Oleh Marsli N.O
Diterbitkan pada 13 Mac 2025, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Marsli N.O menampilkan perbezaan antara proses imaginasi dengan khayalan dan fungsinya dalam penulisan.

Daya imaginasi merangkumi kemampuan kita untuk menjangkau ke arah dalaman pada sesuatu yang kita anggap tiada apa-apa atau hal yang terlalu biasa dalam hidup sehari-hari kita.

Sebuah cerpen atau sebuah novel, sebagai contoh, sebuah karya yang kategorikan sebagai fiksyen (rekaan), dikatakan tidak sepenuhnya bersifat rekaan lantaran masih ada hubung dan kaitannya dengan kenyataan (fakta) yang melibatkan persekitaran dan diri penulisnya.

Kumpulan cerpen Godlob karya Danarto.

Namun begitu, dakwaan ini tidak sepenuhnya benar apabila “sifat nyata” sebuah cerpen atau novel, demi mengelak salah faham dan tindakan undang-undang, dengan sedar, telah disamarkan oleh penulisnya agar lebih jelas dan nyata bersifat rekaan (fictive).

Dalam proses mereka cipta semula atau memberikannya sifat yang rekaan, seorang penulis telah berusaha sesungguh hatinya untuk “mengandaikan” dan “membayangkan” sesuatu yang lain yang tidak kelihatan hadir pada alam nyata, dengan persoalan dan pertanyaan “bagaimana kalau”, “apa yang akan terjadi” atau persoalan lain yang boleh membantu dirinya “membayangkan sesuatu”.

Dalam kata lain, seorang penulis karya berbentuk rekaan mempergunakan daya imaginasinya untuk membayangkan, mengandaikan dan menciptakan sesuatu (kisah kejadian atau peristiwa atau cerita) dalam fikirannya. Bayangan dan kemudian hasil ciptaannya itulah yang dizahirkan sebagai sebuah karya: cerpen, puisi, novel, dan lain-lain yang apabila disiarkan secara terbuka akan dapat dibaca oleh orang lain.

Dalam hal imaginasi ini, Toni Morrison antara lain pernah menyebutkan betapa, “Kemampuan penulis untuk membayangkan apa-apa yang bukan dirinya, untuk menjadikan yang asing menjadi akrab, dan membuat yang biasa-biasa saja menjadi penuh misteri, ialah ujian atas kekuatan mereka.”

Daya membayangkan sesuatu melalui imaginasi dalam penulisan bukanlah sekadar kebolehan kita mengarang dan mereka sesuatu. Daya imaginasi merangkumi kemampuan kita untuk menjangkau ke arah dalaman pada sesuatu yang kita anggap tiada apa-apa atau hal yang terlalu biasa dalam hidup sehari-hari kita.

Seorang penulis karya kreatif yang baik dan memiliki sifat peka dalam dirinya, pada umumnya, mampu melihat di sebalik sesuatu yang terabai dan tidak dipedulikan orang. Kemampuan daya imaginasinya akan mendorong dirinya menggali segala kekacauan emosi dan fikiran, dan mampu menyajikannya sebagai sebuah karya yang tepat dan memukau.

Seorang penulis yang memiliki daya kepekaan rasa (sensitiviti) dan daya kreativiti yang tinggi, mampu mengajukan pertanyaan demi pertanyaan dan menghidangkan kembali pengalaman yang mungkin terasa membosankan dan terlalu biasa dalam kehidupan sehari-hari melalui karya mereka.

Hasil karya mereka, cerpen, novel dan atau karya lain yang berbentuk rekaan ini mampu menyentuh saraf emosi dan simpati kita, mengingatkan kita kembali kepada keindahan dan keajaiban yang mungkin secara tanpa sedar selama ini diabaikan di sekeliling kita.

A.S Laksana dalam suatu tulisannya berjudul “Kemampuan Imaginasi” antara lain menyebutkan betapa imaginasi “Mendorong kita untuk melihat dengan mata baharu.”

Para penulis ini juga, menurut A.S Laksana, yang melahirkan karya dengan kepekaan dan pemahaman yang mereka miliki dengan peralatan imaginasi ini, membantu pembaca memahami diri sendiri dan dunia di sekitar kita, dengan cara yang lebih baik.

Akan tetapi, banyak antara kita yang beranggapan bahawa karya tulis berbentuk rekaan begini hanya mampu dilahirkan oleh seorang pengkhayal. Oleh itu, mereka tidak mahu atau malah berasa malu menulis novel, cerpen ataupun sajak.

“Saya tidak suka berkhayal. Itu sebabnya saya hanya menulis sesuatu yang berasaskan fakta. Sesuatu yang bukan fiksyen. Saya tidak menulis cerpen atau sajak.”

Benarkah demikian? Menulis karya fiksyen mesti dan perlu berkhayal? Tanggapan begini muncul kerana kebanyakan kita menyangka betapa imaginasi yang diperlukan oleh seorang penulis karya berbentuk fiksyen itu disangka sebagai suatu aktiviti berkhayal.

Imaginasi bukan hanya sekadar visualisasi, tetapi langkah menuju kemungkinan nyata yang boleh diwujudkan.

Memang secara mekanismenya, khayalan dan imaginasi tidak begitu jauh bezanya. Namun demikian, khayalan dan imaginasi memiliki perbezaan yang sangat ketara, terutamanya dari segi peranan yang berkait dengan kreativiti dan realiti.

Imaginasi ialah kemampuan mental untuk membentuk gambaran, konsep atau idea baharu yang mungkin belum ada atau belum terlihat nyata. Imaginasi sering dikaitkan dengan kreativiti, daya cipta dan daya andaian di dalam fikiran, karena membuka pintu pada kemungkinan, reka cipta dan inovasi. Misalnya, Albert Einstein pernah berkata, “Imagination is more important than knowledge.” Bagi tokoh besar ini, imaginasi ialah kunci untuk merancang hal-hal yang belum ada, malah melampaui batasan pengetahuan yang sudah diketahui.

Contoh nyata daripada imaginasi dapat kita lihat dalam sains, apabila para ilmuwan sains seperti Nikola Tesla membayangkan konsep elektrik arus bolak-balik sebelum teknologi itu diciptakan.

Dalam bidang seni tampak, Leonardo da Vinci menciptakan sketsa mesin terbang berabad-abad sebelum manusia mampu terbang dengan pesawat. Dalam konteks ini, imaginasi bukan hanya sekadar visualisasi, tetapi langkah menuju kemungkinan nyata yang boleh diwujudkan.

Khayalan pula, pada di sisi lain, lebih mengarah kepada penciptaan gambaran atau sesuatu yang bersifat rekaan, tidak logik atau tidak mungkin. Khayalan biasanya tanpa tujuan dan berada dalam ruang fantasi serta tidak memiliki dasar kuat serta tujuan untuk direalisasikan sebagai suatu kenyataan. Bagi Freud, khayalan dikatakan sebagai bahagian daripada mekanisme pelarian yang boleh menenangkan fikiran, tetapi tidak untuk diwujudkan atau dijadikan suatu kenyataan.

Contohnya, ketika hendak ke pejabat pada suatu pagi lalu kita terperangkap dalam kesesakan jalan raya yang panjang dan lama. Untuk mengurangkan rasa tertekan, kita berkhayal, ‘Kalau tubuh aku ini boleh ghaib dan melayang ke pejabat waktu begini alangkah bagusnya.’

Kulit hadapan cerpen “Otak-otak yang Pecah” penulis yang tersiar dalam Dewan Sastera September 2016.

Khayalan, misalnya, membayangkan diri kita memiliki kekuatan super untuk terbang atau membaca fikiran orang lain. Hal ini jelas, cuma khayalan. Sesuatu yang tidak logik, kerana pada hakikatnya, sebagai manusia biasa, hal seperti itu tidak mungkin wujud dan terjadi. Khayalan hanyalah untuk rasa senang atau seronok yang sekejap, atau untuk sementara waktu melarikan diri daripada kenyataan.

Akan tetapi, keadaan dan kedudukannya akan jadi lain jika apa-apa yang dikhayalkan itu dilanjutkan lagi dalam bentuk yang lain: daripada sesuatu yang tidak logik, dihuraikan dan dilanjutkan ke dalam bentuk sebuah karya rekaan, dengan segala kemungkinan dan sebab akibatnya!

Daripada khayalan inilah, yang dinaikkan tarafnya kepada “imaginasi”. Maka, Lahirlah karya seperti cerpen “Abracadabra” dalam kumpulan cerpen Godlob oleh pengarang Indonesia, Danarto. Watak Gregor Samsa yang selepas bangkit daripada tidurnya bertukar menjadi lipas lalu memerhatikan perilaku manusia dalam Metamorfosis oleh Franz Kafka, atau dalam cerpen saya, “Otak-otak yang Pecah” (disiarkan dalam majalah Dewan Sastera September 2016) bolehlah dibaca untuk menemui transformasi daripada khayalan kepada imaginasi.

Maka, dalam bidang sains dan teknologi, imaginasi berfungsi sebagai jambatan menuju inovasi—sesuatu yang meskipun belum ada boleh saja diwujudkan pada masa hadapan. Atau sebagai alat kepada seorang penulis karya kreatif, fiksyen, rekaan – imaginasi mampu melahirkan sebuah karya yang di luar daripada kebiasaan (konvensional), bersifat baharu dan menjauhkan diri daripada realiti.

Sebagai kesimpulannya, imaginasi ialah alat untuk menjelajah dan menciptakan suatu idea dan dunia yang baharu atau lain.  Sementara itu, khayalan ialah satu bentuk angan-angan fantasi yang tujuannya hendak menyenangkan perasaan serta rasa seronok yang sekejap, tanpa turutan untuk dijadikan kenyataan dalam bentuk apa-apa pun.

Jadi, pilihan di tangan kita. Kitalah yang memilih untuk berimaginasi bagi menciptakan sesuatu yang baharu, atau sekadar berkhayal untuk menyeronokkan perasaan sendiri yang sifatnya sementara.

_________________________

Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected]Artikel ini diubah suai daripada nota percakapan untuk peserta Bimbingan Penulisan Kreatif (Puisi dan Cerpen) pada 20 November 2024 (Rabu) di Auditorium Mahyudin, Universiti Malaysia Terengganu, Kuala Terengganu anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur.

Kredit Foto: Europena/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi