Diterbitkan pada 19 September 2025, 15:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hidayyah AT Mizi menyelami maksud sensasi dalam kesusasteraan, khususnya dalam penciptaan dan pembacaan puisi.

Bukankah sia-sia sahaja usaha pemurnian kata andai pembaca gagal menanggap makna?

Sensasi dalam sajak ialah pengalaman kompleks yang menggabungkan pancaindera, emosi, akal, dan intuisi. Sensasi tidak terhenti pada kesan bunyi atau visual semata-mata, sebaliknya melibatkan getaran batiniah yang tercetus ketika pembaca berinteraksi dengan teks.

Dalam tradisi teori sastera, pengalaman ini sudah lama diberi perhatian. Aristotle dalam Poetics menekankan konsep mimesis, iaitu seni sebagai tiruan kehidupan. Namun dalam puisi, tiruan bukanlah salinan literal, sebaliknya sebuah pemadatan yang mencipta semula realiti dengan keindahan, struktur dan simbol. Sensasi lahir apabila mimesis yang diolah oleh penyair menyingkap sesuatu yang lebih besar daripada apa-apa yang tampak pada permukaan.

Untuk menghasilkan sensasi sedemikian, penyair perlu memiliki keupayaan untuk melihat sesuatu sebagai sesuatu, dan bukan sesuatu. Konsep ini membantu penyair untuk menggubah pengucapan yang lebih dinamik dan segar dalam penciptaan sajak. Roland Barthes dalam gagasan semiotik menyatakan bahawa teks ialah jaringan tanda. Objek atau imej tidak pernah kosong, dan akan sentiasa membawa makna tambahan (konotasi).

Dalam puisi, prinsip ini menjadi landasan penting untuk membina konteks cerita. Seekor burung boleh menjadi lambang kebebasan, doa yang terbang, atau kerinduan yang tidak terjawab. Di sinilah bermulanya lapisan sensasi kerana bahasa tidak lagi statik, tetapi bergerak daripada denotasi kepada konotasi; iaitu daripada tanda kepada makna.

Selepas membaca Rahimidin, Penyair sebagai Teman tulisan Rosli K. Matari, saya pertama kali diperkenalkan dengan 17 aspek kreativiti kepengarangan puisi Rahimidin Zahari, dan kemudiannya; saya gunakan sebagai asas dan prinsip dalam mengesani sensasi dalam pengucapan sajak.

Asas pertama yang menyemarakkan sensasi ialah imaginasi. Einstein pernah menegaskan bahawa imaginasi lebih penting daripada pengetahuan. Dalam konteks sastera, kenyataan ini seiring dengan pandangan romantisisme Eropah yang menjunjung tinggi imaginasi sebagai sumber kreativiti. Samuel Taylor Coleridge membahagikan imaginasi kepada dua, iaitu imaginasi primer (keupayaan semula jadi minda manusia) dan imaginasi sekunder (daya cipta penyair yang menyusun semula pengalaman). Sajak lahir daripada imaginasi sekunder kerana penyair menstrukturkan semula realiti untuk melahirkan pengalaman baharu. Imaginasi yang berani memungkinkan penyair menyeberangi batas logik, menghubungkan sains dengan metafora, atau menyatukan dunia nyata dengan dunia imaginasi. Inilah kekuatan yang melahirkan sensasi unik dalam sajak.

Namun begitu, imaginasi tidak boleh dibiarkan tanpa kawalan. Roman Jakobson, dalam kerangka linguistik struktural menegaskan tentang “fungsi sajak”, iaitu suatu penekanan pada bentuk bahasa itu sendiri. Fungsi puitis bahasa menekankan bentuk, gaya dan cara penyampaian mesej. Dengan itu, bahasa sering digunakan secara lebih indah, metaforik dan kadang-kadang merujuk dirinya sendiri. Fungsi ini jelas dalam sajak, tetapi juga boleh ditemui dalam slogan, iklan atau ungkapan harian yang menjadikan bahasa yang digunakan lebih menarik dan estetik.

Fungsi ini hanya akan tercapai jika bahasa mempunyai aturan, pola dan struktur. Di sinilah mantik atau logika menjadi penting. Dalam sajak, logika ialah prinsip kesinambungan makna. Paul Ricoeur menyebutnya sebagai “logika metafora”, iaitu kesatuan makna yang lahir daripada pertembungan imej. Tanpa logika ini, sajak yang dihasilkan mungkin indah pada permukaan, tetapi akan gagal membina sensasi mendalam kerana maknanya terputus.

Pada masa yang sama, kehidupan itu sendiri penuh dengan absurditi. Albert Camus dalam Le Mythe de Sisyphe mengangkat absurditi sebagai hakikat kewujudan manusia. Hidup tidak selalu rasional, dan usaha mencari makna sering berdepan dengan kebuntuan.

Sajak yang baik berani menerima kenyataan ini. Unsur absurd membenarkan penyair melanggar aturan rasional untuk mencipta kejutan estetik. Dalam sajak, absurditi bukan kelemahan, tetapi strategi untuk menyingkap ironi kewujudan. Apabila pembaca berhadapan dengan imej yang tidak masuk akal namun terasa tepat secara emosi, sensasi yang lahir jauh lebih kuat daripada deskripsi rasional.

Lapisan makna dalam sajak menambahkan lagi kerumitan sensasi …

Bahasa sebagai medium utama sajak juga memainkan peranan yang kritikal. Konsep bahasa indah yang mudah menegaskan bahawa kesederhanaan tidak pernah mengurangkan kekuatan estetik. Teori defamiliarization oleh Viktor Shklovsky menjelaskan bahawa kesenian berfungsi menjadikan yang biasa kelihatan luar biasa.

Dalam sajak, bahasa sederhana boleh menggoncang jika diolah dengan teknik pengasingan, pengulangan atau peralihan imej. Keindahan bukanlah semata-mata tentang menjadikan pengucapan kedengaran bombastik, tetapi berdiri atas kemampuan penyair untuk menjadikan sesuatu yang harian terasa baharu, mengejutkan dan menyentuh.

Pemilihan diksi harus seiring dengan nada dan tema. Jika tema bersifat mistik, maka bahasa yang dipilih perlu berbaur mistik; jika tema kontemporari, maka kata-kata yang digunakan harus segar. Hal ini sejalan dengan pandangan Roman Ingarden tentang “konkretisasi karya seni”—pembaca membentuk pengalaman estetik berdasarkan isyarat dalam teks. Jika diksi tidak konsisten, proses “konkretisasi” terganggu, dan sensasi yang diharapkan gagal menyerlah dan menjadi kabur. Oleh itu, kesejajaran diksi menjadi syarat penting dalam penciptaan sajak yang ingin meninggalkan kesan mendalam kepada pembaca.

Prinsip dualisme turut memainkan peranan dalam mencipta sensasi. Dalam kehidupan kita sendiri, dapat ditemukan hal pertembungan antara akal dengan emosi, realiti dengan imaginasi, logik dengan absurditi. Hegel melalui dialektiknya menekankan bahawa kebenaran lahir daripada pertembungan dua sisi yang bertentangan. Dalam sajak, dialektika ini menjadikan teks kaya dengan makna. Pembaca mengalami ketegangan ketika dua sisi dipertentangkan, kemudian merasai kelegaan apabila kesatuan dicapai. Sensasi yang lahir daripada perjalanan dialektik inilah; akan menjadi titik perjalanan yang mencabar tetapi memberi pencerahan dalam pencarian makna kepada pembaca.

Refleksi pula membantu dalam memperdalam pengalaman ini. Hans-Georg Gadamer dalam hermeneutikanya menekankan bahawa seni ialah dialog antara teks dengan pembaca. Sajak yang baik menyediakan ruang refleksi, memungkinkan pembaca menyoal dan mentafsir pengalaman mereka sendiri. Refleksi menjadikan sajak lebih daripada sekadar deskripsi, iaitu mencakupi proses penghayatan makna. Apakah yang membezakan sajak yang ditulis dengan baik? Tentu sekali kerana keupayaannya untuk mengajak pembaca berfikir semula tentang kehidupan, nilai dan makna kewujudan.

Lapisan makna dalam sajak menambahkan lagi kerumitan sensasi. Wolfgang Iser dalam estetika resepsi menegaskan bahawa karya sastera sentiasa mempunyai “ruang kosong” yang perlu diisi oleh pembaca. Dua linear pengucapan—yang terdiri daripada makna permukaan dan makna kedalaman—memberi ruang kefahaman kepada khalayak yang berbeza.

Pembaca awam mungkin berhenti pada makna literal, tetapi pembaca yang tekun akan mengisi ruang kosong itu dengan tafsiran yang lebih mendalam. Sensasi lahir daripada interaksi ini, kerana sajak menjadi pengalaman yang sentiasa baharu setiap kali dibaca semula.

Dalam struktur keseluruhan, titik getar ialah nadi utama dalam pengucapan sajak yang berkesan. Aristotle menyebut katarsis sebagai pelepasan emosi melalui tragedi. Dalam sajak, titik getar berfungsi sebagai saat katarsis; iaitu detik apabila emosi mencapai puncak dan menggoncang jiwa pembaca. Titik getar ini mungkin hadir sebagai metafora tajam, imej mengejutkan, atau larik yang memberi jeda kepada pembaca untuk menyelesaikan makna yang diolah oleh fikiran. Tanpa titik getar, sajak akan terasa datar; dengannya pula, sajak menjadi pengalaman yang menggetarkan. Tidak terlalu berlebihan kalau saya katakan, di sinilah cinta pandang pertama berlaku ke atas teks tersebut.

Kehadiran sensasi juga diperluas melalui pencelahan dimensi. Bakhtin dengan konsep “heteroglossia” menjelaskan bahawa teks boleh memuatkan pelbagai suara dan masa sekali gus. Dalam sajak, pencelahan dimensi membuka ruang transendensi. Masa lalu dan masa depan disatukan, begitu juga dengan dunia nyata dan dunia metafizik yang digabungkan. Apabila pembaca merasakan mereka melintasi sempadan ruang dan masa, sensasi yang lahir ialah keterhubungan kosmik yang jarang-jarang dapat dicapai oleh bentuk tulisan lain.

Nilai pula menentukan martabat sebuah sajak. Teori strukturalisme genetik Lucien Goldmann menekankan bahawa karya sastera mencerminkan nilai kolektif masyarakat. Sajak tidak pernah kosong. Sajak mengangkat hierarki makna yang penting bagi penyair dan zaman mereka. Sama ada nilai cinta, kemanusiaan, kebebasan, atau moral, apabila diangkat dengan nilai kejujuran, maka penyair akan menghasilkan sajak yang bukan sekadar indah, tetapi juga bermakna. Nilai memberikan arah serta konteks cerita, dan memastikan sajak tidak terperangkap sebagai permainan bahasa kosong.

Proses penulisan yang sabar melengkapi semua ini. Teori proses kreatif Graham Wallas mengemukakan empat tahap, iaitu persiapan, inkubasi, iluminasi, dan verifikasi. Menulis sajak mengikuti logik yang sama. Draf pertama hanyalah tahap persiapan; selalunya kasar dan belum sempurna. Melalui pengulangan dan penyempurnaan, penyair memperhalus diksi, menajamkan metafora, dan mengukuhkan struktur. Cetusan sensasi jarang-jarang hadir pada cubaan pertama; sebaliknya lahir daripada disiplin menggilap dan keberanian memadam apa-apa yang lemah.

Jiwa penyair ialah apa-apa yang menjadikan permainan kata jadi bermakna …

Akhirnya, semua ini kembali kepada jiwa penyair. Jacques Lacan pernah menyebut bahawa bahasa ialah “keinginan yang berstruktur”. Sajak yang elok lahir daripada kejujuran jiwa, bukan sekadar kemahiran teknikal. Menulis dengan jiwa bermakna membiarkan roh dan rasa mengalir tanpa topeng. Teknik boleh diajar, struktur juga boleh ditiru; tetapi keikhlasan tidak dapat dipalsukan.

Jiwa penyair ialah apa-apa yang menjadikan permainan kata jadi bermakna, dan sensasi tertinggi hadir apabila pembaca merasakan roh itu menembusi teks lalu menyentuh hati mereka secara mendalam.

Mengenali sensasi dalam sajak bererti memahami bahawa sajak ialah seni kata yang berakar pada seni rasa. Hal ini lahir daripada gabungan imaginasi yang melampaui batas, logika yang menyusun makna, absurditi yang memberi kejutan, bahasa yang indah tetapi mudah, refleksi yang mendalam, nilai yang jelas, proses yang sabar, serta jiwa yang ikhlas. Semua unsur ini membentuk jaringan halus yang menjadikan sajak bukan sahaja indah ketika dibaca, tetapi juga abadi dalam pengalaman manusia.

Sensasi dalam sajak terhasil daripada kesedaran, disiplin dan keberanian penyair untuk menggali sedalam mungkin pengalaman hidup lalu menyampaikannya dengan bahasa yang bermakna. Kehadiran sensasi dalam penciptaan sajak memungkinkan penyair meninggalkan kelesuan pengucapan dan mencipta frasa-frasa segar dengan puitika yang lebih dinamik dan keterampilan lebih menarik.

Sudah tentu tujuan akhirnya adalah untuk menghadirkan sensasi dan makna dalam pembacaan khalayak. Bukankah sia-sia sahaja usaha pemurnian kata andai pembaca gagal menanggap makna?

_________________________

Hidayyah AT Mizi ialah penulis dari Perak. Beliau banyak menyumbangkan puisinya di beberapa media massa. Kata-kata yang Muncul di Cermin (Kata-Pilar, 2021) merupakan kumpulan puisi sulungnya. Kumpulan puisi beliau, Dendam Perempuan Api kepada Bara (Kata-Pilar, 2025) berjaya mencapai Finalis Hadiah Puisi T. Alias Taib II 2025.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi