Diterbitkan pada 8 Julai 2025, 07:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Doa dalam Roh Bernyawa
(Untuk Mensyukuri Hari Jadi Dewan Bahasa dan Pustaka)

Pernah kita berpegangan tangan menganyam roh di tengah-tengah ribut perjuangan untuk mematrikan nama Melayu pada setiap butir kerikil di dada watan yang baru saja diberi nyawa yang pernah hampir terentap identiti oleh para penguasa luar, dekat dan jauh …

…..ahhh…kita hampir mati.

Kita sama-sama menepis kabus hitam untuk mengutip permata sastera Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Raja Ali Haji, Abdullah Munshi, dan Abdul Rahim Kajai ke dalam kotak pusaka yang sama-sama kita adunkan. untuk ditatahkan ke singgahsana …

Ahh .. rupanya keringatku adalah rindu

Rindu terus menyimpul roh Syed Sheikh al-Hadi, Ahmad Rashid Talu dan Abdul Rahim Kajai untuk terus abadi melipat sirih dalam doa kasih budi.

ahh ..rupanya limpahan rindu tiada tepi

Kau mahu kami berdiri tegak melontarkan suara menggegar buana, bahawa Melayu ada maruah ada kebijaksanaannya dalam gurindam, syair, pantun, seloka, talibun, mantera dan sajak, dan kita bina sumpah bahawa Melayu tidak akan hilang di dunia.

Jangan kau Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi kecil di tepi putaran alam kosong, dalam rendah diri akibat ombak besar tinggi yang entah dari mana asal usulnya.

Genggam eratlah pegangan ini supaya tidak terlepas lagi dan kita terus bersama melonjak Bahasa dan Bangsa menjadi lagu penyatu bangsa-bangsa yang tidak berwarna …

Ahh…tidak mengapa, kita tetap bersama.

Asiah Sarji
Bandar Baru Bangi
24hb Jun 2025

Kredit Foto: Dewan Bahasa dan Pustaka
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi