Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangApakah azam tahun baharu setiap penulis? Azam tahun baharu Marsli N.O ialah penelitian kembali dan pengulangan.
Namun setelah tahun 2018, setiap malam menjelang awal tahun baharu, saya tidak lagi mengedit azam tersebut dan hanya menyiarulangnya sahaja.
Meski bukan suatu kemestian namun setiap kali tiba penghujung tahun, banyak dalam kalangan kita akan berfikir mengenai azam baharu sempena tahun baharunya.
Walau yang pastinya tidak semua azam tahun sebelumnya telah pun sepenuhnya terlaksana atau ditunaikan tuntas, namun ritual berfikir dan menetapkan azam baharu tersebut sentiasa diamalkan pada setiap penghujung tahun.
Demikian juga saya tidak terkecuali. Akan tetapi, setelah tiba pada satu peringkat usia, setelah bebas daripada alam pekerjaan dan hidup bebas sebagai pesara pada kadar kemampuan yang wajar dan seadanya, persoalan azam ini semakin dilupai dan digantikan dengan tekad untuk memanfaatkan baki usia yang ada dengan memperbaiki dan menambahkan bekal yang akan dibawa setelah mati.
Namun demikian, sebagaimana lazimnya algoritmanya di medsos, setiap kali menjelang tahun baharu, apa-apa azam yang pernah kita nyatakan dan diletakkan ke dinding medsos peribadi beberapa tahun sebelum itu pasti akan kembali muncul pada tarikh yang bersangkutan, setiap penghujung atau awal tahun.
Demikian ketika menelusuri medsos peribadi saya pada awal pagi 2025 ini, saya baru perasan sesuatu ketika kembali membaca coretan azam tahun baharu yang muncul semula di dinding medsos saya.
Sejak tahun 2014, bererti kini sudah 10 tahun, setiap kali menjelang tahun baharu saya mencatatkan suatu azam yang saya ucapkan berulang-ulang dan paparkan di dinding media sosial saya.
Azam yang disebutkan berulang-ulang saban tahun ini akan saya edit dan tambah di mana-mana yang saya rasakan perlu ditambah sebelum saya poskan semula ke dinding medsos saya pada setiap awal tahun dan mengubahnya sebagai tahun semasa.
Namun setelah tahun 2018, setiap malam menjelang awal tahun baharu, saya tidak lagi mengedit azam tersebut dan hanya menyiarulangnya sahaja.
Saya tercenung seketika, mengenang dan mengimbas masa lalu.
Rasanya, coretan azam tersebut tidak lagi saya pinda dan pedulikan kerana selepas tahun 2018, saya telah melaksanakan sebahagian besar azam tersebut dengan tindakan peribadi secara jelas, nyata dan praktikal.
Antaranya, tahun 2016, saya merealisasikan impian kembara solo dengan motosikal tua ke seluruh semenanjung selama 8 hari, memberikan fokus sepenuhnya kepada kerja menulis, sama ada karya eceran mahu pun penerbitan buku dan berjaya menerima beberapa anugerah penulisan peringkat negeri dan negara.
Sebagai renungan kembali, saya paparkan azam tahun 2014 yang telah diedit, dibuang dan ditambah, yang saya berikan judul “Azam Tahun Baharu 2018: Coretan Nostalgia”:
Kerana sudah bertekad dan memilih untuk lebih bersendiri dan lebih mandiri begitu memasuki tahun 2018 ini, saya tidak berasa terlalu perlu dan penting untuk menceritakan apa-apa yang ingin dan akan saya laksanakan sebagai seorang penulis pada sepanjang tahun 2018 ini secara terbuka di media sosial saya.
Selain ingin lebih berahsia, saya ingin mengelakkan sesuatu tindakan yang boleh menimbulkan pula kesan terlalu ingin menunjuk-nunjuk dan mengada-ada.
Sebagai penulis, sudah pasti saya akan terus-menerus menulis. Katalah itu buku, atau apa-apa sahaja karya.
Akan tetapi, tidak terlalu perlu juga untuk saya menceritakan di sini, berapakah jumlah atau apakah bentuk dan genrenya. Biarlah waktu dan hasil akhirnya nanti yang menentukan.
Sudah waktu juga rasanya secara tegas saya ucapkan selamat tinggal semuanya kepada dunia galau dan manusia sekeliling yang sombong, penjilat, pengkhianat, atau para penggunjing.
Semakin menjadi tua, semakin saya berasa ingin lebih menyendiri dan semakin saya berasa tidak memerlukan apa-apa keriuhan lagi.
Kepada yang berminat dan masih menggilakan dunia riuh-rendah itu, silakan. Saya tidak ingin menyalahkan anda. Silakanlah! Teruslah berpesta-pora!
Kerana saya sudah memilih untuk terus berjalan: sendiri dan mandiri. Sendiri dan mandiri!
_________________________
Marsli N.O kini penulis sepenuh masa. Beliau telah menerbitkan beberapa buku dan memilih berjalan sendirian. E-mel beliau: [email protected].