Diterbitkan pada 17 April 2025, 09:05

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Angin tidak meraung
matahari tetap naik seperti selalu
namun ada musim dalam diriku
yang gugurnya mustahil berhenti.

Langit tidak menangis
namun dada langitku pecah
oleh mendung tak bernama
tiada ribut, namun
daun-daun jiwaku luruh
pohon kehilangan akar paling tua.

Rumah masih berdiri
terlalu tegak, tapi terlalu sunyi
tiap dinding menahan tangis
enggan jatuh barang setitis
di hadapan tetamu ramai.

Kasut ayah masih di rak, tapi
kulihatnya seperti dua kapal karam
yang tidak akan belayar lagi
ke mana-mana pagi.

Aku duduk di kerusi lama ayah
kerusi itu masih mengingat tubuhnya
kerana kayu pun tahu rindu teman
dan kain pun tahu kehilangan tuan.

Kini, aku hidup dengan jam kehilangan jarum
meneka waktu hanya melalui rasa
bukan lagi angka-angka
yang lazimnya lahir dari suaranya.

Dan suaraku hanya berbunyi air mata
sejadah menjelma genderang basah
tiap titis jatuh, kemboja pun tumbuh
harumnya ayah tahu, inilah bau rindu.

Pinggiran Cherok To’kun Atas

Kredit Foto: Firus Fansuri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi