Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari menulis belasungkawa mengenang penyair Allahyarham Mohd Adid Ab Rahman. Ikuti tulisannya dengan sejarah tersembunyi, perkongsian ilmu, humor dan menyentuh emosi ini.
Sepanjang di Aceh, Adid akrab dengan ramai penyair dan penulis di sana …
Selesai pengajian di Aceh, Adid menyambung pengajian lagi, mengambil Diploma Pendidikan di Universiti Teknologi Malaysia, Sekudai, Johor.
Kemudian, dia berjaya menjadi guru, di Melaka. Mengajar subjek Pendidikan Islam. Dengan subjek ini, tentulah dikenali sebagai “ustaz”. Jika tidak silap pengetahuan saya, sepanjang tugasnya itu, dia pernah mengajar di dua buah sekolah menengah di negeri itu.

Dia membina kediaman, juga di sana. Namun begitu, isterinya oghe Kelate, iaitu gadis dari Jajahan Tumpat, Kelantan.
Sesekali dia pulang ke Kelantan ketika cuti sekolah. Pernah dia berkirim salam kepada saya melalui Zalani Mohamad, namun tidak pernah sempat kami bertemu mata. Saya memahami hal demikian kerana saya juga seorang guru waktu itu.
Sebut sahaja cuti sekolah, tetapi sebahagian besar cuti itu bukan untuk dinikmati sebagai rehat. Banyak, pelbagai hal lain lagi yang mengisi tugas. Sebenar-benar cuti hanyalah tujuh hari dalam setahun (sekarang, 15 hari) sebagai cuti rehat. Itu pun pada kadar satu – dua hari, sekali pohon. Bahkan, cuti rehat itu bukanlah untuk berehat, sebaliknya digunakan atas urusan peribadi atau keluarga.
Kawan-kawan pendidik selalu gelak apabila saya berkata, “Sebaik-baik guru ialah guru yang membuat rumah di dalam sekolah.”
Oleh sebab itu saya memahami, Adid hanya pulang sebagai tergesa-gesa hari sahaja. Sementelah di kampung halaman, harus bergegas mengunjungi sanak saudara. Adid menetap di Melaka sejak tahun 1997. Sebegitu lama, hampir 30 tahun.

Namun bagusnya, dia tetap prolifik dalam kreativiti puisi, genre kepengarangan yang diminatinya sejak sekian lama. Malahan, dia menjadi ahli seumur hidup Ikatan Persuratan Melayu Melaka (IPPM) dan Persatuan Penulis Melaka (PENAMA).
Bahkan, dapat dikagumi kerana pada tahun lepas, Adid dikurniai oleh PENAMA sebagai penerima Anugerah Kalam Sastera 2024.
Sejak di Aceh dulu lagi, Adid tidak pernah berpisah dengan pena dan puisi. Dia tekun dan tabah mengarang puisi di sana. Karyanya biasa tersiar dalam pelbagai wadah media di seberang sana, terutamanya di Aceh.
“Ya, tika itu, puisinya tersiar dalam koran (akhbar) dan majalah, di Aceh dan juga Medan,” begitu antara yang diterangkan oleh Zab Bransah kepada saya.
Sepanjang di Aceh, Adid akrab dengan ramai penyair dan penulis di sana, di samping dengan Zab Bransah juga. Pendek kata, Adid dapat mencipta nama dan keprolifikan puisinya di seberang sana. Hal ini, cukup terpuji.
Dari sana juga, penyair ini tetap tidak lupa mengirimkan karya puisinya untuk cuba mendapat tempat di tanah air sendiri. Puisinya memang berjaya tersiar di pelbagai media tanah air. Malah, sekembali ke tanah air, semakin meningkat prolifik.
Namun dia juga tidak lupa, di tanah air, dia tetap terus menyumbangkan puisinya ke Aceh. Jika paling mutakhir, kirimannya, terutama kepada pelbagai majalah laman maya di sana. Di samping itu, dia tidak putus-putus menyertai grup Facebook dalam kalangan sahabat dan alumni di seberang itu.
Tentu sahaja, bak kata peribahasa, tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat bermain. Adid benar-benar antara beberapa susuk penyair yang dapat dibanggakan dalam usaha menjambatani puisi dan sastera Malaysia–Indonesia.
Di tanah air, puisinya biasa tersiar dalam majalah Dewan Sastera, Tamadun Islam, Wanita, selain akhbar Berita Harian, Mingguan Malaysia, Utusan Zaman, dan Utusan Borneo. Selain itu, sajaknya ikut termuat dalam puluhan antologi.
Melalui laman majalah maya pula, puisinya termuat dalam Lamanriau.com, Potretonline.com, Kosana.my.id., sksp-literary.com, Sabah360 Online, dan Riausastra.com.
Juga dapat dikagumi, jika menurut Karmila Azmi (JendelaDBP Dewan Sastera, 13 Disember 2024), sebuah puisinya berjudul “Sekeping Kartu Kecil” terpilih dimuatkan dalam antologi teks KOMSAS SPM.

Penulis dan deklamator puisi terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusof memberitahu saya, “Sutung Umar RS (Allahyarham) menyukai puisi Adid.” Sementelah pula, Sutung Umar RS ialah editor. Ketika itu, sebagai editor Dewan Sastera dan kemudian Berita Minggu.
Mengutip WhatsApp daripada Prof. Madya Dr. Norhayati Abdul Rahman pula, menarik diketahui, “Saya baca sajak arwah sejak zaman sekolah. Tapi tak pernah jumpa orangnya.”
Adid mengungkapkan pelbagai pemikiran dalam puisinya. Namun menurut pengamatan saya, puisinya lebih istimewa dan konsisten pada juring pengucapan keislaman.
Adid merupakan antara jujuk yang turut mengukuhkan puisi berpemikiran Islam. Sebagai contoh, mutakhir ini, sejumlah puisi keislaman oleh penyair ini dapat ditemui dalam majalah maya Potretonline.com (Aceh).
Namun demikian, tentulah ironis untuk dinyatakan di sini, bahawa penyair Mohd Adid Ab Rahman tidaklah begitu dikenali di Kelantan.
Pengamatan dan pengalaman saya, kecuali pada segelintir sahabat penyair, sebenarnya ramai daripada kalangan penyair veteran dan mapan di Kelantan tidak mengetahui bahawa Adid merupakan penyair dari negeri ini. Lebih-lebih lagilah, ternyata asing pada pengetahuan kebanyakan penulis muda dan pelapis di negeri ini.
Hal ini mungkin kerana empat faktor:

Tambahan pula, karya puisinya belum mendapat perhatian besar daripada kalangan pengkritik. Lebih-lebih lagi (kecuali jika terlepas daripada pengetahuan saya), penyair ini belum berkesempatan memiliki kumpulan puisi persendirian.
Namun apa-apa pun, sekalipun tanpa kumpulan puisi, mandiri kepenyairan Adid sebenarnya sudah dapat ke depan, berdiri sebagai antara jujuk penyair kesohor Kelantan. Meski pengisiannya, sebenarnya, dapat turut dikongsi dan dibanggakan bersama-sama dengan Melaka.
Dalam sepanjang kreativitinya, saya tidak tahu, sama ada draf puisi yang sudah ditukarkan judul kepada “Sepi, Renung Jendela Malam” itu dahulu, diguna pakainya, tersiar atau tidak. Atau mungkin dipinda ubah, sebagai nukleus isi, bertransformasi kepada puisi lain pula.
Namun hal ini mungkin tidak, kerana jika pada majalah dan akhbar di tanah air yang sempat dibaca, tiada pernah saya temui puisinya ini. Melainkan, jika di luar pengetahuan saya. Lagipun, hal itu dahulu merupakan sebahagian kerja draf dalam minat dan kreativiti awalnya sebagai penyair pemula.
Dalam hal ini, izinkan saya untuk memetik sebuah sajak Adid yang tersiar dalam potretonline.com:
…Tiba-tiba Saja Kau Menaiki Kereta Pergi ke Wilayah Lenyap
…Tiba-tiba saja kau menaiki kereta pergi ke wilayah lenyap
…pelita terpadam di gubuk buruk dibelasah angin lalu timbul gelap
…bagai nasib malang orang-orang tertindas hanya kerana kemiskinan
…itu bangsaku sendiri, kerana malaskah atau takdir yang salah?
…betapa pedih batin ditusuk belati
…seperti kisah mangsa covid19 satu demi satu tumbang
…tak ada yang mampu menghiburkan
…kecuali hati yang sabar, doa berterusan dan pasrah
…Kau tak pernah nyalakan lampu isyarat di persimpangan
…bagiku peristiwa berlaku terlalu pantas, tak terduga
…ketika belum sepenuhnya aku terjemah dan membaca kau
…Aku bersama sepi pada pusara pahlawan tak dikenang
…walau semalam berjuang tegakkan keadilan di negeri ini
…kini aku taman tanpa bunga
…kau daun yang tinggalkan dahan
…moga esok menghulurkan tangan
…ketiadaanmu berganti
…hidupku meriah dengan langgam-langgam bulan
Saya tidak berhasrat untuk melebarpanjangkan tulisan ini dengan menyorot kupas puisi di atas.
Jika diteliti, unsur keislaman tetap jelas tidak renggang dalam pemikiran dan pengucapannya (sabar, doa, pasrah – sebagai tawakal, pusara). Namun begitu, juring lebih utama dan besar yang cukup menggetarkan pada kraf puisi ini, saya suka menyarankan para pembaca budiman bagi merenung, betapa menarik kekuatan citra dan simbol yang digarap oleh penyair ini pada puisinya. Begitu dinamik, halus, indah, segar, dan berkesan.
Para pengkaji dan sarjana wajar meneliti peranan dan sumbangan kreativitinya, terutama sebagai menghargai penyair ini. Malah, karyanya masih belum mendapat kajian atau sorotan luas.
Seterusnya, Zalani turut memaklumkan, tulisan tangan Adid sangat cantik. Memang dapat saya ingat, draf puisinya, “Sepi, Renung Jendela Malam” dahulu, cantik tulisan tangannya. Dalam pengetahuan saya, Adid dan Wadi Leta S.A. merupakan dua penyair Kelantan yang memiliki tulisan tangan yang cantik, sekalipun pada sekadar mendraf.
Saya tertawa, mengingat tulisan tangan sendiri. Jika mendraf, rasanya tulisan tangan sayalah yang paling comot koreng-moreng.
Malah, saya tergelak, meski kagum, diceritakan oleh Zalani, jika “musim” hendak mengirimkan kad Hari Raya, budak-budak muda dalam kampung akan meminta tolong daripada Adid untuk menulis pada kad mereka. Lantaran, tulisan cantiknya itu. Surat cinta, juga begitu. Tolong dituliskannya. Wah!
Adid juga pandai melukis potret dan landskap, sama ada dengan pensel atau cat air. Maka itu sebabnya, selain sebagai ustaz di sekolahnya, dia dapat mengajar seni lukis juga.
Antara lain lagi, Adid pernah menoreh getah. Ketika itu, semasa dia bersekolah menengah dan sebelum ke Aceh. Wang hasil penat lelah itu bagi menyara dirinya, tanpa menyusahkan ibu bapa. Kebun getah milik orang tuanya sendiri.
Ayahnya, Haji Abd Rahman Yusoff, bekerja sebagai tukang rumah. Namun, dikenali berkemahiran mengukir, malah selalu dipuji cantik pada bahagian tertentu rumah. Misalnya, pada tangga simen rumah. Walau tidak disuruh atau diminta, tuan rumah akan terkejut, kagum dan amat berterima kasih.

Ibunya, Hajah Embong Saman, berkemahiran kraf tangan, menganyam tikar. Menurut Zalani, dahulu, kampungnya amat terkenal sebagai tempat membuat tikar pandan dan mengkuang. Namun, dalam kampung itu, ibu Adid paling dipuji begitu mahir menganyam tikar dengan pemeragaan motif yang cantik indah.
Sampai kini, beberapa kajang (orang Kelantan menyebutkan, bidang) tikar itu masih kekal tersimpan elok. Tinggalan warisan yang diambil cakna, disimpan oleh Adid dan kakaknya.
Kedua-dua orang tuanya sudah berpulang ke rahmatullah.
Adakah mungkin bahawa Adid mewarisi tradisi meminati seni daripada kedua-dua orang tuanya? Cuma yang jelas, kecintaan dan minatnya menjuring pada puisi, kesusasteraan.
Penyair ini baru bersara wajib dari dunia pendidikan pada tahun 2022 lalu. Namun kemudian, mengalami sakit kronik.
Menurut Zalani, Adid menghidap masalah prostat, serta rosak kedua-dua buah pinggang. Beberapa hari di hospital, ditidurkan, sebelum kemudian harinya berpulang ke rahmatullah pada kira-kira jam 4.00 pagi.
Allahyarham meninggalkan keluarga tercintanya, demikianlah suratan takdir yang ditetapkan oleh Ilahi.
Isterinya, Haizah Abdul Rahman (menyamai dengan nama bapa Allahyarham Adid), 57. Empat orang anaknya; Ahmad Khairul Bashah, 28 (berkelulusan Universiti Malaya), Siti Norasyikin, 26 (berkelulusan Universiti Teknologi MARA), Siti Nuralia, 24 (berkelulusan Universiti Putra Malaysia), dan Siti Nurafia, 14, yang masih bersekolah menengah.
Jenazah Allahyarham dibawa pulang dengan kenderaan jenazah dari Melaka. Tiba di Kelantan kira-kira sekitar waktu isyak. Disolatkan di masjid dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kg. Lubok Pukol, kampung halamannya.
Keesokannya, awal petang, 14 Disember, Zalani membawa Pengerusi Liga Penulis Kelantan (LPK), Dahri Zakaria dan saya mewakili Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) bersama-sama menziarahi pusaranya.

Adid sudah meninggalkan kita dan dunia puisi, sastera yang dicintainya, buat selama-lamanya. Namun begitu, sumbangan puisinya tetap kekal abadi sebagai bakti untuk agama, masyarakat, bangsa, tanah air, dan peradaban Nusantara.
Para pengkaji dan sarjana wajar meneliti peranan dan sumbangan kreativitinya, terutama sebagai menghargai penyair ini. Malah, karyanya masih belum mendapat kajian atau sorotan luas.
Kita mendoakan, moga-moga Allah SWT menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang beriman, serta dilimpahi dengan kasih sayang-Nya. Amin.
Allahyarham penyair ini menyusuli bonda tercintanya yang kembali ke rahmatullah pada tahun 2022, yang juga berpulang pada hari mulia, Jumaat. Malah, dimakamkan berhampiran pusara ibunda tercintanya.
Al-Fatihah.
Baca Bahagian Pertama Refleksi |
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.