Oleh Jais Sahok
Diterbitkan pada 27 Februari 2026, 15:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tidur yang panjang
menjadi lorong tanpa penunjuk
di peraduan ini kenyamanan
aku rebah dengan malas
bukan sekadar jasadku
tetapi juga arah.

Bantal menjadi bukit sunyi
selimut menjadi kabus
nyaring mendengus
menutup jalan pulang.

Mata terpejam malas
namun mimpi mengulit
jauh dan nyaman
berlapis dan berliku
sesekali penyebab keliru
seperti hutan tanpa peta.

Ada wajah yang tidak kukenal
mesra memanggil namaku
dengan suara yang retak
di kerongkong.

Ada lorong-lorong gelap
menganyam bebayang
di dinding fikiran
yang belum lena.

Aku berjalan
di atas tilam yang lembut
namun langkahku tenggelam
ke dalam dasar lena.

Semakin lama kutidur
semakin jauh aku kelana
hingga ke pinggir segara
meniti waktu pagi.

Jam berdetik di hujung sunyi
tetapi waktuku masih dini
tersangkut di kelopak mata
yang malas berkata-kata.

Mimpi datang
dengan topeng ngeri
menari di ruang bawah sedar
tanpa belas tanpa erti.

Aku ingin bangun
namun peraduan ini
memelukku erat
seperti rahsia
yang enggan dilepaskan.

Di antara sedar dan lena
aku sesat kian jauh
ke dalam tubuh sendiri
dalam waktu yang beku
di atas katil
yang menjadi labirin sepi.

Tidur yang terlalu lama
bukan lagi rehat lena
tetapi pengembaraan sunyi
ke daerah mimpi
yang asing
dan sedikit menyeramkan.

Lalu aku berbisik
kepada pagi yang jauh
panggillah aku pulang
sebelum mimpi
menganggapku
penghuni tetap peraduan ini.

Kuching
22 Februari 2026

Kredit Foto: The New York Public Library/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi