Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pengumuman pemenang Sayembara Penulisan Puisi dan Esei bertemakan “Sungai dan Kelestarian Alam Sekitar” anjuran Persatuan Sahabat Sungai Malaysia dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah diumumkan secara langsung menerusi media sosial DBP, pagi tadi.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Presiden Persatuan Sahabat Sungai Malaysia, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi.
Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari yang turut mengikuti majlis tersebut secara dalam talian berkata, isu berkaitan dengan sungai dan alam sekitar yang merupakan isu sejagat dan sentiasa mendapat perhatian masyarakat umum dapat diketengahkan oleh para penulis melalui karya yang dihasilkan menerusi sayembara ini.
Ujar beliau,
Melalui penganjuran sayembara ini, masyarakat juga berpeluang menyampaikan pemikiran dan idea penting bagi menggiatkan kempen kesedaran terhadap sungai dan pelestarian alam sekitar.
Sementara itu, Presiden PENA, YBrs. Dr. Mohamad Saleeh Rahamad menyatakan bahawa sayembara ini telah menerima sejumlah 1105 karya bagi kategori puisi dan 235 karya bagi kategori esei sejak dilancarkan pada 18 April 2024.
Majlis penyampaian hadiah akan diadakan dalam Majlis Kemuncak Puisi Sungai dan Kelestarian Alam Sekitar pada 15 November 2024 di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP.