Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDr. Norshah Aizat Shuaib mengenang pemergian pengarang Perlis dan penerima SEA Write Award (Malaysia) 2016, Allahyarham Rejab F.I.
Apakah Pak Rejab membayangkan akhir hayatnya akan sama seperti Tuk Batil?
“Entahlah! Tak ada sapa pun yang mai tunggu wa,”
(Deklarasi Belantara, 2007:8)
Usai Subuh, saya melaksanakan tugasan sambil menonton Netflix melalui tablet komputer di meja kamar hotel. Tiba-tiba, tablet komputer saya bergetar menunjukkan ada panggilan masuk melalui aplikasi WhatsApp. Saya cekatan melihat telefon bimbit yang berada dalam mod senyap. Nama Pak Mokhtar A.K., seorang penulis juga sejarawan tersohor Perlis tertera di skrin. Fikir saya, Pak Mokhtar menelefon untuk bertanyakan pertandingan melukis kanak-kanak pada hari tersebut, yang mana Pak Mokhtar akan mewakili Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) selaku juri.
“Kawan kita dah tak ada.”
Apabila menyebut tentang kawan, saya terbayang mana-mana sahaja ahli AKSARA. Tua atau muda, kematian tidak mengenal usia.
Saya terpana sebentar apabila nama Rejab F.I. disebut. Saya segera membuat pengesahan dengan membuat panggilan ke nombor telefon Pak Rejab. Deringan agak lama sebelum akhirnya seorang wanita menjawab panggilan. Isteri Pak Rejab akhirnya mengesahkan berita tersebut. Saya memohon maaf tidak dapat “mengunjung” (menziarahi kematian dalam bahasa Perlis) kerana berada di Kuala Lumpur atas tugas hakiki.
“Oh, dari Sungai Petani ke Kuala Lumpur pula ya,” kata isteri arwah, mengingatkan semula saya tentang Seminar Kesusasteraan Kedah: Pemikiran Sasterawan Utara anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang berlangsung tiga hari sebelumnya di sebuah hotel di Sungai Petani. Saya telah diminta oleh pihak penganjur untuk membentangkan pemikiran Pak Rejab.
Saya bukanlah insan yang begitu akrab dengan Pak Rejab. Hanya sekali-sekala bertanyakan khabar. Penulis senior lain di Perlis seperti Nordin Saad, Zalina Ahmad, Ridzuan Kamis, dan Nilamsuri (sekadar menyebut beberapa nama) tentunya lebih banyak kenangan bersama-sama arwah. Namun begitu, pelibatan saya sebagai pembentang untuk seminar ini menyebabkan saya perlu menghubungi arwah sekitar dua minggu sebelum acara. Sebab pertama, saya mewakili penganjur untuk menyampaikan jemputan menghadiri program kepadanya. Kedua, saya memaklumkan hasrat menganalisis kumpulan cerpennya, Deklarasi Belantara terbitan DBP pada tahun 2007 sebagai kertas kajian seminar.
Tajuk kajian adalah berkaitan pendekatan teori Sistem Pemikiran Bersepadu 4K (SPB4K) bagi meninjau cara pengarang menerapkan pembentukan insan seimbang melalui perwatakan dalam karya. Meskipun naskhah ini mempunyai 18 buah cerpen, saya hanya memilih 10 buah cerpen yang dirasakan paling relevan.
Berita pemergian Pak Rejab terus mengingatkan saya pada salah satu cerpen yang dikaji berjudul “Pesanan Terakhir Seorang Seniman”. Cerpen pertama dalam naskhah Deklarasi Belantara ini disiarkan dalam Utusan Zaman pada 26 Januari 1992, mengisahkan detik pemergian seorang tokoh budayawan Perlis bernama Tuk Batil. Watak utama, seorang anak muda bernama Rahmat bertanggungjawab mendampingi Tuk Batil saat uzur dan menguruskan hal kematiannya.
Agaknya ketika cerpen ini dinukilkan, Pak Rejab melihat dirinya sebagai Rahmat. Tuk Batil, berkemungkinan diinspirasikan daripada arwah Mahmud Wahid, iaitu ayah Awang Batil hari ini (Romli Mahmud), atau seorang lagi penglipur lara Perlis, iaitu arwah Selampit.
Waktu mulai menjengah ke duha, saya duduk sebentar memikirkan perkaitan cerpen ini dan pemergian Pak Rejab bertemu Pencipta. Saya ada sedikit masa sebelum perlu menukar pakaian untuk menghadiri mesyuarat di tingkat bawah hotel.
Apakah Pak Rejab membayangkan akhir hayatnya akan sama seperti Tuk Batil?
Permulaan cerpen menjelaskan Rahmat mendapat panggilan telefon daripada jururawat hospital, mengatakan Tuk Batil sakit tenat. Mengapa Rahmat dan bukannya ahli keluarga lain menerima panggilan? Jururawat itu tiada pilihan kerana Rahmat sahaja yang kerap mengunjungi Tuk Batil di hospital. Rahmat pula terperangkap dengan kesibukannya sebagai Ahli Majlis Kebudayaan Negeri untuk menghadiri perasmian Pesta Burung ASEAN di Sungai Batu Pahat (hari ini, taman burung di situ sudah menjadi kenangan), menyebabkan dia tidak dapat bersama-sama Tuk Batil sepanjang masa. Diceritakan juga Tuk Batil berjalan seorang diri ke tandas hospital meskipun berkerusi roda. Othman anak Tuk Batil yang pada mulanya berjanji untuk menemani ayahnya di wad hospital juga tidak kelihatan. Sehinggakan Tuk Batil menyebut “Entahlah! Tak ada sapa pun yang mai tunggu wa,” menunjukkan betapa beliau kecewa terhadap ahli keluarga sendiri.
Saya menyemak semula mesej terakhir saya bersama-sama Pak Rejab, kurang 48 jam sebelum arwah bertemu Pencipta.
Seperti Tuk Batil, Pak Rejab juga sebenarnya sudah uzur sekian lama, sekurang-kurangnya sejak dua tahun lepas (seingat saya). Hal ini sudah sedia maklum dalam kalangan kami penulis Perlis. Ajakan saya untuk arwah terlibat dalam suatu rakaman audio siar pada bulan Jun 2024 turut tidak disahut atas faktor kesihatan. Ada juga saya mendengar khabar beliau berhalangan untuk berjumpa dengan sesiapa atas sebab yang sama, walaupun ramai sahabat penulis, termasuklah dari Kuala Lumpur berhajat untuk bertemu dengannya. Saya juga segan-segan mahu singgah walaupun rumahnya di Tanjung Gorah merupakan laluan utama saya ke tempat kerja. Rasa segan ini disebabkan menghormati pilihan Pak Rejab untuk tidak diganggu. Mungkin Pak Rejab juga berasa terkilan jika tetamu tidak dilayan sebaiknya dalam keadaan beliau uzur. Beliau lazimnya akan bersemangat, misalnya menunjukkan tugu puisi yang berada di perkarangan rumahnya.
Saya turut bertuah pernah diajak ke teratak kecil di kebunnya berhampiran Sungai Repoh, meninjau lokasi arwah mendapat ilham dan menabur bakti pada alam. Meski tidak bersua muka, Pak Rejab masih aktif berhubungan dengan sahabat melalui akaun Facebook, mesej WhatsApp dan panggilan telefon. Dalam hal ini, nasib Pak Rejab ternyata berbeza daripada Tuk Batil yang langsung tidak diendahkan.
Rahmat mendapat tahu berita pemergian Tuk Batil menerusi panggilan telefon daripada isterinya. Tindakan Rahmat membiayai kos pengurusan jenazah dan mengajak Tok Imam menguruskan jenazah Tuk Batil turut memberikan gambaran betapa ketidakpedulian orang sekeliling terhadap Tuk Batil. Ketika jenazah tiba di rumah, tiada seorang pun menunggu. Rahmat mempersoalkan di mana pencinta-pencinta budaya dan pegawai kerajaan yang sering menjemput arwah untuk membuat persembahan ketika hayatnya.
Kematian Pak Rejab pula, ternyata sebaliknya. Sejurus selepas berita kematiannya tersebar, portal Dewan Sastera, Bernama, PerlisAktif, dan lain-lain memuat naik ucapan takziah. Pak Rejab bukan sekadar diingati sebagai seorang penulis dan budayawan, tetapi juga seorang guru. Meskipun saya tidak berada di Perlis untuk bersama-sama menguruskan jenazah Pak Rejab, gambaran sahabat penulis sudah cukup membayangkan penghormatan terakhir penuh sempurna buat Pak Rejab. Masjid Repoh yang cuma beberapa ratus meter dari rumahnya menjadi saksi perjalanan terakhir Pak Rejab.
Saya menyemak semula mesej terakhir saya bersama-sama Pak Rejab, kurang 48 jam sebelum arwah bertemu Pencipta. Arwah mengucapkan tahniah setelah saya menghantar gambar seminar di Sungai Petani. Arwah meminta salinan lembut slaid untuk simpanannya. Saya berasa ralat tidak sempat membalas mesej tersebut. Saya tidak pernah terfikir itulah permintaan terakhir arwah kepada saya.
Namun begitu, ralat saya sedikit memudar setelah memikirkan pada akhir hayat Pak Rejab, beliau tahu dirinya sentiasa dihargai dan karyanya diwacanakan. Sementelahan, seminar di Sungai Petani itu dihadiri oleh nama-nama besar, antaranya termasuk Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, Presiden Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA), YBrs. Datuk Zainal Abidin Borhan dan puluhan penulis serta peminat sastera dari utara tanah air. Semoga usaha ini menjadi kenangan indah terakhir Pak Rejab sebelum menutup mata, berbeza daripada nasib watak Tuk Batil yang dinukilkannya, 33 tahun yang lepas.
Kata Rahmat pada penghujung cerita: “Inilah nasib tokoh budaya rakyat kita. Ketika hidupnya hari-hari dijemput ke mana-mana, ketika meninggal, orang yang sering menjemputnya tidak datang.” (2007:14)
Semoga pesanan Pak Rejab ini malar segar, mengingatkan kita untuk terus menghargai penggiat sastera dan budaya, sama ada mereka dalam keadaan sihat, uzur atau sudah pun meninggalkan kita.
_________________________
Norshah Aizat Shuaib (Dr.) atau nama penanya, Shahkang merupakan Ketua Satu Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA). Bertugas sebagai pensyarah dalam bidang kejuruteraan mekanikal di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).