Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Forum isu cabaran kepengarangan, penterjemahan dan penerbitan antara 27 acara KALAM – Membaur Bahasa Idea, yang akan diadakan sempena program Kreatif KL Festival anjuran Think City.
Festival selama tiga hari bermula 1 – 3 November itu melibatkan beberapa lokasi di tengah Kuala Lumpur yang bakal menampilkan penulis, ahli sejarah serta penggiat budaya daripada pelbagai komuniti untuk meraikan kepelbagaian idea dari rantau Asia Tenggara dan sekitarnya.
Dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan, KALAM berhasrat untuk menjadi usaha pemula kepada penggemblengan idea, penjanaan ekonomi serta pemberdayaan lingkungan dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai titik pertemuan yang penting dan bersejarah — agar terus dikembangkan dan berperanan mencorak masa hadapan.
Selain forum tersebut, sesi perbincangan akan turut diadakan dalam dua sesi utama bagi membicarakan serta menilai semula landskap kesusasteraan nasional yang kebiasaannya kerap berpaksi di ibu kota negara semata-mata, lantas meminggirkan kesusasteraan dari titik garis yang lain, selain meneroka gagasan kepengarangan penulis-penyair muda perempuan kontemporari di Malaysia hari ini.
Bagi mengisi beberapa acara berkaitan dalam program berkenaan, KALAM turut menampilkan beberapa tokoh seni, budaya dan sastera tempatan, juga rantau Asia Tenggara, antaranya termasuk kartunis ikonik Malaysia, Dato’ Lat; pengarang tersohor Indonesia, Goenawan Mohamad; penyair spoken word dalam buangan dari Kemboja, Kosal Khiev; novelis serta wartawan senior dari Filipina, Marga Ortigas; serta penerbit antarabangsa, Minh Bui Jones dan Naveen Kishore.
Festival ini juga akan menganjurkan malam peringatan khas untuk Allahyarham Pyanhabib, tokoh seniman dan penyair Kuala Lumpur yang telah meninggal dunia pada bulan Jun lalu.
