Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Minda saintifik orang Melayu boleh dilihat berdasarkan kajian terhadap manuskrip lama. Walau bagaimanapun, hal ini tidak boleh dilihat dalam definisi saintifik masa ini tetapi lebih kepada istilah science occult atau kepercayaan kepada perkara ghaib dan amalannya.
Hal itu dikongsikan oleh Felo Penyelidik, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd Faizal Musa ketika membincangkan isi kandungan manuskrip S.O. 118 yang tersimpan di Perpustakaan Universiti Bonn, Jerman.
Dalam perbincangan menerusi program Diskusi Manuskrip Melayu Siri 3/2024 yang disiarkan di laman Facebook ATMA pagi tadi, Mohd Faizal berkata, manuskrip itu yang dipercayai dihasilkan atau disalin di antara tahun 1818 hingga 1844 itu mungkin tidak menepati definisi saintifik masa ini kerana turut memuatkan gambar rajah.
Namun katanya, manuskrip ini harus dikaji, seperti yang dikatakan oleh Allahyarham Prof. Ungku Aziz, minda orang Melayu ini hampir kepada dunia ghaib berbanding dengan realiti.
“Orang Melayu sebenarnya suka menggunakan ‘magical remedies’ dalam menghadapi penyakit yang dideritai, misalnya mati pucuk. Melihat apa yang dilakukan oleh mereka itu, gambar rajah ialah solution.
“Occultism ini banyak kita temui dalam manuskrip Melayu lama. Ia ialah sains awal, sukar diketahui melalui fikiran tetapi boleh disingkap melalui pengalaman,” katanya.
Tegas Mohd Faizal, manuskrip S.O. 118 agak nipis dan pengisiannya bercampur aduk antara bahan-bahan yang biasa ditemui dalam Kitab Mujarobat dan Tajul Muluk.
Walau bagaimanapun, selain mengungkapkan azimat dan gambar rajah berkaitan dengan persoalan jodoh, S.O. 118 turut memuatkan “rawatan” mengatasi penyakit lelaki selain turut memuatkan ilmu kebal, ilmu memusnahkan ilmu kebal dan mencerai-beraikan pasangan berkahwin.
Tambah Mohd Faizal, mungkin ramai akan bertanya, adakah science occult itu Islami sifatnya, beliau berkata ya dan tidak.
“Tidak kerana ada unsur Hinduisme dan Buddhisme, dan boleh menjadi syirik jika diamalkan.
“Ya, kerana ulama terdahulu juga ada sifat untuk memulihkan roh dan semangat juga, dan bukan hanya fizikal,” katanya.
Manuskrip S.O 118 adalah sebahagian daripada puluhan ribu manuskrip Melayu yang tersimpan di seluruh dunia dengan sebahagiannya tidak dikaji hingga kini.
Kredit Foto: Zoom ATMA UKM