Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Program Baca Puisi: Suara dari Lembah Gaza bersiaran melalui Studio Siaran Langsung Media Sosial Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 25 Julai 2021 (Ahad), pukul 11.00 pagi. Program Baca Puisi menampilkan seramai 22 orang pendeklamasi termasuklah Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Sasterawan Negara (SN) Dato’ Anwar Ridhwan, SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Dr. Lim Swee Tin dan pendeklamasi yang lain. Program Baca Puisi diadakan sebagai tanda kesepakatan rakyat Malaysia, terutamanya para pendeklamasi, dalam usaha meringankan penderitaan rakyat Palestin. Selain itu, program ini juga diadakan untuk kutipan Tabung Musa’adah Palestin oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Program dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan dan deklamasi puisi oleh beliau yang bertajuk “Mendukung Perjuangan Bersama”. Beliau menyatakan bahawa program seumpama ini walaupun tampak kecil tetapi tetap bermakna kerana sokongan antara kita terhadap keadilan dan kebenaran sejagat khususnya dalam konteks perjuangan di Palestin. Program dijangka dapat meningkatkan perpaduan dan rasa kebersamaan kita, walaupun kita tidak dapat berada di medan juang di sana tetapi sekurang-kurangnya kebersamaan kita dari segi perasaan, semangat dan kesediaan kita untuk memberikan bantuan dalam apa jua bentuk yang mungkin.
Ada tiga segmen pada program ini, iaitu segmen pendeklamasi A: SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan – “Melawan”, Dr. Lim Swee Tin – “Siapakah yang Mendengarku”, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom – “Palestina”, Ahmad Sukri Abdullah – “Kencana Lara di Bumi Palestin”, Norazimah Abu Bakar – “Biar Seribu Durja Menerpa Jiwa” dan Dr. Raja Rajeswari Seetha Raman – “Monolog Buana Palestin”.
Segmen pendeklamasi B ialah: SN Dr. Siti Zainon Ismail – “Sajak Rindu Bumi Al-Anbiyaa’”, Amiruddin Md. Ali Hanafiah – “Suara”, Dr. Rosmani Omar – “Bunga Takafur Buat Palestin”, Suwanlerd Pro Poul – “Sajak untuk Palestin”, Fauziah Ismail – “Palestina” dan A. Hamid Halim – “Api Zionis”
Segmen C pendeklamasi C adalah: Amaruszati Noor Rahim – “Terbanglah Burung-burung Hijau Jadilah Ababil”, Yeo Hock Lim (Harlym Yeo) – “Usah Kita Sekadar Menangis”, Ahmad Shafiee Mohd Apendai – “Thaurah Palestin”, Haji Ismail Supandi – “Kepedihan Gaza”, Haji Mat Nordin Mat Salleh – “Rintihan Palestin” dan Rasdi Daud – “Segenggam Tanah di Peta Peradaban”.
Selain itu, penampilan istimewa Aris Ariwatan – “Tetamu Senja”, Siso – “Balada Gadis Kecil” dan Dr. Shafa’atussara Silahudin – “Syair Derita Palestin”. Sama-sama kita membantu rakyat Palestin.
Program Baca Puisi ini boleh ditonton di sini.