Diterbitkan pada 27 Mac 2025, 15:20

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kota Bharu – “Buku Pelayaran Qalbu, karya Dato’ Haji A. Aziz Deraman, saya dapati bukan sekadar sebuah puisi panjang, tetapi adalah merupakan pengembaraan rohani yang mendalam melibatkan perjalanan qalbu (hati) yang penuh dengan renungan keagamaan, ketuhanan, kemanusiaan, dan pengajaran hidup yang sangat berharga”, ujar Yang Berhormat Sahibus Samahah Dato’ Kaya Perba, Dato’ Haji Mohammad Shukri Mohammad, Mufti Kerajaan Negeri Kelantan ketika melancarkan karya tersebut.

Beliau yang turut merasmikan program Majlis Pelancaran dan Bicara Buku Pelayaran Qalbu, pada 26 Mac lepas di Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) berkata bahawa apabila membaca puisi ini, maka dapat dirasakan sentuhan mendalam tentang keimanan, fiqah, tasawuf, sirah, munajat dan juga perjuangan bangsa dan kenegaraan.

Setiap bait dan setiap frasa dalam karya ini seakan-akan memberi peringatan bahawa kehidupan ini tidak hanya tentang pencapaian duniawi, tetapi juga tentang memperbaiki diri sebagai hamba Allah SWT yang benar-benar memahami tujuan hidup yang hakiki.

Ujarnya lagi, karya ini boleh dikatakan sebagai sebuah karangan peringatan kepada qalbu untuk melayari kehidupan ini dengan penuh kesedaran, ketakwaan dan akhlak yang mulia.

Buku ini hadir sebagai suatu seruan untuk kembali ke jalan yang benar, mengingati Yang Maha Esa dan tidak melupakan hakikat kehidupan yang sebenar.

Selain itu, kemunculan karya ini juga bukan sahaja dapat meningkatkan penghargaan terhadap sastera Melayu, tetapi juga dapat memberikan peluang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih mendalam tentang peranan kesusasteraan dalam membentuk masyarakat yang berakhlak dan berilmu serta merenung tentang peranan individu dalam membina bangsa dan negara yang bermoral dan bertamadun.

Terdahulu, Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT dalam ucapannya berkata bahawa program ilmu ini mengupas karya Dato’ Haji A. Aziz Deraman secara mendalam dan dalam masa yang sama dapat menyemai minat membaca karya sastera atau puisi khususnya dalam kalangan masyarakat.

Kami berharap peserta dapat mengambil manfaat daripada ilmu atau dapatan yang dikongsi oleh tokoh pembicara yang berpengalaman.

Majlis ini menampilkan dua orang pembicara, iaitu YBrs. Dr. Haji Muhammad Hana Pizi Abdullah, Imam Besar Negeri Kelantan dan Sasterawan Kelantan dan Penerima SEA Write Award 2021, Rosli K Matari. Sesi bicara ini  juga dipengerusikan oleh Ustaz Mohamad Irfan Salleh, Pegawai Penerbitan MAIK.

YBrs. Dr. Haji Muhammad Hana Pizi Abdullah, Imam Besar Negeri Kelantan ketika membicarakan karya tersebut.

Majlis turut dihadiri oleh Dato’ Haji A. Aziz Deraman, penulis yang merupakan Mantan Ketua Pengarah DBP, kini Pengerusi Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan dan Presiden Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), Azizi Abdullah, mewakili pihak pengurusan Sayap Niaga Sdn. Bhd. Cawangan Kota Bharu dan aktivis sastera Kelantan.

Sasterawan Kelantan dan Penerima SEA Write Award 2021, Rosli K Matari ketika membicarakan karya terbaharu Dato’ Haji A. Aziz Deraman.

Majlis diserikan dengan persembahan dendangan syair oleh Fir Khan dan deklamasi sajak daripada naskhah Pelayaran Qalbu oleh Abdul Hadi Yusoff.

Program ini menjadi titik permulaan kepada lebih banyak usaha dalam mendalami dan menghayati karya sastera yang tidak hanya memperkayakan minda tetapi juga memperbaiki qalbu.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi