Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengarang dan cendekiawan terkemuka Kenya, Ngũgĩ wa Thiong’o, meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Berita duka itu disampaikan oleh anak perempuannya, Wanjiku wa Ngugi menerusi laman Facebook, yang menuliskan,”Dengan hati yang berat, kami mengumumkan pemergian ayah kami, Ngũgĩ wa Thiong’o, pada pagi Rabu ini”.
Dilahirkan pada 5 Januari 1938 di Limuru, Kenya, Ngũgĩ memulakan kerjayanya sebagai penulis dalam bahasa Inggeris.
Namun begitu, selepas dipenjarakan pada tahun 1977 akibat pementasan drama Ngaahika Ndeenda yang dianggap sebagai kritikan terhadap masyarakat Kenya pascakolonial, beliau beralih menulis dalam bahasa ibundanya, Gikuyu.
Tindakan Ngũgĩ itu dilihat sebagai simbol terpenting dalam perjuangan identiti di Afrika era pascakolonial.
Ngũgĩ dikenali dengan naskhah, antaranya termasuklah Weep Not, Child (1964), Petals of Blood (1977) dan Devil on the Cross (1980).
Novelnya, A Grain of Wheat, pernah diterjemahkan dalam bahasa Melayu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Sebutir Gandum (1995).
Karyanya juga banyak dibicarakan oleh sarjana Malaysia, malah pernah dibincangkan dalam majalah Dewan Sastera.
Beliau juga dikenali melalui esei berpengaruh seperti Decolonizing the Mind, yang mengupas tentang peranan bahasa dalam pembentukan budaya dan identiti nasional.
Sepanjang hayatnya, Ngũgĩ berjuang menentang penjajahan dan penindasan, serta memperjuangkan hak budaya dan bahasa peribumi Afrika.
Beliau pernah dipenjarakan, diasingkan dan berdepan dengan pelbagai ancaman sepanjang kerjayanya.
Walaupun menghadapi pelbagai cabaran, semangatnya untuk menulis dan memperjuangkan keadilan tetap utuh.
Beliau meninggalkan seorang isteri, Njeeri, dan sembilan orang anak, empat daripadanya juga merupakan penulis.