Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangLondon – Sophie Kinsella, penulis kelahiran Britain yang mencipta kegemilangan global melalui siri Shopaholic, meninggal dunia pada usia 55 tahun selepas bergelut dengan barah otak jenis glioblastoma.
Pengumuman pemergian Kinsella dibuat oleh keluarganya semalam menerusi laman Facebook.
“Dengan hati yang amat hancur, kami mengumumkan pemergian Sophie (juga dikenali sebagai Maddy atau Mummy) pada pagi ini. Mendiang pergi dengan tenang, dan hari-hari terakhirnya dipenuhi perkara yang paling dicintainya: keluarga, muzik, kehangatan, Krismas dan kegembiraan.
“Kami tidak dapat membayangkan bagaimana kehidupan tanpa cahaya dan cintanya terhadap kehidupan. Walaupun menghidapi penyakit yang ditanggung dengan keberanian yang sukar dibayangkan, Sophie sentiasa menganggap dirinya sangat bertuah: memiliki keluarga dan rakan-rakan yang menakjubkan, serta kejayaan luar biasa dalam kerjaya penulisannya.
“Beliau tidak pernah mengambil apa-apa sebagai perkara remeh dan sentiasa bersyukur atas kasih sayang yang diterimanya,” menurut kenyataan itu.
Tahun lalu, Kinsella yang dilahirkan pada tahun 1969 dengan nama Madeleine Sophie Wickham, berkongsi tentang rawatan kemoterapi dan radioterapi yang dijalaninya.
Sepanjang usia kepengarangannya, Kinsella sudah menghasilkan lebih daripada 30 buah buku dengan jualan melebihi 50 juta naskhah di seluruh dunia. Malah, karya-karyanya diterjemahkan ke dalam lebih 40 bahasa.
Novel pertama Kinsella dihasilkan pada usianya 24 tahun, berjudul The Tennis Party, ketika beliau masih berkhidmat sebagai wartawan.
Dua buah buku awal dalam siri Shopaholic kemudiannya diadaptasi menjadi filem komedi romantik dengan tajuk Confessions of a Shopaholic pada tahun 2009.
Dalam kalangan pembaca, Kinsella dikenali dengan gaya penulisannya yang bersahaja, penuh humor dan dekat dengan kehidupan wanita muda, menjadikannya kegemaran ramai pembaca.
Beberapa karyanya turut menerima adaptasi lain, termasuk Can You Keep a Secret? yang dijadikan filem pada tahun 2019.
Buku-bukunya yang terbaharu termasuklah The Burnout (2023) dan What Does It Feel Like? (2024), iaitu naskhah terakhir kisah separa fiksyen berasaskan pengalaman peribadinya melalui rawatan kanser yang turut tersenarai dalam beberapa carta buku terlaris di serata dunia.