Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengarang novel Saga, Abdul Talib Mohd. Hassan meninggal dunia pada pukul 2.30 pagi tadi.
Berita itu dikongsikan oleh khalayak sastera, antaranya termasuklah Presiden Persatuan Penulis Nasional (PENA) YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad dan novelis, Siti Rozilah yang dimaklumkan mengenai pemergian novelis itu oleh anaknya.
Abdul Talib yang dilahirkan pada tahun 1947 di Teluk Intan, Perak bertugas sebagai seorang guru.
Beliau mula menempa nama apabila novelnya, Saga (1976), mendapat Tempat Pertama dalam Sayembara Novel GAPENA 1976.
Pada masa itu, novel itu disebut-sebut oleh pengkritik semasa kerana berjaya membawa pembaharuan dalam novel Malaysia, khususnya dalam pelanggaran naratif orang ketiga.
Beliau turut dikenali dengan novel Warisan (1989), yang memenangi Tempat Kedua Sayembara Novel GAPENA-Yayasan Sabah 1979.
Beliau juga merupakan seorang novelis yang prolifik, melahirkan sebarisan novel saban tahun, termasuklah Wajah-wajah di Pelangi (1989), Primadona (1990), Pelarian (1991), Di Rahang Sumpah (1992), Saga Dua (1993), Sutera dalam Lukisan (1994), Khailee (1994), Saga Tiga (2001), dan Diari Hati (2005).
Selain novel, beliau turut dikenali sebagai penulis skrip menerusi drama televisyen Anjang Aki yang asalnya merupakan pemenang Hadiah Ketiga, Peraduan Menulis Skrip Drama Pentas anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1978.