru, secara peribadi, sememangnya saya tidak menafikan manfaat sebalik pendedahan sembilan aspek untuk mengatasi kebuntuan idea dalam dunia penulisan yang diterangkan oleh Rosli itu.

Sembilan aspek itu ialah:

  1. Penemuan
  2. Pengamatan
  3. Renungan
  4. Tanggapan
  5. Pengalaman
  6. Kenangan
  7. Kunjungan
  8. Pembacaan
  9. Imaginasi

Rasionalnya, aspek tersebut sesungguhnya wajar disedari dan dimanfaatkan bagi mencetuskan idea dan pemikiran dalam penghasilan karya. Sembilan aspek itu mampu bergerak sebagai pemangkin penyelesaian masalah dalam kebuntuan pemikiran idea yang berkecamuk, nanar atau gelap fikiran sebelum memulakan penulisan.

Menurut Kamus Dewan, idea bermaksud buah fikiran, rencana atau rancangan yang wujud dalam fikiran. Atau boleh juga disebutkan sebagai gagasan. Namun begitu, sekadar idea sahaja tidak akan ke mana. Idea tidak akan bergerak sendiri jika tidak dikembangkan sehingga terhasil sebuah karya. Jadi, sembilan aspek itu secara tidak langsung berupaya menggerakkan idea dengan efektif.

“Justeru, tidak terampil atau menyedari kewujudan banyak peluang itu, sebagai titik tolak aspek untuk memudahkan dan cepat membantu imaginasi, idea atau pemikiran, maka kita akan selalu berada pada tahap kekosongan dan kesukaran idea bagi cepat merangsang pemikiran dan kedinamikan kreativiti.”

Demikian kata Rosli yang juga penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021 semasa menyampaikan ceramahnya pada program bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif GEMA 2025, yang diadakan secara dalam talian baru-baru ini.

Program tersebut dianjurkan oleh Gabungan Penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) bermula pada 31 Januari sehingga 22 Februari pada tahun ini, dan diadakan setiap hujung minggu (Jumaat dan Sabtu).

Selain Rosli, beberapa orang penulis dan penyair terlibat sebagai tenaga pembimbing bengkel, termasuk Sasterawan Negara Datuk Zurinah Hassan, Prof. Madya Dr. Aila Abdul Latif, Dr. Maskiah Masrom, Dr. Tuan Siti Mastazameatun Long Tuan Kechik, Dr. Muhamad Fadzil Yusof, Dr. Abdullah Yusof, dan Nimoiz T.Y.

Fokus Rosli pada bengkel tersebut menjurus kepada suntikan semangat peserta yang kebanyakannya terdiri daripada bakat pemula dan penyair muda. Menerusi format yang amat berbeza daripada kebiasaannya, kali ini, Rosli membuka bengkelnya dengan menyerahkan kepada peserta untuk melontarkan masalah yang sering dihadapi setiap kali mahu memulakan penulisan.

Hal yang diperoleh ialah: kebanyakan mereka sering kali dibelenggu oleh rasa buntu idea selain terbantut di pertengahan jalan. Langsung mereka dilihat lebih berminat untuk mencari kaedah terbaik bagi merangsang, selanjutnya mendorong ke arah menulis atau mencipta kreativiti.

Antara gurau dan serius, sasterawan yang pernah mengungguli penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia sebanyak lapan kali dengan enam kali berturut-turut lewat tahun 1990-an itu pantas pada responsnya.

“Letakkan rasa ingin menulis, walau setiap hari.”

Responsnya sangat ringkas, tetapi komplit walau sekali imbas nampak agak keras. Bagai ada unsur “paksaan”. Namun begitu, bagi mereka yang pentingkan disiplin menulis, saranan seumpama itu sangat rasional. Namun demikian, saya tidak hairan jika saranannya itu dianggap keras atau paksa. Sebagai antara sahabat terdekat, saya sangat memahami, apa yang dikatakan itu sebenarnya prinsip beliau sendiri sejak beberapa dekad menyusur dunia penulisan.

Sekitar awal tahun 1980-an, saya sudah mengenali beliau sebagai seorang penulis tersohor, khususnya di negeri Tanah Serendah Sekebun Bunga ini. Pun begitu, terdapat juga beberapa penulis lain kelahiran kampung Kubang Kerian yang saya kenali, tetapi penampilan beliau jauh lebih berbeza daripada rakan-rakan lain. Mana tidaknya, setiap kali berkunjung ke rumahnya, beliau sentiasa menulis. Jumpa di warung kopi juga beliau tidak lepas dengan kertas dan pena. Sepanjang mengenali, berjumpa Rosli sama ada siang ataupun malam, di mana sahaja, belum pernah saya merasai situasi, betul-betul mengeteh atau semata-mata berbual. Kalau sekadar berbual sekalipun, akan lebih kepada citra sastera.

Anehnya, kebanyakan orang tua di kampung pun perasan dengan penampilan Rosli sehingga boleh bertutur tentang beliau. Saya masih ingat kata seorang pak cik bernama Haji Zahari. Di kampung, orang memanggilnya Haji Pak Yi.

“Cikgu Li anak Pok Nik Mat ’ni, pelik. Duk kedai kopi pun nulis. Berjalan ke mana-mana tok rajin takdop buku. Masuk pasar beli ike pun ada buku di tange. Buku mesti ada sokmo.” (“Cikgu Rosli anak Pak Nik Mat ini aneh sungguh. Duduk di warung kopi sambil minum pun dia menulis. Berjalan ke mana-mana, di tangannya tak pernah tidak ada buku. Masuk pasar beli ikan pun ada buku di tangan. Buku sentiasa ada.)

Walau bukan daripada kalangan penulis sekalipun, saya percaya sahabat-sahabatnya yang lain sangat memahami sikap Rosli yang dilihat agak sedikit berbeza itu.

Dalam dunia penulisan, tidak pernah ada paksaan …

Lewat satu pengalaman lain, pada pertemuan kami jika tidak menulis, beliau akan membaca buku. Beliau membaca semua jenis buku. Sekiranya tidak ada buku baharu, beliau akan mengulang baca buku-buku lama. Bahkan, saya pernah dinasihati oleh seorang penyair, Abdul Hadi Muhammad, supaya membaca ikut cara Rosli, dan baca apa yang beliau baca. Dan, sikap, fiil serta perangai itu tidak pernah berubah. Bahkan, terbawa sampai ke hari ini.

Oleh hal yang demikian, saya tidak hairan kalau saranannya itu dianggap keras atau paksa, kerana apa yang dikatakan itu sebenarnya, itulah yang diamalkan oleh beliau sendiri hingga ke hari ini. Tidak hairan juga, bertolak atau berpegang pada “letakkan rasa ingin menulis, walau setiap hari” itulah beliau mampu menghasilkan tidak kurang daripada lima draf puisi dalam sehari, mengikut keinginannya.

Maka, tidak aneh jika Rosli memiliki banyak karya puisi, tidak termasuk yang telah diterbitkan. Saya mengetahui perkara ini kerana saya adalah antara salah seorang sahabat yang diizinkan atau amanahkan untuk menyimpan sebahagian daripada karya-karyanya untuk tindakan lanjut sekiranya beliau tidak sempat menerbitkan semasa hayatnya.

Merujuk kata ‘paksa’, Rosli sebenarnya dalam apa-apa jua situasi tidak pernah menyukai tanggapan tersebut. Hal ini demikian kerana dalam dunia penulisan, tidak pernah ada paksaan. Terpaksa atau dipaksa. Makna “letakkan rasa ingin menulis” itu hanya sebagai suatu kaedah, cara, usaha, atau langkah terbaik bagi menimbulkan rangsangan atau dorongan kepada diri sendiri untuk menulis atau mencipta kreativiti.

“Oleh itu, letakkan rasa ingin menulis, saudara tidak akan mudah kebuntuan idea dan pemikiran kerana sekurang-kurangnya, semua contoh aspek bagi membantu cetusan dan rangsangan idea serta pemikiran itu sudah ada, bagai siap tertampal. Hanya sahaja menunggu saudara mendinamikkannya dengan serba-serbi keberkesanan taakulan, kekuatan imaginasi dan kehandalan kraf cipta puisi.”

Tegas beliau, sesuatu yang dianggap mudah atau remeh-temeh kadang-kadang tidak pernah lengkap tersusun dalam kesedaran dan pengetahuan lantas menyebabkan buntu idea. Justeru, seseorang penyair atau penulis terutama kepada bakat pemula, wajar memahami sembilan aspek tersebut.

Namun demikian, Rosli tidak menafikan bahawa kebuntuan idea dan pemikiran ialah masalah normal yang selalu dihadapi oleh semua penulis atau penyair sehingga membantutkan kekreatifan dan keprolifikan seseorang pengarang.

Bengkel tersebut turut menarik perhatian, malah mencuit hati peserta apabila ada yang bertanya sama ada mimpi juga boleh dijadikan idea. Rosli yang dianggap oleh beberapa tokoh sastera tempatan sebagai profesor puisi pantas mengiakan namun tidak perlu ditambah menjadi aspek ke-10 kerana hal ini sudah termasuk dalam ruang lingkup aspek pengalaman. Terserah pada kebijaksanaan taakulan, interpretasi dan penghayatan untuk didinamikkan sebagai idea dan pemikiran jika berminat.

“Kecuali jika daripada juring keislaman, juga kesufian, mimpi yang mengandungi elemen kebenaran dapat diterima kewajarannya. Namun, jika mengutamakan fokus yang jelas kerana semata-mata menjuruskan tiga elemen berikut, iaitu: (1) tiba-tiba, (2) kebetulan dan (3) deus ex machina, maka mimpi itu tidak mempunyai apa-apa nilai dalam kesusasteraan.”

Mengulas lanjut, Rosli memaklumkan bahawa kesusasteraan ialah suatu kegeniusan dan kebijaksanaan. Peranan sastera pula, antara lain, membijaksanakan dan mencerdaskan minda pembaca. Mimpi, bukan kebijaksanaan, kerana unsur sebegitu mudah, tidak memberikan kehebatan dan cabaran dalam pemikiran kesusasteraan.

Selain perit jerih, kekangan, kongkongan, dan kebuntuan (idea), peserta juga berdepan dengan isu bagaimana dan di mana harus memulakan penulisan, meski idea telah siap terhimpun. Memahami isu tersebut, Rosli tidak jemu menyuntik semangat peserta agar lebih bermandiri dan tidak perlu gerun pada bayang-bayang sendiri.

“Apabila pena sudah berada di tangan, anda tidak perlu resah untuk menghadapi kertas kosong. Mulakan di mana saja. Selepas ini, anda akan melalui fasal semak dan baiki. Jangan jadikan diri anda sebagai laptop. Anda akan ditutup dan kembali ke alam gelap. Inilah pentingnya ‘Letakkan rasa ingin menulis’ itu sebagai kunci jati diri.”

Analogi beliau itu disambut dengan gelak ketawa oleh 60 peserta yang mengikuti bengkel tersebut. Suasana bengkel yang berlangsung selama dua jam itu turut bertambah ceria. Akan tetapi, tiba-tiba saja langsung bertukar senyap seketika apabila beliau mengherdik tegas, bahawa menulis bukan hanya dengan mengharap atau menunggu ilham semata-mata. Ilham tidak pernah turun dengan mudah. Tidak datang bergolek seperti bola.

Takrif ilham ialah suatu anugerah yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya sebagai kasih sayang pada hakikat kebenaran, keinsafan, kesedaran, dan ketepatan berkaitan pemikiran, taakulan dan petunjuk bagi sesuatu kebaikan, pemanfaatan atau penyelesaian masalah.

“Kita tidak dapat menafikan soal perkara ilham itu kerana Allah Maha Sempurna pada sifatnya sebagai Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Maha Penyantun. Kita sebagai makhluk sudah tentulah tidak akan berupaya mengetahui dan memahami sepenuhnya, dengan sempurna atau setepat-tepatnya berkenaan anugerah daripada Allah SWT pada soal ilham, kasih sayang dan kehendak-Nya.”

Tambah Rosli, dalam proses atau konteks kepengarangan, kepenyairan dan kreativiti juga perlu ada daya gerak sendiri. Hal demikian bagi membantu seseorang penulis berdepan dengan pelbagai kesulitan, termasuk kebuntuan pemikiran dan idea.

Maka, bengkel tersebut sangat signifikan, terutama bagi bakat pemula dan penulis muda untuk menghadamkan sekali gus memanfaatkan dengan sewajarnya kata “Letakkan rasa ingin menulis” bersama sembilan aspek tersebut sebagai satu kaedah pada titik tolak, sumber dan langkah bagi mencipta idea serta pemikiran untuk dikembangkan dan didinamikkan.

_________________________

Zuharman Mohammad Nor berasal dari Kelantan. Pernah bertugas dalam bidang kewartawanan arus perdana. Beliau menulis puisi dan puisinya pernah tersiar dalam Dewan Sastera.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi