Diterbitkan pada 3 Mac 2026, 11:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pintumu tidak sebarang membuka ruang
bahkan menyusun semula ukuran lapar.

Di ambangmu, roti itu cermin ingin
air ternyata jana bijana cahaya
jam di dinding kehilangan kuasa
saat senja mula memerintah jiwa.

Meja makan lalu bertukar mahkamah
tiap suap disoal asal usul arah
mulut belajar oh, diam pun ibadah
kala lidah negeri paling mudah rebah.

Di luar, pasar terus menyala-nyalakan nama
di dalam, sebutir kurma pun memadam takhta
pintumu tidak memilih siapa yang suci
tetapi menelanjangi apa yang dipuja puji.

Ada masuk sebagai jasad
lalu keluar beratkan timbangan
ada masuk sebagai dahaga
lalu keluar miliki mata.

Ada memegang rinaian tasbih
disibukkan angka yang cuma letih
ada memegang luka dan parut
lalu bertatih pulang dari hanyut.

Maka malam bukan tentang warna
tetapi padang doa menempa suara
kala siang bukan lagi tentang suhu
tetapi bagaimana doa diami kalbu.

Saat fajar menyentuh engsel langit
yang dikunci ternyata bukan pintumu
tetapi paling perit dibuka itu
rupa-rupanya – aku.

Pinggiran Danau Candella

Kredit Foto: Freepik
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi