Diterbitkan pada 21 Mei 2026, 09:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Gelugor Buku Menjawab Mitos Melayu Malas karya YBrs. Dr. Siti Noor Hafizah Mohamed Sharif memperincikan bagaimana persepsi terhadap orang Melayu sebagai malas sebenarnya dibentuk melalui kerangka penjajahan British yang mempunyai kepentingan ekonomi dan politik tersendiri.

Perkara tersebut dikongsikan dalam Program Telaah: Menjawab Mitos Melayu Malas anjuran bersama Perpustakaan Hamzah Sendut, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Penerbit USM yang berlangsung di ruang legar Perpustakaan Hamzah Sendut 1, semalam.

Program berbentuk wacana ilmiah yang diadakan pada setiap minggu oleh Penerbit USM ini turut menyentuh wacana kolonial dan pemikiran Syed Hussein Alatas menerusi karya The Myth of the Lazy Native sebagai asas memahami pembentukan stereotaip terhadap masyarakat Melayu serta menjawab persoalan mitos tersebut.

Dalam sesi perkongsian itu, Dr. Siti Noor Hafizah melalui bukunya menjelaskan bahawa label Melayu malas bukanlah sesuatu yang lahir secara semula jadi dalam masyarakat, sebaliknya dibentuk melalui sistem penjajahan British bagi memastikan masyarakat Melayu kekal berada dalam lingkungan ekonomi tradisional.

Pelbagai dasar penjajah seperti Sistem Perundangan Kawalan Tanah dan pengenaan cukai telah memberikan tekanan kepada masyarakat peribumi sehingga mewujudkan persepsi negatif terhadap orang Melayu.

“Persepsi Melayu malas sengaja dibina supaya masyarakat Melayu terus kekal sebagai petani dan tinggal di kampung-kampung. Keadaan ini memudahkan penjajah mengawal struktur ekonomi kolonial,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa isu hutang dalam kalangan masyarakat Melayu juga sering dijadikan alasan oleh penjajah untuk mengukuhkan stereotaip tersebut, termasuk melalui rekod tanah Melayu yang dilelong akibat tekanan ekonomi dan sistem pentadbiran kolonial.

Katanya lagi, bentuk penindasan yang berlaku tidak hanya bersifat fizikal, malah hadir dalam bentuk sistem yang menyusun masyarakat berdasarkan kepentingan penjajah. Beliau turut membincangkan penghijrahan masyarakat Melayu ke Kerian, Perak berdasarkan catatan sejarah antara tahun 1816 hingga 1947.

Kajian tersebut menunjukkan masyarakat Melayu sebenarnya aktif berhijrah dan bekerja demi kelangsungan hidup, sekali gus menolak dakwaan bahawa orang Melayu tidak mahu berusaha atau meninggalkan kampung halaman untuk bekerja.

Beliau menegaskan bahawa mitos Melayu malas dapat disangkal melalui bukti sejarah penghijrahan masyarakat Melayu di seluruh Kepulauan Melayu bagi mencari pekerjaan dan membina kehidupan baharu.

Beliau turut menekankan bahawa sifat malas bukanlah ciri eksklusif sesuatu bangsa, sebaliknya sifat individu yang boleh wujud dalam mana-mana kelompok masyarakat.

“Segala tanggapan yang dibentuk oleh penjajah perlu difahami sebagai sebahagian daripada agenda kolonial untuk menguasai ekonomi dan pemikiran masyarakat peribumi,” katanya.

Program ini dikendalikan oleh moderator, Encik Syed Ahmad Fathi Syed Mohd. Khair. Turut hadir termasuklah Profesor Goh Seng Seong selaku Pengarah Pusat Penerbitan USM yang juga Ahli Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Kredit Foto: Putraery Ussin
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi