Diterbitkan pada 9 November 2025, 14:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dalam bidang bahasa, Dr. Khairul Nizam Zainal Badri memperkenalkan unsur bunyi yang mempunyai peranan kuat dalam penyampaian karya sastera.

Tanpa gelombang yang berpindah ke gegendang telinga, manusia tidak dapat menyelami perasaan gembira atau duka, atau mengenal pasti kedudukan objek dan menjangkakan persekitaran.

Bunyi ialah salah satu aspek penting dalam kehidupan seharian manusia. Dengan bunyi, manusia dapat berkomunikasi secara lisan dengan mudah. Walaupun penggunaan bahasa badan boleh digunakan, namun hal itu bukanlah mudah untuk diterjemahkan jika melibatkan sesuatu pernyataan yang kompleks. Keadaan ini menjadikan bunyi sebagai sumber maklumat utama. Perkataan yang diucapkan membantu manusia untuk memahami mesej yang disampaikan dengan jelas dan bertindak balas terhadap mesej tersebut.

Dari sudut pengurusan kehidupan, bunyi memainkan peranan yang sangat penting kepada manusia untuk membuat pertimbangan. Hal ini kerana, bunyi memberitahu manusia tentang sifat, ruang, objek, dan tindakan. Manusia menerima input daripada manusia yang lain dan persekitaran dengan menggunakan telinga dengan cara mendengar setiap bunyi, sama ada dalam bentuk perkataan, nada ekspresif, mengeluh, dan lain-lain. Bunyi juga merupakan sistem isyarat yang paling berpengaruh untuk memberitahu sesuatu kepada manusia atau memberi amaran agar mengambil tindakan dengan segera.

Dengan kata lain, bunyi itu sendiri ialah satu bentuk komunikasi dan menjadi fitrah kepada manusia untuk bertindak balas terhadapnya dengan pantas kerana wujudnya sifat kepekaan yang tertanam secara semula jadi dalam diri manusia. Itulah sebabnya manusia mempunyai tindak balas emosi yang begitu kuat terhadap perkara yang didengarnya. Emosi menjadi terikat pada bunyi melalui pengalaman, dan emosi yang dicetuskan oleh pengalaman mencetuskan pemikiran dan tingkah laku tertentu.

Bunyi juga dijadikan medium hiburan. Bunyi yang menenangkan membantu manusia menala semula minda fikirannya untuk mengatasi atau menyerap tekanan dengan lebih baik. Bunyi sedemikian dapat menambah tenaga pada otak dan kelegaan pada fikiran daripada diserang dengan sakit kepala yang kronik atau migrain. Bunyi juga dikatakan sangat berpengaruh untuk menangani pelbagai jenis penyakit yang berpunca daripada tekanan, antaranya termasuk darah tinggi.

Dengan demikian dapatlah dikatakan bahawa bunyi mempunyai hubungan yang erat antara getaran atau gelombang dengan tekanan atmosfera. Tanpa tekanan atmosfera atau ruang udara, gelombang bunyi tidak dapat dipindahkan. Tanpa bunyi, manusia tidak dapat berkomunikasi dan memantau keadaan sekeliling. Tanpa gelombang yang berpindah ke gegendang telinga, manusia tidak dapat menyelami perasaan gembira atau duka, atau mengenal pasti kedudukan objek dan menjangkakan persekitaran.

Oleh itu, takrifan bunyi pada hakikatnya lebih dekat pada jiwa dan perasaan manusia. Bunyi bukan sahaja mendatangkan kefahaman kepada manusia dengan cara merungkaikan segala bentuk komunikasi, tetapi juga memberi ruang kepada manusia untuk meneroka sudut halus jiwa manusia dengan mengetahui tindak balas manusia terhadap kesan dramatik atau refleksi manusia terhadap elemen alam semula jadi.

Atas sebab itu, bunyi mempunyai fungsi yang tidak kurang besar dan pentingnya dalam bidang sastera. Hal ini kerana dengan hadirnya bunyi dalam bentuk tulisan, maka emosi manusia bukan sahaja dapat dijentik, tetapi juga dapat menghadirkan imaginasi dengan gaya dan cara yang lebih kreatif. Walaupun bunyi tidak dapat didengari dalam sesebuah dokumen atau karya, tetapi kesan yang ada pada bunyi itu tetap boleh diterjemahkan dan dipersembahkan secara artistik dalam bentuk tulisan dengan harapan agar pembaca dapat menggunakan keseluruhan pancaindera yang ada pada dirinya untuk bertindak balas terhadap kisah atau penceritaan yang disampaikan.

Dengan hal yang demikian, menulis bukanlah dengan maksud semata-mata menyampaikan, tetapi juga satu kaedah untuk menunjukkan bagaimana semua lima deria boleh menarik perhatian khalayak pembaca dalam sekeping tulisan. Dan perkara itu termasuklah bunyi. Terdapat perkataan yang tidak terhingga yang boleh digunakan untuk menerangkan bunyi dalam tulisan, sama ada bunyi yang dihasilkan oleh sesuatu atau cara seseorang mengatakan sesuatu. Misalnya, penggunaan perkataan seperti ‘bergumam’, ‘meludah’ dan ‘berbisik’ adalah untuk menunjukkan cara seseorang itu bercakap, manakala penggunaan perkataan seperti ‘hancur’, ‘terpecah’ dan ‘retak’ adalah untuk menambah visual kepada bunyi, yang juga pada masa yang sama membantu menambah emosi, watak dan ketegangan pada sesuatu dialog atau prosa.

Menurut Julie Shackman, penulis novel fiksyen bersiri A Secret Scottish Escape dalam artikelnya yang berjudul “How To Describe Sounds In Your Writing”, penulis yang baik akan sentiasa berusaha untuk mencipta gambaran dalam fikiran pembaca mereka supaya pembaca dapat melihat, mendengar, merasa, dan membayangkan sesuatu, termasuk bunyi yang seakan-akan boleh didengari sama seperti yang dialami oleh sesuatu watak seperti nadanya, kelantangannya dan niatnya. Melalui penggunaan teknik penulisan bunyi yang berkesan, pembaca dibawa ke dalam ruang atau seolah-olah seperti berada dalam penceritaan di mana mereka sendiri merasakan bahawa merekalah yang telah menjatuhkan sesuatu ke lantai, atau mereka berada di dalam bilik sunyi apabila dahan pokok terhempas melalui tingkap dan menghantar kaca terbang masuk semua arah.

Selanjutnya menurut Julie, pelbagai jenis bunyi boleh digabungkan ke dalam penulisan bermula daripada bunyi yang menggembirakan dan merdu, pada lembut dan orkestra atau dentuman dan hiruk-pikuk bunyi yang menggelegar. Penulis boleh menggunakan pelbagai jenis perkataan atau huraian untuk mencipta suasana yang berbeza seperti tenang, cemas, tegang, takut, atau terharu untuk menarik perhatian pembaca ke dalam cerita dan meningkatkan atau menghangatkan suasana.

Lima daripada kaedah yang paling berkesan untuk menggunakan perkataan dan bahasa bagi memperincikan dan mengungkapkan bunyi dalam penulisan ialah Onomatopeia, Aliterasi, Metafora/Simile/Hiperbola, dan Asonansi.

Kebiasaannya, aliterasi digunakan oleh penyair atau penyampai cerita untuk meningkatkan kesan bunyi pada sesuatu karya yang sedang dipersembahkan atau yang sedang dibaca dengan penuh penghayatan.

Pertama, onomatopeia merujuk penggunaan perkataan bagi meniru bunyi yang semula jadi. Penggunaan perkataan yang tergolong dalam kategori onomatopeia membantu meningkatkan imaginasi pembaca sehingga bunyi tersebut bukan sahaja seolah-olah dapat didengari, tetapi juga digambarkan di hadapan mata. Cara ini dikatakan sangat efektif untuk menambahkan kesan dramatik dan pukulan pada sesuatu ayat.

Contoh yang diberikan oleh Julie adalah seperti seseorang memijak daun-daun dan daun-daun itu kemudiannya remuk dan meretak di bawah kaki. Perkataan ‘remuk’ dan ‘meretak’ yang digunakan di sini dikatakan mampu menarik perhatian dan pengalaman pembaca ke dalam sensasi daun-daun yang kering dan rapuh sehingga mengeluarkan bunyi sedemikian ketika kaki-kaki memijaknya. Dengan cara demikian, pembaca merasakan bahawa ia sendiri telah berada dalam kisah tersebut dengan mengisi watak yang ditonjolkan untuk berjalan di atas daun-daun kering.

Contoh lain yang diberikan oleh Julie adalah seperti angin melolong dan berdentum di cermin tingkap. Penggunaan perkataan ‘lolong’ dan ‘berdentum’ mempersonifikasikan angin, menambah sentuhan yang lebih mengancam pada bunyi angin di luar. Terdapat juga unsur kebinatangan pada perkataan ‘lolong’ yang digunakan dalam konteks ini, dengan tujuan untuk membantu pembaca mendengar bunyi angin yang kuat dan mengagumkan, seolah-olah menyerupai haiwan liar yang berada dalam kesakitan. Sekali lagi, situasi ini mampu meningkatkan ketegangan dan membuatkan pembaca berasa seolah-olah mereka berdiri di tempat tersebut.

Adapun contoh berikutnya adalah seperti frasa “burung itu menjerit, sebelum mengepak pergi”. Penggunaan perkataan ‘menjerit’ dan ‘mengepak’ dalam frasa ayat ini, menangkap bunyi burung yang menusuk telinga sebelum ia mengepakkan sayapnya dan terbang. Penggunaan perkataan ‘menjerit’ membawa kesan yang menakutkan dan mengerikan, seolah-olah mengajak pembaca membayangkan bunyi nyaring burung itu sebelum ia terbang pergi. Perkataan ‘mengepak’ pula bukanlah sekadar terbang, sebaliknya hal ini turut menimbulkan kesan bunyi pada kepak sayap burung.

Kedua, aliterasi yang merujuk gabungan perkataan yang bermula dengan huruf yang sama dan ada kalanya memiliki bunyi yang sama. Contohnya, seperti “singa sasa”, “harimau handal”, “gajah yang gagah”, dan “memerhati musang yang menakjubkan”. Ringkasnya, aliterasi ialah pengulangan bunyi. Aliterasi mencipta irama dan mencorakkan tulisan dengan elemen yang menghampiri atau memiliki unsur-unsur muzik. Kebiasaannya, aliterasi digunakan oleh penyair atau penyampai cerita untuk meningkatkan kesan bunyi pada sesuatu karya yang sedang dipersembahkan atau yang sedang dibaca dengan penuh penghayatan.

Ketiga, metafora, simile dan hiperbola. Metafora dan simile digunakan untuk menerangkan sesuatu kesan bunyi dan kebiasaannya juga digunakan untuk membandingkan sesuatu. Hiperbola pula digunakan untuk membuat perbandingan yang keterlaluan dan tujuannya adalah untuk menimbulkan kesan dramatik sehingga bunyinya seperti terngiang-ngiang di telinga. Sebagai contoh, daripada hanya berkata “Dia menjatuhkan buku itu ke lantai dengan dentuman”, seseorang penulis itu boleh menukilkan seperti berikut untuk menghasilkan kesan yang lebih hebat: “Dia menjatuhkan buku itu ke lantai dengan dentuman yang cukup kuat untuk membangunkan ibunya yang sudah mati di sebelah.”

Keempat, asonansi yang merujuk pengulangan bunyi vokal berirama yang sama atau serupa dalam sekumpulan perkataan. Contoh adalah seperti ayat: “Dia terlalu unggul untuk dipukul atau dirangkul”. Bunyi “uu” yang digabungkan ke dalam ayat menjadikan penerangannya tampak lembut dan berirama. Contoh berikutnya, “Dia merayap dan lelap, seperti seorang tua yang mabuk kepayang”. Dalam contoh ini, bunyi “ap” yang digunakan memberikan ayat resonans tertentu dan memanjangkan penyampaiannya. Hal ini membawa kualiti yang hampir mudah, mengantuk apabila disebut dengan kuat, sesuai dengan gambaran lelaki tua yang lambat dan suka berkhayal. Penggunaan asonansi dikatakan boleh menyuntik elemen muzikaliti pada penulisan, dengan cara menekankan perkataan atau bunyi vokal tertentu yang bergema bagi menyegarkan sesuatu idea dan tema.

Menariknya, kelima-lima kaedah yang dinyatakan ini telah pun dipraktikkan sejak sekian lama di Alam Melayu. Kaedah-kaedah tersebut boleh didapati dalam sastera tradisional, seperti Hikayat Malim Dewa, sebuah cerita rakyat dahulu kala yang dihimpunkan oleh Pawang Ana dan Raja Haji Yahya yang kemudiannya diterbitkan buat kali pertama di Singapura oleh Malaya Publishing House pada tahun 1960, berdasarkan naskhah yang telah dicatatkan oleh R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock. Contoh bagaimana kelima-lima kaedah tersebut digunakan dalam Hikayat Malim Dewa (cetakan ketiga tahun 1988 oleh Penerbit Fajar Bakti) adalah seperti dalam jadual yang berikut:

Kaedah Petikan Penerangan Halaman
Onomatopeia Tujuh ruang tujuh pemanah
Selejang kuda berlari
Selelah burung terbang
Gambaran tentang suasana dan luasnya balai penghadapan di istana Kuala Bandar Muar. 4
Aliterasi Atap yang genting dibetulkan,
Lantai yang patah digantikan,
Lorong yang bengkok diluruskan
Irama yang berulang digunakan bagi menunjukkan kesibukan rakyat di negeri Kuala Bandar Muar melakukan pekerjaan masing-masing bagi membangunkan kota di negeri tersebut. 8
Hiperbola Yang capik datang bertongkat,
Yang buta datang berpimpin,
Yang pekak leka bertanya,
Yang kurap mengekor angin
Pelbagai gaya dan keadaan rakyat yang datang menghadap raja digambarkan secara dramatik oleh pengarangnya bagi menunjukkan ramainya rakyat di negeri Kuala Bandar Muar. 5
Asonansi Dilaung di rumah, di tanah menyahut:
Dilaung di tanah, di rumah menyahut
Pengulangan vokal berirama yang sama dalam sekumpulan perkataan bagi menunjukkan sesak dan sibuknya kota Kuala Bandar Muar. 2

Beli Hikayat Malim Dewa di sini.

_________________________

Khairul Nizam Zainal Badri (Dr.) mengajar di Pusat Pengajian Al Mansoorah, Puchong, Selangor.

Kredit Foto: Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi