Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penyair Wadi Leta SA atau nama sebenarnya Wan Ahmad @ Wan Ahmad Wan Daud meninggal dunia jam 5.30 pagi tadi.
Berita pemergiannya dikongsi oleh Ketua Dua, Persatuan Penulis Kelantan, Encik Abdul Hadi Yusoff kepada Dewan Sastera (DS).
Menurut Abdul Hadi, beliau dimaklumkan mengenai pemergian Wadi Leta SA daripada anak perempuan almarhum.
“Saya menerima berita ini daripada anak perempuannya, memaklumkan Wadi Leta SA meninggal dunia jam 5.30 pagi tadi.
“Jenazah akan dikebumikan pada waktu selepas zohor hari ini 16 Februari 2026 hari Isnin,” katanya dalam mesej kepada DS.
Wadi Leta SA berasal dari Kelantan dan merupakan seorang penyair berpengaruh bukan saja di Kelantan yang diketahui melahirkan ramai tokoh puisi, tetapi juga pada peringkat kebangsaan.
Beliau yang mula menulis sejak tahun 1966 dikenali menerusi karya seperti Laut Karang dan Ketika Langit Sedang Tidur yang lahir pada tahun sama, 2014.
Profil kesusasteraan beliau dimantapkan juga dengan pelbagai anugerah dan pengiktirafan antaranya pernah menerima Hadiah Sastera Malaysia dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia menerusi kategori eceran puisi.
Beliau juga pernah dianugerahi Hadiah Cekal Sastera Kelantan pada tahun 2015.