Oleh Jack Malik
Diterbitkan pada 8 Julai 2025, 19:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mungkinkah perbicaraan sastera (dalam hal ini, puisi) kita bersifat ingatan berpilih? Inilah yang dibangkitkan oleh Jack Malik.

Saya lebih tertumpu tentang bagaimana sastera Malaysia seakan-akan ada ingatan berpilih, atau sebenarnya memang wujud pengkarya yang muncul terlalu awal untuk zaman mereka.

Bak kata anak muda kala kini, perkataan “selek” merupakan slanga yang berakar daripada perkataan bahasa Inggeris select, yang bermaksud semacam “pilih bulu”, “pilih kasih” atau “selektif”. Begitulah ranah sastera tanah air kita (bahkan, mungkin di mana-mana juga).

“Pilih bulu” atau “selek” ini saya tidak mahu sentuh tentang isu kelompok, politik atau individu, tetapi lebih tertumpu tentang bagaimana sastera Malaysia seakan-akan ada ingatan berpilih (selective memory), atau sebenarnya memang wujud pengkarya yang muncul terlalu awal untuk zaman mereka.

Boleh jadi juga pembaca, penulis dan pengkaji berkembang selari dengan pendedahan dan peredaran zaman.

Dalam buku Orang Bertiga, dinyatakan terdapat dua pihak: penyokong (Noor S.I., A.S. Amin, M. Ghazali, A. Shukur Harun, Hassan Ahmad, A. Samad Said, Simposia, Darus Usma, dan Sahmad Malaya) dan penentang (Kassim Ahmad, Suhaimi Haji Muhammad dan M. Zain Salleh). Di satu pihak mengatakan sajak “jika senang difahami, bukanlah sajak namanya, tetapi ialah statement” manakala di satu pihak lagi, “sajak kabur boleh menghilangkan minat masyarakat kepada sajak.”

Sejauh manakah benar kedua-dua hujah di atas?

Usman Awang dan Ismail Ahmad pula membincangkan dengan cukup ringkas tetapi tepat mengenai sajak kabur dalam antologi puisi Titian Zaman yang diselenggarakan bersama:

Sebenarnya [Noor S.I., A.S. Amin dan M. Ghazali] masih mengucapkan tema yang diucapkan penyair-penyair lain seperti soal kemiskinan, penderitaan, perjuangan kemerdekaan, perdamaian dan lain-lain. Tetapi imej dan lambang yang agak ‘aneh’ yang digunakan oleh mereka menyebabkan pembaca cepat merasakan begitu sukar untuk memahaminya. Tanggapan “aneh” ini sebahagian besarnya disebabkan pembaca puisi selama ini sudah dibiasakan dengan imej dan lambang yang sudah umum diterima dan difahami.

Sudah pasti setiap kritikan mempunyai pangkal fikir dan hujahnya yang tersendiri, apatah lagi jika kedua-dua itu turut terikat dengan zamannya. Mengapa pentingnya untuk kita menilai semula sejarah dan pada masa sama memahami apakah konteks pada waktu itu adalah untuk kita tidak mengulangi sebarang kesilapan yang pernah terjadi, serta mengikuti apakah yang sudah dijadikan sebagai sesuatu tapak.

Ketaksaan Seterusnya

Sebagai penafian, apa yang saya lihat ini lebih kepada penyilangan daripada perbandingan. Ternyata untuk membandingkan A.S. Amin, Suhaimi Haji Muhammad dan Latiff Mohidin tidak wajar—bahkan ada yang menganggapnya sebagai penghinaan atau merepek. Justeru, saya ingin tegaskan usaha berikut merupakan suatu penghubungkaitan, bukannya penyamarataan.

Antara sajak yang paling saya gemari daripada ketiga-tiga Penyair Kabur ini ialah sajak yang berjudul “Gadis Kecil Bermain Api” oleh A.S. Amin:

……….Gadis kecil berdiri
……….nakal penuh di benak
……….suka pada merah
……….berani pada api.

……….Menyala di bumi
……….menyala di hati.

……….Kecil-kecil begini
……….berselimpang keris di bumi
……….gadis kecil berdiri
……….gadis kecil bermain api.

Bacaan awal saya hingga hari ini masih sama: sajak tersebut ialah sebuah sajak patriotik. Mungkin baris “berselimpang keris di bumi” merupakan pengucapan yang boleh dianggap sebagai “aneh” pada zamannya. Walau bagaimanapun, tidak ada apa-apa yang kabur sebenarnya dalam imej tersebut. “Bumi” yang dimaksudkan boleh sahaja merujuk putera-puteri pertiwi yang bersiap siaga melindungi nusa dan bangsa dengan siap bersenjata. Lambang lain seperti ‘api’, ‘merah’ dan ‘berdiri’ turut dikaitkan dengan semangat kepahlawanan dan keberanian.

Seterusnya, kita lihat pula petikan sajak “Awan” oleh Suhaimi Haji Muhammad dalam kumpulan puisinya paling saya gemari, Alam Anggur:

Demi memberi faedah kesangsian (benefit of doubt) terhadap Suhaimi Haji Muhammad, Alam Anggur diterbitkan pada tahun 1988 dan kritikan beliau terhadap Penyair Kabur adalah pada tahun 1959. Dalam tempoh dua dasawarsa, pasti pandang sarwa sedikit sebanyak berubah. Namun begitu, saya beranggapan yang sajak “Awan” lebih kabur atau taksa daripada “Gadis Kecil Bermain Api”. Baris “sepotong awan/menyusup ke dalam perbukitan/mereka meneguk bintang” melambangkan kepada siapa, mana dan apa?

Bagaimana pula dengan kemunculan Latiff Mohidin bersama-sama salah satu sajak paling masyhurnya, “Sungai Mekong” yang berkongsi judul sama dengan kumpulan puisi pertamanya:

……….Sungai Mekong
……….kupilih namamu
……….kerana aku begitu sepi
……….kan kubenamkan dadaku
……….ke dasarmu
……….kakikananku ke bulan
……….kakikiriku ke matari
……….kan kuhanyutkan hatiku
……….ke kalimu
……….namaku ke muara
……….suaraku ke gunung.

Dari segi pengucapan, “Sungai Mekong” lebih bergaya daripada dua sajak sebelum ini. Namun begitu, bukankah “kan kubenamkan dadaku/ke dasarmu/kakikananku ke bulan/kakikiriku ke matari” turut mencabar daya pemahaman para pembaca?

Soalan saya: mengapa Latiff Mohidin dan Suhaimi Haji Muhammad tidak dianggap sealiran dengan Penyair Kabur? Adakah “Orang Bertiga” dilabel sebagai “kabur” kerana mendahului zaman mereka? Adakah sajak Latiff mudah difahami, sajak Suhaimi lebih mempertimbangkan masyarakat dan bangsa daripada Noor S.I., A.S. Amin dan M. Ghazali? Atau istilah atau label “kabur” itu sendiri yang bermasalah?

Jawapan paling mudah dan terdekat yang saya boleh temui berada dalam Titian Zaman yang menerangkan bahawa “[t]ahun tujuh puluhan adalah tahun penyair berhadapan dengan audiens pembaca yang lebih kritis, lebih sophisticated” dan ternyata kita juga berhadapan dengan penyair yang sama berwibawa dan sophisticated seperti Latiff Mohidin dan lain-lain.

Walau bagaimanapun, saya masih menggaru kepala memikirkan ada kala seakan-akan wujud sikap yang saya nyatakan sebelum ini dalam medan sastera Malaysia. Ada kalanya hal ini menghairankan.

Siapa Lebih?

Demikianlah betapa pentingnya untuk kita selami kembali sejarah dan menjambatani semula titian zaman dunia persajakan tanah air: bukan untuk melihat masa lampau dengan mata yang menghukum, sebaliknya memandang masa depan dengan mata yang lebih jauhari, jujur dan jernih.

Di satu sudut, saya percaya ketekalan dalam kritikan perlu ada. Make it make sense atau maksudnya: “jadikan hal itu masuk akal”. Tidak munasabah untuk kita menolak suatu perkara tapi pada masa sama menerima suatu yang lain, walhal kedua-duanya (sebenarnya) berada di lingkungan sama—hanya titik atau kutubnya sahaja yang berbeza. Dan, kalau bukan dalam lingkungan atau liga serupa sekalipun, tidak asing jika diletakkan sebelah-menyebelah. Dari satu sudut lagi, saya percaya ada bagusnya juga kelenturan yang membolehkan kita tidak terperangkap dalam kekakuan dan kebekuan dogma.

Wan Nor Azriq dalam blognya menulis bahawa “label ‘kabur’ yang dikenakan pada A. S. Amin dan dua orang rakannya ialah antara tragedi paling besar dalam sastera negara kita.” Hal ini mengingatkan bagaimana Mark Ford, penyelenggara buku New York Poets: An Anthology, menerangkan bahawa “label [Sekolah Pemuisi New York]… sekali gus berguna dan tidak padan” untuk membincangkan kumpulan tersebut dan Jonathan C. Creasy, penyelenggara buku Black Mountain Poems: An Anthology, turut menyatakan “grouping writers into ‘schools’ has always been problematic.

Barangkali label memudahkan kerja pendokumentasian dan pengajian, tetapi tidak semestinya bagus untuk kesenian oleh sebab sifat pembatasannya—melainkan kita melihat label dalam kerangka tersilang (intersectional) atau pelabelan pada permukaannya, seperti membezakan antara gula dengan garam.

Dalam hal “Orang Bertiga”, label “kabur” mungkin “berguna” dari segi pengumpulan, namun boleh jadi juga menjurus kepada tragedi kerana “ketidakpadanan” label itu sendiri yang disalahertikan (sama ada dari segi pemahaman maksud “kabur” atau puisi yang mereka hasilkan itu sendiri).

Demikianlah betapa pentingnya untuk kita selami kembali sejarah dan menjambatani semula titian zaman dunia persajakan tanah air: bukan untuk melihat masa lampau dengan mata yang menghukum, sebaliknya memandang masa depan dengan mata yang lebih jauhari, jujur dan jernih.

Sastera di Malaysia akan kekal “selek” selagi kita tidak menginsafi apa yang sudah berlaku. Lebih parah, sastera negara ini akan menjadi sastera “dulang paku serpih” atau “periuk belanga hitam”.

_________________________

Jack Malik merupakan seorang penyajak dari Ipoh. Karyanya pernah tersiar dalam Mekong Review, Dewan Sastera, Selangorkini, dan halaman Tukang Puisi. Jack juga sebahagian daripada kolektif seniman Projek Rabak. Beliau mempunyai dua kumpulan puisi, iaitu Wannabe Sasau dan Sajakjakja(c)k. Jack juga merupakan salah seorang penerima anugerah Hadiah Sastera Selangor 2020 bagi kategori sajak eceran.

Kredit Foto: Europena/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi