Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKalau kau belum mati
kelak ini yang akan kausaksi
manusia semakin kalut, sibuk
dunia kalang-kabut, hiruk-pikuk
hidup dengan poster bertempelan
cintailah alam semula jadi, kehijauan
tetapi segala hewan ditangkap
tinggal di dalam zoo yang pengap
pergilah ke sana untuk menjenguk
segala, termasuk beruk
bawalah anak-anak
untuk mengenal, “inilah biawak”
sesuka hati mewarna
cicak kubin, dugong, kerengga
di sana sini
itu industrialisasi, urbanisasi
tidak cukup, semua itu
planet lain, dipunggah besi, batu
tempat tinggalmu, tinggi sekali
mencakar langit
tetapi
tetap bingit
barang pesan di lokasi setempat
akan dihantar dengan dron, cepat
call sahaja, diurus akaun nanti
semudah petik jari
jalan raya berkesiur, lebih sibuk
dengan kenderaan elektrik
pengeksport penting tetap sahaja
china, japan, korea
arab dan rakan-rakan menangis
papa kedana semula, minyak habis
sisa yang ada, sedikit, masih menyala
belum padam, dibom oleh amerika
perang dari abad dulu, saki-baki
nato belum puas hati
alasan lain sebagai lebih benar
petroleum itu, udara cemar
tetapi kata-kata, negara-negara maju
lebih dusta daripada palsu
mereka itu tetap kapitalis
segala untung dikaut, kikis
mencipta perang
segala senjata diperdagang
maka, peperangan
itu perdagangan
jet penggempur daripada plastik
mengelak mati tentera, tinggi statistik
palestin masih kekal di peta
tetapi bagai sebesar butir kacang
itu pun, atas nama
kemanusiaan, selepas seribu perang
para pemimpin turun naik di podium
seribu kecung janji, bertopeng senyum
kau akan saksi,
nanti
tetapi, tidak aku
aku ingin mati lebih dulu
5 Mei 25