Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBukit Jalil – Bagi memastikan kesinambungan dan keberlangsungan sastera sebagai wahana penyampaian nilai serta memanusiawikan sistem sosial, penerapannya perlu bermula sejak peringkat akar umbi.
Hal ini dikatakan demikian kerana ekosistem sastera di Malaysia telah menyaksikan perkembangan yang memberangsangkan, terutamanya dalam bidang puisi.
Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Profesor Dr. Tan Awang Besar, dalam ucaptama acara Cipta Citra 2025 sempena Hari Puisi Sedunia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Pavilion Bukit Jalil, hari ini, menegaskan bahawa usaha untuk memperkasakan sastera tidak boleh terhad dalam lingkungan akademik semata-mata.
“Sastera tidak boleh terbatas dalam dinding empat penjuru yang dipanggil kelas.
“Pendidikan awal secara sosial perlu diterapkan di luar kurikulum persekolahan agar generasi muda lebih memahami nilai yang terkandung dalam kesusasteraan,” kata beliau.
Beliau menekankan bahawa pengajaran sastera harus merangkumi semua pelajar sekolah tanpa mengira aliran pendidikan, sama ada kebangsaan, jenis kebangsaan, agama ataupun sains.
Nilai yang disampaikan melalui sastera bukan sahaja membentuk keperibadian individu, tetapi juga melahirkan masyarakat yang beradab dan berbudaya.
Dalam wacana yang berlangsung, ujar beliau, sastera turut diangkat sebagai alat penyampaian sistem nilai dan sosial dalam masyarakat.
Warisan lisan seperti cerita rakyat, mitos dan legenda telah lama menjadi medium untuk menyampaikan kepercayaan serta pantang larang yang diamalkan dalam sesuatu komuniti.
Sebagai contoh, kisah Sang Kancil dan Sang Buaya bukan sekadar hiburan kanak-kanak, tetapi turut mengandungi mesej moral tentang kebijaksanaan dan kepercayaan.
Begitu juga dengan seni persembahan seperti wayang kulit dan tarian Mak Yong yang sarat dengan unsur bahasa dan seni fonetik yang indah, kelunakan sebutan, irama serta makna tersirat.
Penerapan nilai estetika dalam penceritaan membantu masyarakat memahami kehalusan bahasa dan makna yang lebih mendalam.
Bahasa dan sastera ialah cerminan budaya.
“Tanpa didikan awal untuk menghargai khazanah ini, generasi akan datang berisiko kehilangan warisan yang amat berharga,” ujar Profesor Dr. Tan Awang Besar.
Tambah beliau, bagi memastikan kesinambungan ekosistem sastera, pertubuhan dan agensi yang memperjuangkan sastera tempatan perlu bergabung dengan pemain industri di luar lingkup akademik.
Jelasnya, usaha ini termasuklah kerjasama antara badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat swasta dalam merangka program kesusasteraan serta pemerkasaan seni dan budaya.
Jika mengikut resmi alam, benih kesusasteraan perlu ditanam sejak kecil, sama ada di sekolah rendah, menengah, ataupun institusi pengajian tinggi.
“Langkah ini penting bagi memastikan elemen kesenian seperti bahasa dan sastera sentiasa tersemat dalam jiwa setiap rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Profesor Dr. Tan Awang Besar turut mengusulkan agar unsur seni, khususnya bahasa dan sastera, diberi perhatian dalam sistem pendidikan kebangsaan.
“Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) sering menjadi keutamaan, tetapi perlu ada tambahan elemen seni, membentuk STEAM – Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni dan Matematik,” ujarnya.
“Seni, termasuklah sastera, memainkan peranan penting dalam pembentukan jati diri dan keperibadian bangsa,” kata beliau lagi.
Acara Cipta Citra 2025 yang berlangsung selama tiga hari turut menampilkan pelbagai aktiviti berkaitan dengan sastera, termasuklah bengkel penulisan puisi, deklamasi sajak, serta diskusi panel yang membincangkan hala tuju kesusasteraan Malaysia pada era digital.