Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangJack Malik memberi respons kepada Naim al-Kalantani mengenai isu “penyair segera” yang dibangkitkan.
Kekecewaan Naim itu bukanlah tidak bertempat. Isu ini sebenarnya semua penulis, baharu mahupun lama, perlu ambil cakna: hal membaca …
Kalau nak belajar tulis puisi, carilah Naim al-Kalantani: itulah yang ditulis bersama-sama tandatangan yang diturunkan dalam buku puisi kedua saya, Sajakjakja(c)k beberapa tahun lalu di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) pada sebuah sesi temu-dan-tegur di reruai Kata-Pillar Books. Saya tunjukkan “jenaka” saya itu kepada Aliff Awan dan Qurratul ‘Ain (kalau tidak silap) yang turut hadir. Mereka ketawa.
Dalam rencana Naim baru-baru ini, beliau menegur “penyair segera” dengan hujah-hujah bermerit. Sudah pasti saya tidak bersetuju dengan beberapa sudut pandangan beliau, terutama sekali dengan pelabelan yang saban tahun berganti istilah, tetapi masih sama membangkitkan isu yang tidak bernoktah: penulis muda atau baharu.
Penyajak Mi Segera. Penyajak McDonald’s. Penyajak Instagram. Penyajak Tumblr. Penyajak Healing. Penyajak Sampah—ah, pasti ada ejekan dan gelaran baharu yang muncul setiap tahun dengan niat ingin menempelak kelompok berikut.
Akan tetapi, saya tidak ingin sentuh hal tersebut. Hal ini kerana pendirian saya mudah: live and let live. Maksudnya, biarlah orang nak buat apa yang mereka mahu buat, asalkan tidak mendatangkan kemudaratan akbar. Lebih afdal para penulis terus menajamkan kraf masing-masing. Unbothered, moisturised, happy, in my lane, focused, flourishing; bak petikan salah satu meme tersohor ranah digital.
Teguran semestinya wajar, tetapi jangan sampai—bak kata orang kampung saya— menjadi “otai petai”. Gen-Z sebut “salty”. Tidak hairanlah kerana kita sudah banyak makan garam, tetapi kecewa dan rasa geram itu berlebihan pula rasa masinnya.
Walau bagaimanapun, kekecewaan Naim itu bukanlah tidak bertempat. Isu ini sebenarnya semua penulis, baharu mahupun lama, perlu ambil cakna: hal membaca. Jangankan golongan “penyair segera” ini kurang membaca, saya tidak terkejut jika dalam kalangan penulis yang membaca sastera dengan “S” huruf besar pun ada yang kurang membaca. Dan, ada pula kelompok yang banyak membaca, tetapi ironinya menjadikan mereka jumud dan keras.
Sebulat hati saya bersetuju dengan Naim bahawa tiada jalan pintas dalam penulisan. Sasterawan Negara A. Samad Said suruh kita membaca. Salman Sulaiman nasihatkan kita membaca dan mengembara. Qurratul ‘Ain—apa yang saya faham dan pernah ternampak dalam beberapa hantarannya di media sosial—menekankan KEFAHAMAN lebih penting daripada pembacaan.
Bagi saya: baca, baca, baca, hidup, tulis, dan kembali membaca dan teruskan menulis dan sambung membaca dan kita mesti terus hidup bak lagu M. Nasir dan kalimat Osman Tikus lalu terus hidup dan membaca dan menulis dan membaca dan membaca dan menulis dan tulis-lis-liss-lisss ….
Benar, tidak ada jalan pintas. Bidalan Orang Putih ada hikmahnya: you are what you eat. Apa yang kita “makan” dan “hadam” itulah yang akan menjadi “darah” dan “daging” kita. Tidak ada jalan pintas, namun, ada bermacam jenis jalan yang penulis perlu beranikan diri untuk teroka dan telusuri.
Naim menyatakan bahawa “Membaca esei kritikan … akan menajamkan daya analisis, memberi kita perspektif untuk melihat puisi bukan sekadar susunan kata, tetapi sebagai medan wacana yang menguji minda.” Akan tetapi, esei kritikan yang mana satu? Sudah pasti, mana-mana esei kritikan—sama ada eceran atau kumpulan— yang menggerakkan gerigi dalam otak kita sudah memadai. Demikian, saya ingin berkongsi tujuh buku yang barangkali dapat membantu penulis baharu membina kraf mereka.
Sebagaimana tidak ada satu-satunya cara yang betul untuk menulis puisi, puisi yang agung membuka ruang dan menjemput pelbagai tafsiran …
Pertama, saya ingin sarankan Bird by Bird (1994) oleh Anne Lamott. Naskhah ini tidaklah begitu menggerunkan dan sangat mesra-penulis baharu. Bagi Lamott, manusia ialah spesies yang perlu dan mahu difahami siapakah diri mereka. “Kutu kambing tidak berkongsi keinginan ini—padanlah salah satu sebab mengapa kutu kambing sangat kurang menulis,” seloroh Lamott. “Namun, kita (manusia) ingin menulis. Ada banyak hal yang kita ingin sampaikan dan fahami.” Bird by Bird saya baca ketika menghampiri dekad pertama sebagai seorang penulis; alangkah baiknya jika saya menemui buku ini pada tahun-tahun terawal tika mula mengangkat kalam? Bird by Bird hadir bukan sebagai esei kritikan yang kritikal, tetapi lebih pada mutiara hikmah dan peringatan murni dan polos tentang perjalanan seorang penulis.
Seterusnya, Nine Gates (1997) oleh Jane Hirshfield dan Why Poetry (2017) oleh Matthew Zapruder. Barang siapa yang mahukan wacana puisi yang dapat menajamkan daya pemikiran mereka dalam genre berikut, maka Nine Gates merupakan naskhah sesuai untuk ditelaah, manakala Why Poetry membicarakan “apakah” itu puisi; “mengapa” puisi ditulis dan “apakah” yang puisi lakukan dalam penulisan dan pembacaannya. Bagi Zapruder, kebergunaan hakiki puisi bukan menyampaikan pesanan, sebaliknya menghembuskan nafas baharu kepada bahasa, lalu menuntun kita ke medan perhatian dan kesedaran yang berlainan. Hirshfield pula menyatakan bahawa penulisan, seperti ambang kesedaran, ialah langkah yang melangkaui apa-apa yang kita fikirkan kita tahu, menuju suatu pertalian baharu dengan segala kemungkinan yang wujud. Barangkali inilah yang Naim mahukan daripada pemuisi baharu, bukan sekadar “catatan hati” yang hanya menyentuh perihal permukaan dalam pandangan alam yang lebih besar.
Selain tiga buku esei tentang penulisan dan puisi, saya juga tidak berat mulut untuk menyarankan pemuisi baharu (juga mapan) untuk menyantuni buku-buku “panduan”. Dalam berpuluh buku esei tentang puisi, hanya empat naskhah (setakat ini) sahaja yang begitu membekas: A Poetry Handbook (1994) oleh Mary Oliver; Ordinary Genius (2009) oleh Kim Addonizio; Finger Exercises for Poets (2024) oleh Dorianne Laux; dan Real Toads, Imaginary Gardens (2024) oleh Paisley Rekdal.
Keempat-empat naskhah ini bukan sahaja memberi panduan ringkas tentang bagaimana cara untuk menulis puisi, bahkan turut menerangkan cara membaca puisi, memberi kritikan singkat sekitar karya contoh, menitip mutiara kata tentang puisi dan penulisan, serta menyediakan latihan atau rangsangan (prompt) untuk penulisan puisi.
Setakat ini, Real Toads, Imaginary Gardens paling saya sukai kerana Rekdal bukan sahaja memberi beberapa panduan penulisan untuk para pembaca bereksperimen dan contoh puisi (banyak dapat diakses melalui laman sesawang seperti Poetry Foundation) untuk para pembaca kaji, malah beliau juga menjemput kita untuk membaca sebuah puisi secara “forensik”, yakni tidak melontarkan soalan-soalan yang mendesak penjelasan makna yang dasar dan terlalu ralit dalam pujian mahupun kecaman.
Rekdal mengakui bahawa ramai dalam kalangan kita tidak boleh mencapai kata sepakat tentang apakah yang menjadikan sebuah puisi itu “puisi”, apatah lagi apakah yang menjadikan sebuah puisi itu bagus. Bagi Rekdal juga, membaca puisi bukannya mengejar jawapan yang sudah tersurat takdirnya dan disepakati oleh jumhur pendeta sastera. “Sebagaimana tidak ada satu-satunya cara yang betul untuk menulis puisi, puisi yang agung membuka ruang dan menjemput pelbagai tafsiran,” jelas Rekdal.
Demikian, pernyataan “tidak ada satu-satunya cara yang betul” bukanlah “lesen” bagi para pemuisi baharu untuk menjadikan “curhat” (curahan hati) “galau” mereka sebagai garis penamat dalam perjalanan sastera mereka; pada masa yang sama, penulis mapan dan pembaca yang lebih sofistikated tidak wajar meletakkan jangkaan melampau dan bersikap terlalu keras hingga mencampak bermacam cemuhan dan ejekan. Namun begitu, jangkaan Naim terhadap para pemuisi baharu ini tidaklah sampai pada tahap membimbangkan. Paling-paling, pernyataan Naim sedikit dramatik apabila beliau menyatakan “jika benar (para pemuisi baharu tidak pedulikan pada pembacaan dan peningkatan tahap penulisan yang lebih baik), maka kita sedang menyaksikan tragedi sastera.”
“Tragedi” itu barangkali sudah berlaku, sedang berlaku dan akan terus berlaku. Harold Bloom pernah menyatakan laga puisi (slam poetry) dan puisi spoken word ialah “kematian seni”. Lihat ranah puisi mutakhir Amerika Syarikat dan dunia, kemudian lihat pula dunia laga puisi yang (kononnya) disebut-sebut sebagai “pembunuh” genre tersebut. Belantara puisi cukup luas untuk semua.
Demikian saya yakin, setiap genre penulisan memerlukan pembacaan luas dan bernas. Bukan puisi sahaja yang menuntut kecerdikan bahasa, ketajaman intelektual dan disiplin estetik, bahkan mana-mana penulisan sastera pasti menuntut hal tersebut. Nescaya, tidaklah saya sering memetik hal yang Salleh Ben Joned bentangkan sebagai apa yang dituntut bagi menulis puisi: kejujuran, kemahiran dan kejernihan akal-kalbu.
Tanggapan “mudah” untuk menulis puisi itu saya agak terbit daripada kejujuran yang dirasai oleh semua orang. Akan tetapi, adakah kejujuran sahaja cukup? Kemahiran datang daripada ketekalan dan iltizam dalam diri, manakala kejernihan pula hadir apabila kita mendedahkan peribadi pada pengalaman hidup serta halaman buku yang sedia menawarkan seribu kemungkinan kecil dan besar.
Dalam berjenaka dan berseloroh, mungkin ada kebenaran yang tersembunyi di sebalik titipan saya beberapa tahun lalu. Naim sering mengaku bahawa beliau seorang “peminat sastera yang kurang meminati genre puisi”. Namun begitu, saya percaya, sebenarnya Naim seorang pencinta puisi kerana beliau berasakan “puisi ialah tingkat tertinggi” dalam genre sastera. Maka difahami, “marah”nya ada kalanya datang daripada “sayang”.
Tidak kiralah tingkat tertinggi ataupun tangga pertama; puisi mahupun prosa; kertas waima pentas—penulisan bukan sahaja menuntut bermacam-macam perkara. Penulisan, pada dasar paling dasarnya, menuntut pembacaan. Sepertimana Faisal Tehrani pernah bilang kepada saya: “Apa yang kita baca hari ini, bacaan itu akan mempengaruhi penulisan kita dalam masa sepuluh tahun akan datang.”

_________________________
Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.