Diterbitkan pada 12 Januari 2025, 13:02

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Perkembangan teknologi semasa menuntut seseorang penulis supaya lebih berinovasi, seiring dengan revolusi tersebut bagi memastikan profesionnya kekal relevan apabila mendepani dunia tanpa sempadan.

Ketua Satu Persatuan Penulis Negeri Sembilan (PEN), YBrs. Puan Nisah Haron berkata, selepas 25 tahun memasuki alaf baharu, penulis dan penulisan tidak terkecuali daripada perubahan masa dalam usaha melestarikan dunia persuratan dan kesusasteraan.

“Sesudah 25 tahun kita memasuki alaf baharu, penulis perlu menyesuaikan diri dengan perubahan itu, jika tidak, kita tidak akan kekal relevan,” katanya ,semasa ditemu bual dalam rancangan The Nation bagi membincangkan topik “25 Years into the New Millenium: Writing Stories for a World in Flux” yang disiarkan menerusi Bernama TV.

Beliau berkata, perkembangan tersebut secara tidak langsung memberikan kesan positif, terutamanya dari segi peluang dan ruang kepada penulis serta penerbit untuk menarik minat pembaca secara lebih meluas, selain memanfaatkan peluang baharu.

Puan Nisah Haron (kanan) sewaktu berbucal bicara tentang kemajuan teknologi dan kelangsungan dunia penulisan dalam program The Nation Bernama TV.

Malah jelasnya, lambakan pelbagai medium sekarang turut memudahkan orang ramai untuk menulis tanpa ruang yang terhad.

Apabila menyentuh hal integriti dunia penulisan, Nisah yang juga bekas peguam berkata, seseorang penulis mesti beramanah dan bertanggungjawab terhadap sesuatu karya bagi membentuk kesedaran, selain meningkatkan pengetahuan pembaca dan masyarakat.

“Sekarang, semua orang boleh menulis, tetapi setiap perkataan yang kita tulis itu, kita perlu bertanggungjawab.

“Kalau menggunakan ruang penulisan untuk menimbulkan ketakutan, huru-hara atau untuk menarik perhatian kepada diri sendiri, itu adalah sangat tidak bertanggungjawab,” tambahnya.

Mengulas mengenai perkembangan kecerdasan buatan atau AI yang telah memperkenalkan aplikasi ChatGPT, beliau tidak menolak akan kemampuan teknologi tersebut dalam usaha membantu sebahagian daripada kerja penulisan.

“Ia hanya semata-mata alat. Walau bukan perkara utama, sekurang-kurangnya, boleh membantu kita dalam hal-hal yang tertentu.

“Kita perlu memikirkan perkara yang lebih besar, jadi kenapa mahu memikirkan juga perkara kecil yang boleh dilakukan oleh mesin ini?” katanya.

Kredit Foto: Sirisvisual/Unspash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi