Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan sekurang-kurangnya empat langkah merekayasakan bidang bahasa, sastera dan budaya di universiti awam telah dilaksanakan.
Menterinya, YB. Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, antara langkah tersebut termasuklah memperkenalkan rancangan atau dasar-dasar yang bersifat interdisiplinari di universiti-universiti awam dengan pelbagai program yang diperkenalkan.
“Sebagai contoh kalau ada program Sarjana Muda Linguistik, akan ada juga Teknologi Maklumat dengan kepujian.
“Hal demikian kerana kita berhasrat supaya pelajar yang keluar nanti akan dapat menguasai kedua-dua bidang ini,” katanya, pada Mesyuarat Pertama Dewan Negara bagi penggal keempat Parlimen ke-15 Tahun 2025, baru-baru ini.
Beliau menjawab soalan senator, YB Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan berhubung langkah-langkah atau rangka untuk menyeimbangkan bidang pengajian antara Sains Tulen dengan Sains Sosial Kemanusiaan.
Menurut Zambry, universiti awam juga menawarkan program akademik melalui ijazah bersama, ijazah berganda dan juga ijazah dua.
Selain itu, universiti awam juga jelasnya, bekerjasama dengan pihak industri seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk bersama-sama memberi kefahaman tentang perkembangan bahasa, sastera dan budaya.
“Langkah seterusnya adalah untuk melaksanakan kajian berkaitan budaya oleh beberapa universiti seperti Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) khususnya, bagi warisan budaya yang difikirkan semakin ditinggalkan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Zambry berkata, KPT sentiasa, bahkan amat prihatin terhadap perkembangan pendidikan negara bagi memastikan graduan yang bakal lahir nanti relevan dalam pelbagai bidang.
“Malah, kita juga perlukan satu bentuk naratif budaya dan nuansa bahasa yang sebaiknya bagi melahirkan masyarakat serta generasi yang seimbang dalam pelbagai aspek,” katanya.