Diterbitkan pada 6 Mei 2025, 13:16

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shamsul Azri Mohd Radzi mengulas tentang novel mutakhir penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022 Osman Ayob, Beralih Sebuah Piama dalam lapisan politik pada era luar bandar Malaysia sedang menerima pembangunan dan pemodenan.

Novel ini meletakkan sastera sebagai medan wacana kritikal tentang siapa yang berkuasa, bagaimana kuasa itu ditampilkan, dan siapa yang bakal menjadi korban dalam proses ‘pemodenan’ luar bandar yang kelihatan progresif di permukaan, tetapi penuh gelora di dasar.

Dalam sejarah kesusasteraan tanah air, karya sastera sering kali menjadi cermin yang memantulkan realiti sosial dan politik sesebuah masyarakat. Beralih Sebuah Piama karya Osman Ayob bukan sekadar sebuah kisah kampung tentang tali air dan sawah padi. Novel ini merupakan naskhah yang menyembunyikan lapisan makna politik yang mendalam. Ditulis dengan penuh ketelitian, naratif ini memperlihatkan bagaimana kuasa dan pengaruh negara meresap masuk ke ruang peribadi rakyat jelata—bukan sahaja melalui dasar atau pentadbiran, tetapi juga melalui hal yang boleh dikenali sebagai politik penampilan.

Politik penampilan merujuk cara kuasa dimanifestasikan melalui simbol luaran—daripada jentera pengorek sawah, pentas ceramah, sehinggalah kepada identiti keagamaan dan gaya berpakaian watak-wataknya. Dalam konteks masyarakat desa pascakolonial Malaysia, penampilan ini bukan sekadar kosmetik, tetapi membawa makna kuasa, ketundukan dan penentangan terhadap projek pembangunan yang sering disusun dari atas ke bawah. Justeru, novel ini meletakkan sastera sebagai medan wacana kritikal tentang siapa yang berkuasa, bagaimana kuasa itu ditampilkan, dan siapa yang bakal menjadi korban dalam proses “pemodenan” luar bandar yang kelihatan progresif di permukaan, tetapi penuh gelora di dasar.

Tali Air sebagai Metafora Kuasa Negara dan Projek Modenisasi

Di permukaan, projek tali air dalam Beralih Sebuah Piama kelihatan seperti satu inisiatif pembangunan biasa—langkah kerajaan untuk meningkatkan hasil padi dan mengurangkan pergantungan pada beras import. Namun begitu, di sebalik deruman jentera dan tanah yang dibongkar, tersembunyi maksud yang jauh lebih dalam. Projek ini sebenarnya menjadi metafora pada kemasukan kuasa negara ke dalam ruang hidup petani, menjelmakan kuasa itu secara fizikal di atas tanah-tanah yang selama ini diwarisi secara turun-temurun.

Watak seperti Endut, Lebai Mat dan Long Pendekar masing-masing mewakili reaksi yang berbeza terhadap kehadiran kuasa negara ini. Ada yang mempersoalkan, ada yang menyokong membuta tuli, dan ada pula yang memilih untuk mendengar sebelum membuat keputusan. Akan tetapi, semua mereka tidak boleh lari daripada hakikat bahawa sawah kini bukan lagi milik mutlak petani; petak sawah sudah menjadi tapak pergelutan ideologi pembangunan. Kehadiran tali air mengubah geografi fizikal, tetapi juga geografi kuasa dalam komuniti desa.

Dalam konteks pascakolonial Malaysia, projek tali air ini mencerminkan bagaimana negara yang pernah dijajah kini cuba menegaskan legitimasi dan keupayaannya melalui dasar pembangunan. Namun ironi berlaku—dalam usaha membina kemajuan, negara pascakolonial juga mewarisi sifat kolonial: memaksa perubahan dari atas, tanpa sepenuhnya memahami jiwa tanah dan manusia yang bakal diubahnya. Maka, tali air bukan sekadar aliran air; tali air ialah aliran kuasa—yang membawa janji, tetapi juga kerosakan.

Perwatakan dan Politik Identiti: Siapa Berpihak kepada Siapa?

Watak-watak dalam Beralih Sebuah Piama bukan sekadar pelengkap naratif; mereka ialah wajah-wajah realisme politik desa yang sarat dengan pertentangan ideologi, emosi dan warisan. Mereka tidak statik—sebaliknya, setiap watak mewakili posisi politik yang lahir daripada pengalaman hidup dan nilai yang dipegang.

Watak seperti Lebai Mat bukan hanya “alim kampung”, tetapi simbol pada suara konservatif-Islamis, yang memperjuangkan sistem pemerintahan berteraskan agama, menentang keras pembangunan yang dianggap sebagai menyalahi hukum alam dan mengabaikan roh tanah. Bagi beliau, tanah bukan sekadar ekonomi—ia ialah warisan, maruah dan juga amanah spiritual.

Bertentangan dengan itu, Long Pendekar pula menjadi bayangan pada politik pembangunan gaya kerajaan sedia ada. Retoriknya tenang, rasional dan pragmatik. Baginya, perubahan ialah harga kemajuan, dan tali air ialah simbol masa depan yang lebih makmur. Dalam penampilan dan ucapannya, Long Pendekar menggambarkan politik penyatuan, kestabilan dan kelangsungan kuasa negara—meskipun kadangkala dibayangi semangat autoritarian dan penolakan terhadap keraguan dari bawah.

Osman Ayob

Namun yang paling menarik ialah Endut, watak yang berada di tengah—diam, mendengar, tidak tergesa-gesa dalam membuat keputusan. Sikapnya yang moderat menjadikannya cerminan rakyat luar bandar yang rasional tetapi tertekan, yang tahu bahawa projek pembangunan mungkin membawa manfaat, namun tidak pasti siapa yang bakal mengaut keuntungan sebenar. Endut mewakili politik keliru, politik menunggu, tetapi juga politik harapan.

Watak-watak ini tidak beroperasi dalam ruang kosong. Mereka bergerak dalam struktur sosial yang saling bersilang antara agama, kelas dengan kuasa. Penampilan mereka—daripada cara bercakap, berpakai, sehingga kepada kedudukan dalam komuniti—menjadi tanda siapa menyokong siapa. Di sinilah sastera Osman Ayob bersinar, kerana beliau menulis manusia politik dalam bentuk yang sangat hidup—penuh konflik, tetapi sangat dekat di hati pembaca.

Politik Wacana dan Bahasa: Siapa Mengawal Naratif?

Dalam usaha membina kemajuan, negara pascakolonial juga mewarisi sifat kolonial …

Dalam Beralih Sebuah Piama, pertarungan ideologi antara dua pihak bukan hanya berlaku di petak sawah atau ruang mesyuarat ketua kampung—pertarungan juga berlaku dalam wacana dan bahasa. Novel ini memperlihatkan cara kuasa cuba ditegakkan bukan dengan kekerasan fizikal, tetapi dengan naratif: melalui ceramah politik, ucapan rasmi, perbualan warung, bahkan jenaka sinis yang terselit dalam gurauan watak seperti Bakar Alur. Di sinilah kita melihat politik sebagai pertarungan siapa yang mampu mengawal cerita.

Ceramah parti PSM penuh emosi, retorik agama dan sentimen nostalgia terhadap cara hidup lama. Bahasa mereka padat dengan istilah spiritual—roh tanah, hukum alam, bala Tuhan—yang memberi legitimasi moral kepada penentangan mereka. Di sisi lain, penceramah Pertiwi hadir dengan bahasa pembangunan: faedah jangka panjang, daya saing negara, pertanian moden, dan keberhasilan ekonomi. Bahasa mereka teknokratik, penuh data dan keyakinan pada sistem.

Namun begitu, watak kampung yang mendengar berada di antara dua dunia: satu dunia bahasa yang menggerakkan perasaan, satu lagi dunia yang menjanjikan logik kemajuan. Justeru, siapa yang berjaya menguasai naratif—dialah yang menang dalam gelanggang politik desa.

Dalam masyarakat pascakolonial seperti Malaysia, bahasa bukan sekadar alat komunikasi, tetapi menjadi medan kuasa. Menguasai wacana bererti menguasai tafsiran tentang apa itu kebenaran, keperluan dan masa depan. Osman Ayob dengan cermat menangkap realiti ini, menjadikan Beralih Sebuah Piama sebuah wacana tentang siapa yang dibenarkan bersuara dan siapa yang ditelan oleh gema pembangunan.

Antara Penampilan dengan Kenyataan – Politik yang Terus Menjelma

Beralih Sebuah Piama memperlihatkan kepada kita bahawa politik bukan hanya berlaku di Parlimen atau dalam manifesto parti—politik menjelma dalam bentuk halus, dalam percakapan jiran, dalam cara kita melihat tanah, dan dalam bagaimana kita memahami perubahan. Osman Ayob menulis bukan semata-mata tentang tali air, tetapi tentang bagaimana kuasa berupaya menukar wajah desa dan jiwa manusia.

Konsep “politik penampilan” dalam novel ini mendedahkan bagaimana simbol seperti jentera, mesyuarat kampung, pakaian, malah cara bercakap, menjadi tanda-tanda pada kuasa yang sedang bertembung. Dan yang lebih tragis, rakyat desa sering menjadi penonton dan mangsa dalam pertarungan ini—diundang menyokong, tetapi jarang-jarang diberi ruang menentukan.

Dalam dunia pascakolonial, apabila pembangunan sering dijual sebagai kemajuan, Beralih Sebuah Piama mengajak kita bertanya semula: apakah makna kemajuan jika kemajuan menelan akar, budaya dan suara orang kecil? Dalam kesenyapan pelenggar rumah dan dalam desir angin timur, politik terus bernafas—tak terlihat, tetapi tetap terasa.

Novel Beralih Sebuah Piama boleh dibeli di sini.

_________________________

Shamsul Azri Mohd Radzi ialah penyelidik falsafah politik di Universiti Sains Malaysia yang kini sedang mengikuti pengajian Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Sains Politik dengan fokus penyelidikan dalam ideologi dan kepimpinan politik.

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi