Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSasterawan Negeri Kelantan Rosli K. Matari menulis belasungkawa mengenang penyair Allahyarham Mohd Adid Ab Rahman. Ikuti tulisannya dengan sejarah tersembunyi, perkongsian ilmu, humor dan menyentuh emosi ini.
Dia menyatakan hasrat ingin belajar menulis puisi daripada saya. Saya pula menyatakan, saya bukan penyair masyhur dan puisi pun ketika itu hanya sebuah dua sahaja yang dikirim, tersiar dalam setahun.
“Adid sudah ke Indonesia.”
Saya terkejut diberitahu demikian oleh Zalani Mohamad, ketika suatu petang di warung “Kedai Payung”, di seberang jalan dari Gelanggang Seni, Kota Bharu.
Kelaziman, kami para sahabat penulis, deklamator dan penggiat teater berkumpul temu di situ. Walaupun kami sekelompok kecil, namun kami girang, berkelakar tawa sambil berbual selain serius juga bersembang sastera atau berbincang program persatuan penulis.
Saya tidak ingat lagi, berapa tahun (mungkin sekitar 1980-an), kami pernah berkumpul temu begitu di tempat yang sama.
Saya teringat penyair Allahyarham Mohd Adid Ab Rahman yang sudah berpulang ke rahmatullah pada pagi mulia, Jumaat, 13 Disember, baru-baru ini.

Saya mengenang kembali kata-kata daripada Zalani, yang pada saya ketika itu, terasa begitu mendadak. Tiba-tiba sahaja Adid sudah berangkat ke Indonesia. Sementelah, baru sahaja kira-kira dua minggu, kami pertama kali dapat bertemu dan saling mengenal secara dekat.
Zalani ialah sahabat akrab Rahimidin Zahari (Allahyarham). Malah, jika di Kelantan, saya dapat menegaskan, dialah sahabat yang paling dikasihi oleh Rahimidin, hatta dibandingkan dengan mana-mana sahabat dan penulis yang lain.
Saya tahu benar hal ini. Lebih-lebih lagi kerana mereka berdua bekas pelajar saya semasa mengajar di sekolah swasta Akademi Kenali di Kubang Kerian.
Di samping itu, Rahimidin bersama-sama Zalani ikut juga belajar menulis puisi dengan saya. Beberapa buah puisinya, tersiar. Mampu mencipta puisi yang boleh dikatakan bagus, sebagai bakat awal. Sebuah puisinya yang tersiar dalam majalah Dewan Siswa pernah berjaya memenangi Hadiah Sastera Siswa-Bank Rakyat. Sayangnya, dia tidak konsisten dan prolifik daripada Rahimidin.
Melalui pesan pada Zalani, Adid ingin bertemu mata dengan saya.
Zalani datang lagi ke rumah, sehari sebelum janji temu, bimbang saya terlupa. Di samping ingin memastikan, saya tidak kebetulan mengambil cuti.
“Boleh sahaja sebab esok masih hari bersekolah, insya-Allah, Abang ada di sekolah,” jawab saya.
Pada waktu itu, Zalani dan Rahimidin sudah tidak belajar di sekolah tempat saya lagi.
“Datang nak jumpa dan kenal Abang Sastera,” itulah kata-kata pertama Adid. Sangat saya ingat akan kata-kata itu. Kata-kata yang mencengangkan kerana disebutnya, “Abang Sastera”. Saya tahu makna mendalamnya, walau bukan suatu istilah formal dalam sastera.
“Tiga kali saya start motor,” ujarnya. Pada kata-kata itu, saya sangka motosikalnya payah dihidupkan enjin. Tetapi, tidak.
“Segan pula nak datang. Terasa antara jadi dengan tidak jadi datang. Teragak-agak.”
Saya gelak. Kami belum pernah saling mengenal. Maka, dia terasa segan pula. Padahal, saya bukanlah penulis terkenal, apatah lagi tokoh besar ketika itu.
“Tapi sebab dah janji, saya start semula motor. Pecut datang. Takut Abang Sastera dok tunggu-tunggu.”
Tergelak lagi saya, membayangkan pecut datangnya itu. Teringat cerita kartun.

Dia janji datang semasa waktu rehat sekolah. Saya menunggu-nunggu. Dia lewat, satu jam lebih, lantaran rasa segan yang diujarkannya itu. Mujur pada hari itu, ada perubahan jadual baharu. Saya kebetulan terdapat serangkai dua petak kosong pada jadual mengajar.
Maka, dapat juga kami bertemu pada janji itu, meski teranjak masa. Oleh itu, bagus juga lewatnya itu. Dapat kami bersembang lebih panjang.
Saya bawa Adid bersembang di meja kantin sekolah. Lengang suasana kantin kerana semua guru dan pelajar sudah selesai masa rehat.
Langsung dalam pertemuan, saya memberitahu Adid, datanglah kalau lapang masa, kerana bukan suatu masalah untuk acap bertemu pun, pada masa senggang saya mengajar. Malah, saya menyarankan dan mengajaknya luangkan masa, datang ke tempat kami, para sahabat sastera lazim bertemu di Kota Bharu itu.
“Nanti kita boleh sembang sastera dengan lebih panjang, di sana.”
Dia mengangguk.
Namun sebenarnya, dia tidak berkesempatan menyertai rutin kumpul temu kami di “Kedai Payung”. Bahkan, tidak datang bertemu saya lagi. Lantaran, sudah berangkat ke Aceh, Indonesia. Beberapa tahun dia di seberang sana.
Dalam pertemuan, saya cepat bertanya, “Kenapa Did panggil saya Abang Sastera?” Saya berasa segan dan tidak tepat untuk dilabelkan demikian.
Bagi saya, jika sebagai Abang Sastera, masih ramai kawakan lain di Kelantan yang lebih berusia, untuk lebih layak dipanggil sebagai Abang Sastera. Lebih-lebih lagi, pada konotasi takrif Abang Sastera itu. Bukan saya. Jauh untuk layak pada diri saya.
Dikatakannya itu ini, berdasarkan apa yang pernah didengar dan diketahuinya. Maka, itulah alasan, saya ingin dipanggilnya demikian. Mahu tak mahu, terpaksa saya tertawa.
Saya menjawab, “Lebih indah khabar itu, Did, daripada rupa.”
Saya fikir, semua hal itu, tidak lain dan tidak bukan tentulah bersumberkan tutur cerita daripada Zalani, kerana mereka berdua tinggal sekampung. Malah, akrab.
Mereka tinggal di Kg. Lubok Pukol. Sebuah desa tenang, indah dengan sawah, getah, dusun buah-buahan, dan tali air. Jalan masuk ke kampung itu, di tepi jalan besar dari Kg. Kedai Baru, arah menghala ke Jajahan (Daerah) Bachok. Tidaklah jauh dari tempat saya di Kubang Kerian.
Dalam sembang, saya memberitahu Adid, satu-satunya alasan boleh baginya memanggil saya Abang Sastera ialah kerana saya dilahirkan pada tahun 1961, manakala dia pada tahun 1962.
“Pada beza setahun lebih berusia, maka saya layak boleh sebagai abang,” jelas saya. Gilirannya tertawa mendengar alasan itu.
Dia seorang berperwatakan sopan, lemah lembut dan sangat tertib tutur kata. Rendah suaranya. Oleh itu, gelak tawa kecilnya itu sangatlah saya ingat sampai sekarang.
Dia menyatakan hasrat ingin belajar menulis puisi daripada saya. Saya pula menyatakan, saya bukan penyair masyhur dan puisi pun ketika itu hanya sebuah dua sahaja yang dikirim, tersiar dalam setahun.
Dia menjawab, “Tak apalah, Abang Sastera. Yang penting, belajar. Bukan, siar. Itu hal kedua.”
Saya diam, namun mengangguk.
Namun begitu juga, sebenarnya, memang tidak ada apa-apa kesempatan mengajar dan belajar dengannya, kecuali dengan tiga buah puisi sahaja (lantaran, dia sudah harus cepat ke Aceh, menerima tawaran memasuki pusat pengajian di sana).
Di meja kantin, saya hanya sempat meneliti dan menegur ajar, berbincang, sekadar kemahiran kecil saya, pada tiga buah puisi yang dibawanya. Sebuah ialah draf bertulisan tangan. Dua buah lagi ditaip menggunakan mesin taip manual (mesin taip pada masa itu).
Salah satunya yang tetap masih saya ingat ialah judul “Sepi, Renung Tingkap Malam”. Draf, tulisan tangan.
Saya terfikir, menyoal diri. Mengapa tulisan tangan, sedangkan dua lagi itu bertaip? Dugaan saya, mungkin dia (1) tergesa-gesa mengarang, atau (2) draf belum sempurna untuk dimuktamadkan, ditaip. Namun begitu, saya lebih cenderung berfikir, dia baru memilih-ambil, ketika hendak datang, mana-mana drafnya yang sudah sedia ada. Sebagai draf yang dianggapnya belum memuaskan atau sempurna. Jika tidak, tentulah ditaip juga.
Tetap saya ingat pada sebuah draf puisi ini kerana tiga hal berikut.

Tetap saya ingat, dia terkejut ketika saya memuji, tertarik dengan judul tersebut sebagai mengandungi dimensi pada perspektif lapis makna itu. “Puisi yang dinamik,” ujar saya.
Dia tertawa, sopan, “Saya pun tidak tahu. Sampai sebegitu.”
“Saya hanya menganggap, diri saya yang sedang berada dalam sepi. Berasa sepi. Memandang dan merenung malam. Insaf, alam ini dengan keindahannya diciptakan oleh Tuhan,” jelasnya, pengakuan lurus.
“Tak berdosakah?” dia melanjutkan tanya. Terkejut dan tergamam saya mendengar soalannya yang luar biasa itu.
“Mengapa berdosa?”
“Macam hendak tipu. Ada muslihat. Yang benar, adalah yang lain. Yang dinampakkan, adalah yang lain. Macam mempermain-mainkan pembaca,” alasannya, macam ragu-ragu pula dia. Justeru, penerangan saya tadi.
“Tidak!” saya bagai marah, keras. Geram. Sambil tertawa.
Saya dapat mengagak, pembacaannya pada bidang puisi belum begitu luas. Bukanlah saya bermaksud ego diri sendiri pada kata-kata ini. Melainkan, pengamatan saya daripada kesan perbincangan itu.
“Jika kita pintar, itu hak kita mencipta, menulisnya,” ujar saya lagi. “Kita menulis secara bijaksana dan membijakkan pembaca. Bukan pada soal memperdaya pembaca. Kita tidak menulis pada cara, maksud dan tujuan itu. Kita bukan menulis politik, atau propaganda yang harus menyembunyikan kebohongan. Keindahan puisi lebih lazim terletak pada keindahan bahasa. Tetapi kehalusannya terletak pada siratan makna. Oleh yang demikian, keindahan itu tidak semestinya kehalusan. Tetapi kehalusan ialah suatu keindahan.”
“Judul yang Did gunakan itu mengandungi kehalusan makna. Cuma, Did, tidak sedar pada kedinamikan makna itu,” tegas saya, sambil berusaha menerangkan beberapa hal kerelevanan lain, bagi difahaminya.
Kemudian, saya meminta dia meminda, tukar kata ‘tingkap’ pada judul itu sebagai ‘jendela’. Saya memikirkan, diksi jendela sebagai lebih relevan. Jendela:
Lalu, saya cepat bertanya, “Rumah Did, berjendela atau tingkap?”
Dia tidak terus menjawab situasi yang ingin saya tahu, “Boleh dianggap lain, ya, di antara tingkap dengan jendela?”
“Ya, lain!”
Tingkap ialah sejenis jendela diperbuat daripada kaca, keping-kepingan bentuknya dan dipasang secara melintang, bagai bertingkat-tingkat. Pada fikiran saya, daripada etimologi tingkat itulah, maka menjadi sebutan tingkap.
Manakala, jendela ialah kata nama yang lebih awal dikenal sebagai jendela, lazim diperbuat daripada kayu berupa sekeping papan besar, dan dapat dibuka luas. Demikianlah kaedah dan warisan tradisional.
Manakala, jika dari segi etimologi, saya berpandangan kata jendela berpangkal pada kata asal, jeda.
Pada masa kini, kita lazim mendengar kata jeda ini disebut dengan huruf e itu sebagai e taling (sebagaimana: elak, enak, aneka). Akan tetapi, sesetengahnya pula menyebutkan secara e pepet (sebagaimana: engkau, perahu, perigi).
Kata jeda ini bermaksud senggang sejenak. Pada konteks, suatu tempoh berhenti, diam, berehat, tanpa melakukan sesuatu.
Akan tetapi, jika di Kelantan, dalam kalangan orang tua dahulu, kata ini disebutkan dalam bunyi e pepet. Contohnya: “Jeda molek.” Kata dialek ini juga bermaksud, sebagaimana di atas. Kata-kata ini diungkapkan pada gelagat seseorang yang sedang berehat. Kata ‘molek’ itu pula dialek yang bermaksud dalam keadaan elok, baik.
Misalnya, gelagat bagai terpaku sedang termenung, diam, merenung jauh – “Jeda molek di nyelo (nyela) [jenelo, jenela, jendela]” dalam dialek Kelantan. Biasanya, diungkapkan terhadap seseorang yang sesudah kenyang makan, pergi ber“jeda” di jendela sebagai rehat sekejap sambil menghisap rokok daun dan merenung pemandangan.
Oleh hal yang demikian, bukan mustahil, kata jendela beretimologi dengan jeda. Justeru, gelagat di jendela adalah sebagai jeda. Namun begitu, pandangan saya pada kaitan etimologi ini tidak semestinya tepat.
“Berbeza ya dari segi ilham pada puisi?” tanya Adid.
“Penyair mencipta puisi daripada ilham, imaginasi, pemikiran. Itu kekuatan pada aspek kreativiti. Sudah boleh memadai. Tetapi kreativiti berasaskan aspek mengalami – menghayati lebih berkesan pada kerelevanan realiti, situasi, kenangan dan pemikiran,” antara yang saya bincangkan.
“Realiti itu bersifat konkrit, memudahkan tampak pada apa-apa yang ingin diabadikan secara jujur sedang berada di hadapan. Namun begitu, kaitannya boleh ditaakul pada imaginasi, walau unsur kabur, sebagai kekuatan pemikiran,” kira-kira begitu, saya terangkan.
Sejurus dia termenung. Kemudian lambat-lambat menjawab, “Berjendela.” Bermaksud, rumah berjendela, bukan tingkap.
“Hah! Lagi berdosa,” getus saya, menempelak secara berjenaka. “Sebab, sebenar ialah jendela. Tipu pembaca, jadi tingkap.”

Terhingguk-hingguk bahunya gelak, mengelak tawa kuat. Tentu, teringat pada sembang atau perbahasan awal tadi, justeru tempelakan saya.
Keperluan pada puisinya itulah yang memberikan kekuatan daya judul terhadap pembaca bagi sama-sama berkongsi penaakulan, emosi dan kesedaran. Justeru, tingkap akan terasa sempit dan terhalang. Beza, jendela luas terbuka.
Dia menerangkan, lebih berminat memilih kata (diksi) tingkap, usahanya mendapatkan kelainan dalam puisi. Justeru kerana kata jendela, baginya, sudah amat biasa digunakan oleh kebanyakan penyair.
Saya puji usaha itu. Namun, diksi jendela tidaklah tergolong kata klise. “Pentingkanlah ketepatan fungsi pada kaitan emosi,” jelas saya.
Tingkap terasa bagai sempit, jendela terasa lebih besar, luas. Tetapi jika tetap diperlukan untuk mengabadikan tingkap, misal daripada bangunan, memang itulah yang wajar dimanfaatkan secara rasional.
Dia mengangguk.
Tiba masa untuk ke kelas, saya memohon maaf, kerana sudah harus segera mengajar. Dan, kebetulan pada hari itu, saya membawa buku Sosiologi Sastera karangan Umar Junus (Allahyarham) bagi bacaan masa lapang, maka saya pinjamkan kepadanya untuk bacaan luas.
Kami bersalam. Dia bertolak pergi dengan motosikal Vespa berwarna kuning. Terdapat kesan tanggal tompok warna pada tempat tertentu di motornya itu. Entah terkena apa. “Motor buruk,” ujarnya, gelak.
Pada kemudian hari, saya dapat mengetahui daripada Zalani bahawa Adib tidak pernah memiliki Vespa, kecuali Honda tua. Entah daripada siapa dipinjamnya. Agaknya, dia malu, berfikir, motosikalnya buruk. Namun Vespa yang ditunggangnya itu, buruk juga.
“Motor buruk” – itulah kata-kata terakhir dan gelak terakhir daripadanya dalam ingatan saya. Dan itulah juga, kali pertama dan terakhir saya berpeluang bertemu dan mengenalinya secara dekat. Terasa akrab.
Dia sudah ke Aceh, Indonesia.
“Allahyarham itu sewaktu di Aceh, belajarnya pada jurusan Dakwah Penerangan dan Penyiaran Agama Islam di Fakulti Dakwah, IAIN (sekarang UIN) Ar-Raniry, di Banda Aceh,” terang Zab Bransah, salah seorang penyair terkenal Aceh, ketika saya hubungi melalui telefon. Zab Bransah merupakan antara sahabat karib Adid.
“Seingat-ingat Zab (membahasakan diri dengan nama), kuliah pengajiannya sekira-kira pada tahun 1988, atau 1989, begitu. Tamatnya harus empat tahun. Atau mungkin, 1985 atau 1986. Terasa macam tak ingat pula.”
Saya gelak-gelak, antara kata-kata, seingat-ingat dan tak ingat itu.
Baca Bahagian Kedua Refleksi |
_________________________
Rosli K. Matari berasal dan menetap di Kubang Kerian (Bandar D’Raja Muhammadi), Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) memenangi Hadiah Utama Puisi T. Alias Taib 2023.