Diterbitkan pada 23 Disember 2025, 10:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tatkala kau bertandang bersama iringan paluan kompang dari langit
Menggamatkan suasana tiada siapa sudi menadahkan nyiru

Tatkala kau bertandang dengan iringan silauan cahaya dari kayangan
Tiada siapa sudi mendepang telapak tangan

Tentu kau mengerti akan situasi
Selama ini kau dicap pemusnah dan perosak
Kau juga dilabel pembunuh kejam

Kau tentu arif dari pengalaman lalu betapa lebat air mata mencurah bergelumang
bersama banjir sepanjang keberadaanmu
Buah duka meranum gugur lalu mencalar hati menjadi pilu

Saat kau pamitan tiada siapa tampil mengusir kerana semua keletihan
Sayu menanggung azab yang kau tinggalkan

Saat mengumpul kembali baki khazanah yang hilang
Pada jejak yang kau tinggalkan terselit hikmah untuk dikaji dan bermuhasabah pada diri

Kau bukan sekejam yang kami sangka
Kau setia pada Pencipta Menjalankan amanah penuh rela

4.12.24

Kredit Foto: Олег Мороз/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi