Diterbitkan pada 8 November 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pemartabatan penulis wanita sebagai kelompok atau kumpulan sastera yang besar, perlu diberi tumpuan dan sokongan oleh semua pihak.

Sekiranya kumpulan ini “menjadi” dan berjaya menghasilkan karya besar melalui pertukaran idea, sudah pasti perkembangan sastera negara ini akan berkembang dengan subur.

Demikian inti pati ucapan oleh Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) YBrs Dr. Mohamad Saleeh Rahamad ketika memberi ucaptama dalam Seminar Pemikiran Pengarang Wanita Serantau di Dewan Semarak Akademi Pengajian Melayu (APM) Universiti Malaya (UM), semalam.

Beliau menjelaskan “kabilah” penulis wanita ini adalah besar, dan dengan sendirinya membentuk pasaran yang berdaya maju.

Malah, penulis wanita dengan lelaki tiada perbezaan dalam aspek kepengarangan, setiap orang mampu kehadapan jika memiliki kemahuan yang tinggi.

Presiden PENA YBrs Dr. Mohamad Saleeh Rahamad memberi ucaptama dalam Seminar Pemikiran Pengarang Wanita Serantau.

Seterusnya, dengan tajuk ‘Penulis Wanita dan Kepengarangan Masa Depan’ beliau berkata, penulis wanita wajar memiliki agenda untuk membudayakan masyarakat melalui karya sastera.

Hal ini dapat membuktikan bahawa wanita bukan lemah, tidak bergantung pada lelaki sehingga merendah-rendahkan maruah mereka, sebaliknya melahirkan watak yang berani menghadapi tekanan dari semua aspek.

Namun begitu, ujarnya, diharap tidak pula berlaku pemberontakan nilai sehingga melanggar garis ketentuan dalam agama kerana sudah dinyatakan dalam al-Quran bahawa lelaki itu pemimpin dan pengawal perempuan.

“Kedudukan wanita sentiasa di bawah lelaki. Wanita sering dikonsepsikan sebagai rapat dengan alam semula jadi dari segi fisiologi, peranan sosial, dan psikenya. Wanita menempati ruang persendirian dan juga bergantung pada seseorang tidak mempedulikan diri sendiri. 

“Lelaki pula disosialisikan dengan budaya, roh, superior, berada di ruang awam dan politik, waras akal, beraksi, bersifat menceroboh, dan mandiri. Oleh itu, wanita telah diletakkan pada kedudukan lebih rendah daripada lelaki dalam masyarakat, peranannya dibataskan di dalam rumah,”tambahnya.

Pembentang kertas kerja mengulas buku cerita dan juga cerpen yang menginspirasiksn wanita.

Tegas beliau, struktur sosial sebeginilah yang menyebabkan munculnya gerakan feminisme kerana mereka menentang penindasan itu. Dalam perjuangan feminisme Barat telah wujud beberapa aliran dan tahap seperti feminisme liberal, Marxist, radikal, sosialis, dan ekofeminisme.

Justeru, beliau berkata sastera di tangan penulis wanita perlu disuburkan sehingga barisan nama mereka tidak lagi dibayangi penulis lelaki.

Pendekatan melalui karya sastera akan membantu memperkasakan kedudukan wanita sebagai wacana balas terhadap karya partriaki, iaitu sebagai satu sistem struktur sosial dan amalan yang melaluinya lelaki mendominasi, menekan, dan mengeksploitasi wanita.

“Penulis wanita perlu memperkatakan subjek yang menjengah persoalan publik, mengawasi hal ehwal masyarakat, negara dan bangsa dalam konteks yang berskala besar, bukan lagi bersifat parokial,” ujar beliau lagi.

Timbalan Dekan Ijazah Dasar Dan Hal Ehwal Pelajar APM UM, YBrs. Profesor Madya Dr. Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali turut menjelaskan penulis wanita merupakan susuk tubuh sangat penting untuk mengetengahkan dan membincangkan sumbangan para pengarang wanita dalam bidang kesusasteraan.

Hal ini membuka ruang untuk mendalami pemikiran, pengalaman, serta kebijaksanaan mereka dalam berkarya.

Antara tokoh kenamaan yang hadir dalam Seminar Pemikiran Pengarang Wanita Serantau.

“Seminar ini menjadi platform yang signifikan dalam usaha kita untuk memperhalusi sumbangan, pandangan, dan visi pengarang wanita dalam membentuk naratif bangsa serta memperkukuhkan identiti budaya kita. Pengarang wanita tidak sekadar membawa suara halus dalam melakar karya sastera tetapi juga mempersembahkan keberanian, kekuatan, dan pemikiran yang mencabar konvensi sosiobudaya, khususnya dalam konteks kita di Alam Melayu,”ujarnya.

Terdahulu, seminar yang berlangsung merupakan anjuran APM dengan kerjasama pihak PENA, Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), serta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Seminar ini telah mengetengahkan sejumlah 17 buah kertas kerja yang akan dibentangkan oleh pembentang dari negara-negara serantau seperti daripada Thailand, Brunei, Singapura dan juga tempatan.

Turut hadir antaranya, Pengerusi Seminar Pemikiran Pengarang Wanita Serantau, YBrs Dr. Eizah Mat Hussain; Ketua Bahagian Promosi Dan Pengiktirafan DBP YBrs. Puan Roziah Md Yunus; Sasterawan Negara Zurinah Hassan dan barisan pengurus tertinggi di APM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi