Muhammad Haziq bin Noor Affandi .
Diterbitkan pada 1 Disember 2024, 13:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Bersempena dengan pementasan Teater Sirih Bertepuk Pinang Menari, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mengadakan sesi forum perbincangan karya-karya agung yang dihasilkan oleh Sasterawan Negara (SN), Dato’ Noordin Hassan di Wisma DBP, pada petang semalam.

Forum ini diketuai oleh Encik Kamarulzaman Taib, selaku moderator dan menampilkan tiga orang panel, iaitu Sasterawan Negara, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan; Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar dan Pensyarah Kanan Kolej Pengajian Seni Kreatif, Dr. Norzizi Zulkifli.

Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Dalam forum tersebut, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan menekankan tentang sumbangan Dato’ Noordin Hassan dalam dunia sastera selama hampir lebih dua dekad.

Sejak tahun 1971, Dato’ Noordin Hassan telah mencipta identitinya yang tersendiri dengan menghasilkan banyak karya berkualiti berbentuk drama.

Hampir lebih 20 tahun juga beliau menyumbang banyak karya penulisan seperti novel, puisi, syair dan drama.

Tambah beliau, “Jika kita menghayati dan membaca skrip drama yang diarahkan oleh Dato’ Dr. Noordin Hassan, saya rasa, karyanya amat mempesona dengan isu yang dibawa oleh beliau sejak 30 tahun dahulu.”

“Saya yakin penonton akan berasa kagum apabila membaca skrip pementasan drama beliau yang masih relevan sehingga kini dan dapat memberikan impak kepada industri tanah air.”

Pensyarah Kanan Fakulti Kolej Pengajian Seni Kreatif, Dr. Norzizi Zulkifli.

Perkara ini turut disokong oleh Dr. Norzizii Zulkifli yang menceritakan pengalaman beliau menjadi anak didik SN Dato’ Noordin Hassan sejak beliau masih di bangku sekolah.

“Saya pernah berlakon dalam drama Anak Tanjung, pada era 80-an dan sememangnya beliau merupakan pengarah yang tegas dan komited untuk menghasilkan drama pentas yang berkualiti.”

Tan Sri Johan Jaafar menceritakan tentang peribadi Dato Noordin Hassan.

Sementara itu, Tan Sri Johan Jaafar pula berkata bahawa skrip drama Dato’ Noordin Hassan menarik perhatiannya kerana penceritaannya yang sarat dengan mesej dan bermain dengan perasaan pembaca.

Karya agung Dato’ Noordin Hassan memberikan keunikan dari sudut karyanya yang begitu kompleks.

Pada zaman inilah, beliau mencipta kegemilangan sebagai penggiat seni yang aktif di seluruh negara.

Turut hadir ialah Dekan Pengajian Fakulti Seni Persembahan, Dr. Marlenny Deenerwan; Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Puan Hidayatul ‘Ein Mohamad Azmi; dan Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, Tuan Haji Mohd Salahuddin Dato’ Paduka Mohamed.

Kredit Foto: MOHD FARID JANUDIN
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi