Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPetaling Jaya – Buku Hamzah Hamdani: 50 Tahun di Dunia Sastera yang merakamkan pengalaman dan harapan Tuan Haji Hamzah Hamdani selaku tokoh sastera yang banyak berbakti dalam perkembangan sastera kebangsaan dilancarkan.
Buku ini diterbitkan sebagai penghormatan kepada sumbangan besar Hamzah Hamdani yang telah mendedikasikan buah fikiran dan usahanya lebih lima dekad terhadap dunia penulisan tanah air.
Buku yang disunting oleh Hamzah sendiri bersama-sama Nurul Nabilah Zainal Abidin turut memuatkan pandangan dan penghargaan daripada pelbagai tokoh sastera serta rakan penulis yang pernah bekerjasama dengannya.
Buku ini dilancarkan secara rasmi sempena Mesyuarat Agung Gabungan Penulis Nasional (GAPENA) ke-53, di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya, pada 7 Disember 2024.
Pelancaran buku tersebut disaksikan oleh barisan kepimpinan GAPENA dan para delegasi badan kerabat GAPENA dari seluruh negara.
Presiden GAPENA, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan dalam ucapan pelancaran menyatakan bahawa buku itu ialah rekod penting yang mendokumentasikan sejarah perkembangan sastera tanah air melalui perspektif seorang tokoh yang sangat berjasa.

“Hamzah Hamdani ialah nama besar yang menjadi inspirasi kepada generasi penulis terutama golongan muda.
“Buku ini bukan sahaja menghimpunkan kisah hidup beliau tetapi juga mencerminkan perkembangan dan cabaran dunia sastera Melayu sepanjang lima dekad terakhir,” kata beliau.
Hamzah Hamdani pula berharap agar penerbitan buku ini dapat memberikan inspirasi kepada generasi muda untuk terus memperjuangkan keindahan bahasa Melayu dan membina kesedaran bahawa sastera ialah nadi budaya bangsa.
“Sebagai penulis, setiap yang ditulis menjadi tanggungjawab kita untuk membentuk negara bangsa yang lebih baik pada masa hadapan,” ujarnya.
Hamzah Hamdani pernah berkhidmat di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bermula pada tahun 1977. Beliau pernah menjadi Pengarah DBP Cawangan Sabah sebelum bersara pada tahun 2005.
Beliau banyak menghasilkan kertas kerja, rencana dan kritikan sastera, selain menjadi panel hakim dan penasihat dalam pelbagai sayembara, anugerah dan jawatankuasa sastera.
Mesyuarat Agung GAPENA ke-53 ini menyaksikan pemilihan Ahli Jawatankuasa untuk sesi 2025/2026.
Sekali lagi, Datuk Haji Zainal Abidin Datuk Wira Haji Borhan mendapat mandat untuk meneruskan pentadbiran.
Buku Hamzah Hamdani: 50 Tahun di Dunia Sastera, kini boleh didapati di pasaran melalui GAPENA.