Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJack Malik memperkenalkan sebuah sajak tulisan Ku Syafiq yang mempunyai auranya yang tersendiri.
Dalam sejarah puisi moden Melayu, sajak seperti tulisan Ku Syafiq ini sebenarnya tidak asing.
Bukan kaum (race). Bukan kerabat (royalty). Bukan agama (religion). R yang paling penting dalam 3R, bilang Amir Muhammad dalam salah satu hantaran Facebooknya ialah randy. Bukan sejenis kain sutera bergaris-garis tetapi gasang.
Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2022/2023/2024 sudah pun berlalu. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah kepada para pemenang bagi setiap kategori yang karya masing-masing berjaya merangkul hadiah utama dan penghargaan selayaknya. Selain itu, saya ingin menjelaskan bahawa rencana ini tidak sama sekali mempertikaikan keputusan para juri mahupun ingin mengkritik karya para pemenang—sama ada mengangkat mahupun menyanggah. Sebaliknya, ada sebuah karya yang saya terpanggil untuk raikan, meskipun tidak tersenarai bagi tahunnya.
Sebelum ini, saya ada sedikit sebanyak menulis tentang budaya laga puisi (poetry slam) yang dimasyhurkan di Amerika Syarikat dan negara-negara lain. Bahkan, sukacita untuk memaklumkan bahawa Malaysia sudah pun diiktiraf oleh Pertubuhan Laga Puisi Sedunia (WPSO) dan bakal pemenang Laga Puisi Kebangsaan Malaysia (MNPS) akan mewakili tanah air bagi Kejohanan Laga Puisi Sedunia (WPSC) kelak. WPSC 2026 akan diadakan di Afrika Selatan.
Pendemokrasian Puisi
Pengasas laga puisi, Marc Smith, menginginkan suatu jenis pendemokrasian dalam puisi. Hal ini berlaku pada tahun 1980-an ketika beliau berasa puisi di Amerika Syarikat ketika itu terlalu jumud dalam cengkaman menara gading. Maka, Smith memulakan suatu format sayembara dan deklamasi yang mudah difahami secara sejagat dan pada masa yang sama mempunyai rubrik jelas.
Harold Bloom, mendiang pengkritik gergasi Amerika Syarikat, pernah menyatakan bahawa laga puisi merupakan kematian seni (puisi) kerana premisnya “dinilai melalui meter sorakan yang tidak wujud, tetapi alang-alang baik wujudkan sahaja.” Bloom juga berasakan yang para peserta hanya bergembar-gembur sesama sendiri dan hanya meluahkan kata-kata merepek.
Dengan usia, pengalaman dan sedikit jarak, saya nampak apa yang Bloom nyatakan. Barang siapa yang pernah menonton open mic atau laga puisi akan sedar hakikat “kalau dah tonton satu, seolah sudah menonton semua.” Mungkin, kematian yang Bloom maksudkan itu merujuk suara, gaya dan tema laga puisi yang mendatar. Dalam kritikan terhadap laga puisi, saya sarankan untuk para pembaca budiman selami sendiri dan nilai sama ada apa yang Bloom sebutkan itu sahih atau sebaliknya. Demikian, mari kita kembali pada demokrasi dalam (laga) puisi.
Seperti mana-mana sayembara, adat menang-kalah itu pasti. Dan kalimat keramat yang sering didendangkan ialah “the point is not the point, the point is poetry.” Secara kasarnya, kalimat itu bermaksud “apa yang penting bukan pemarkahan, apa yang penting ialah puisi.” Setiap acara laga puisi bukan sahaja ada pemenang, tetapi pilihan hati para penonton. “Pemenang bayangan” ini lazimnya tidak berjaya menembus ke peringkat seterusnya ataupun mereka berentap sengit dengan para pemenang.
Untuk pencalonan Hadiah Sastera Selangor 2024, sebagai penonton, saya menobatkan Ku Syafiq sebagai pemenang bayangan bagi tahun berikut.
Ampun Puanku Beribu-ribu Ampun
Pada 29 Jun 2024, Tukang Puisi menyiarkan sajak ke-654 mereka oleh Ku Syafiq dengan judul “Ke Bawah Duli Perempuanku”. Sajak pendek yang randy ini merupakan sebuah puisi filogini (pencinta dan pengagum wanita) yang bahasanya segar dan cerdik. Dalam sejarah puisi moden Melayu, sajak seperti tulisan Ku Syafiq ini tidak asing. Bayangkan siri sajak “Perempuan” oleh Salleh Ben Joned; “Maya” oleh Latiff Mohidin; “Blues i” oleh Pyanhabib Rahman. Jangan salah faham—saya tidak meletakkan Ku Syafiq pada aras yang sama dengan nama-nama besar ini, tetapi sekadar teringatkan sajak tentang wanita yang lain saya minati.

Hal yang menarik tentang sajak Ku Syafiq ini ialah kemahiran beliau bermain dengan kata (wordplay). “Yang di-Pertuan Anggun”, “Paduka adinda”, “permai curi hati” dan “ampun puanku”—antaranya—bukan sahaja mencuit hati, malah mempersembahkan kecerdasan Ku Syafiq dalam mengubah kalimat lazim “Yang di-pertuan Agong”, “Paduka baginda”, “permaisuri hati (atau permai suri hati)” dan “ampun tuanku”.
Ku Syafiq membuka rangkap dengan “bayangan tuhanku” yang merujuk hadis yang bermaksud: “Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi.” Menurut tafsiran ringkas, hadis ini merupakan kiasan pada bagaimana pemerintah itu laksana teduhan bagi jelata. Ku Syafiq menyamakan “Yang di-pertuan Anggun” beliau sebagai kekasih yang elok rupa-budi memerintah wilayah sanubarinya, dan beliau sebagai rakyat menikmati lindungan sang pemerintah. Rangkap seterusnya menyambung citra DiRaja seperti “kugesek rebab pertabalan” dan “nobat (gendang anak dan gendang ibu) dipalu (bersama-sama barisan alat muzik DiRaja lain)”. Selain itu, Ku Syafiq turut merendahkan diri dengan menyatakan beliau merupakan “duli (bagi) puan cantik” yang dicintainya.
Kemahiran Ku Syafiq tidak terbatas pada sekadar bermain kata. Perhatikan pula Ku Syafiq memiliki kepekaan rima dan rima dalaman, contohnya pada rangkap ketiga (“mahar bermohor,/patik bermohon”) dan rangkap keempat (“bertitah tatih,/pujaku membertih”). Sajak Ku Syafiq beralun dengan lagu yang terhasil daripada garapan rima yang tidak membosankan, serta irama daripada aliterasi seperti “rebab pertabalan” dan baris contoh di atas tadi.
Akhir sekali, Ku Syafiq menyelitkan easter egg atau kandungan tersembunyi pada baris akhir sajaknya. Penggunaan perkataan bahasa Inggeris ‘attention’ bukan sahaja (sengaja) mengganggu pembacaan, malah menarik tumpuan para pembaca untuk meneliti perkataan tersebut. Mengapa attention? Mengapa bukan perhatian atau pengabdian? Lihat bagaimana baris akhir terus mendatar jika diubah:
………..kutadah seribu kata sejuta idea.
………..ampun puanku;
………..persembahan kata.
………..dari diri yang selalu
………..mahu perhatian/pengabdian darimu.
Penyilangan Disiplin
Lebih mudah lagi untuk kita anggap sebuah karya itu gagal jika pengkaryanya tampil untuk menerangkan apa yang mungkin para pembaca dan pengkritik terlepas pandang, seolah-olah keterbatasan pengetahuan diri sendiri tidak diambil kira.
Sebagaimana tanggapan Johan Radzi tentang Nautilius karya Wan Nor Azriq “diwarnai” oleh hubungan peribadi mereka, begitu juga saya dengan sajak Ku Syafiq ini. Walaupun pengetahuan muzik bawah tanah tempatan saya tidaklah sedalam beliau, tetapi asbab bergaul dengan lingkungan sama, amat mudah bagi saya untuk terus menangkap penggunaan licentia poetica beliau. Ku Syafiq bukan semata-mata menggunakan percampuran kod dalam karyanya, tetapi juga melakukan interteks langsung atau pensampelan daripada Fathullistiwa Soundscapes, pemuzik alternatif kultus tanah air. Baris “dari diri yang selalu/mahu attention darimu” Ku Syafiq merujuk terus pada seni kata lagu Fathullistiwa berjudul Sabar dan Dengar (daripada album Romantikarat): “dari diri yang mahu attention dari mu”.
Boleh dikatakan juga saya bernasib baik kerana iklan sebuah syarikat baju tempatan, Kain Riot, mempromosikan baju kemeja-T mereka dengan kerjasama Fathullistiwa pada 25 Mac 2024—tiga bulan sebelum sajak Ku Syafiq tersiar.
Dalam hal ini, muzik dan fesyen juga mengilhamkan sastera. Inilah sebabnya penting bagi pengkarya, pengkritik dan pembaca untuk melangkaui dan menyilang disiplin. Mudah untuk kita menuding jari dan memetik pelbagai teori untuk mengatakan bahawa sebuah karya dan pengkaryanya gagal kerana tidak berjaya menyediakan maklumat sewajarnya. Lebih mudah lagi untuk kita anggap sebuah karya itu gagal jika pengkaryanya tampil untuk menerangkan apa yang mungkin para pembaca dan pengkritik terlepas pandang, seolah-olah keterbatasan pengetahuan diri sendiri tidak diambil kira. Bukan maksud saya untuk mempertahankan karya lemah dan dangkal di sini. Apa yang saya cuba sampaikan lebih kepada bagaimana mudahnya kehidupan kita pada zaman sekarang untuk audiens berhubung dengan para pengkarya—vice versa. Antara mahu dengan tidak mahu untuk menggali maklumat berkaitan yang dapat lebih memperkaya (konteks) pembacaan kita.
Para juri dan pengelola—bahkan pengkritik bermata lebah—pasti ada hujah kukuh mengapa “Ke Bawah Duli Perempuanku” tidak tersenarai pendek dalam pencalonan HSS 2024. Walau bagaimanapun, sajak ini sudah pun memenangi hati saya dengan penyampaiannya yang tidak klise, pengucapan yang bersahaja dan rakaman zamannya yang cukup jujur. Sajak ini selayaknya mendapat perhatian kita semua.
_________________________
Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.