Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Perkembangan penulisan cerpen penerima SEA Write Award 2018, Prof Madya Dr. Mawar Safei memperlihatkan perjalanan panjang yang merentas disiplin ilmu, pengalaman hidup dan wilayah imaginasi.
Menerusi pembentangannya secara rakaman video, “Cerpen sebagai Seni Rentas Lingkungan dan Makna” dalam Kolokium Cerpen anjuran Bahagian Penyelidikan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka semalam, dalam tempoh lebih tiga dekad, Mawar melihat cerpen tidak lagi berdiri sebagai naratif ringkas semata-mata, sebaliknya menjadi ruang pertemuan antara sains, teknologi, sejarah, budaya dengan renungan batin manusia.
Mawar berkata, karya awal beliau “Virus Zel untuk Abah” yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan Melayu–Public Bank 1994, ialah cubaannya mengangkat dunia teknologi maklumat yang masih baharu ketika itu.
“Konflik keluarga digabungkan dengan unsur virus komputer sebagai simbol pertentangan generasi.
“Selepas itu, cerpen seperti ‘Untaian Rafik’, ‘Dialog Corydoras’, ‘Mandala Haksiber’, dan ‘Al Kahf’ memperluas lagi ruang naratif kepada ekologi, sains marin, digital, dan geomorfologi,” katanya.
Tambahnya, pada tahap ini, cerpen-cerpen beliau banyak dipengaruhi oleh latar akademik dan pengalaman pembelajaran.
Namun begitu, perkembangan seterusnya menunjukkan perubahan ketara apabila cerpen mula bergerak keluar daripada kerangka lokal dan memasuki ruang lebih luas.
Latar asing, ruang mujarad dan pengalaman rentas budaya mula menjadi tapak untuk memahami identiti, ingatan dan keterasingan.
Kumpulan cerpen Montaj II memperlihatkan percubaan awalnya menggabungkan pelbagai disiplin dalam satu naratif. Kemudian, Masitah (DBP, 2007) memperluas suara perempuan dan pengalaman peribadi dalam latar antarabangsa, dengan naratif yang menghubungkan cinta, agama, persahabatan, dan pencarian diri.
Cerpen “Zel” turut mengangkatnya sebagai penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia, diikuti karya lain seperti “Suami Saya Tidak Melakukannya!”, “Sedang Malaikat Berdoa” dan “Infithaar di Taman Salju” yang memperlihatkan gabungan pengalaman rohani dan realiti global.
Sementara itu, kumpulan mutakhir yang dihasilkannya, Narasi Tanah Selandia Baru dan Kisah Lainnya (DBP, 2021) memperkukuh pendekatan rentas budaya dan pengalaman diaspora. Cerpen dalam kumpulan itu menjadi ruang untuk membaca semula konsep diri, masyarakat dan pertembungan nilai dalam dunia yang berubah.
Dalam karya terbaharunya, Mawar mengakui, unsur metafora, intertekstual dan surreal semakin ketara. Cerpen seperti “Dari dalam Bundaran”, “Salju Tiga Gunung di Lembah Tragos” dan “Narasi Gua dan Raqim” memperlihatkan peralihan daripada penyelesaian konflik kepada transformasi jiwa watak.
Bagi Mawar Safei, cerpen ialah ruang kreatif yang melangkaui batas genre. Karya cerpennya bergerak sebagai puisi naratif yang menuntut pembacaan perlahan dan tafsiran berulang.
Dalam ruang ini, realiti dan imaginasi bertemu untuk membentuk makna baharu tentang manusia dan kehidupannya.