Oleh Osman Ayob
24 Disember 2021, 20:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sambungan Osman Ayob berkongsi pengalaman kreatifnya, khususnya dalam peranan alam terhadap novel sulungnya, Warna Sebuah Lembah. Sesungguhnya, novel ini merupakan antara novel tentang Kuala Lumpur yang penting dan perlu diberikan tumpuan. 

Sekiranya air melimpahi tebing dan membanjiri kampung, suasana menjadi riuh-rendah. Seisi penduduk terpaksa membawa barang-barang rumah naik ke atas tebing hingga ke tepi jalan raya. Keadaan menjadi lebih kelam kabut apabila banjir berlaku pada waktu malam.

Supaya lebih mudah diikuti, elemen alam dalam Warna Sebuah Lembah boleh diatur rinci seperti yang berikut:

Satu: Sungai menjadi elemen penentu dan punca bencana pada Kampung Simpang Batu. Sungai ini mengalir di tepi kampung. Airnya sentiasa deras mengalir walaupun ketika musim kemarau. Di sepanjang tebing sungai, tumbuh pelbagai jenis pokok seperti ketapang dan pokok paku lima. Akibat hakisan, akar pokok menjalar turun ke bawah tebing. Akar pokok ini juga menjadi tandas/tempat bertinggung ketika membuang air besar. Terdapat juga tandas biasa yang dibina ala kadar dengan menggunakan papanlapis dan zink terbuang pelbagai bentuk, bertenggek di tebing, berbau busuk ketika air surut. Ketika hujan lebat dan air melimpahi tebing, ketulan najis terpantul naik ke rumah penduduk. Hal ini menimbulkan suasana yang amat tidak menyenangkan tetapi terpaksa dihadapi oleh penduduk. Sungai dan implikasinya terhadap kehidupan penduduk merupakan fenomena alam yang digambarkan oleh penulis, seperti berikut:

Putaran arusnya berpusar, bergulung-gulung, bercerau-cerau macam membedal sesuatu yang  menghalang perjalanannya. Tanpa melihat dengan mata kepala sendiri pun, masing-masing sudah dapat membayangkan deras arusnya. Dan kejadian sekarang bukan baru sekali dua melanda Kampung Lembah. Banjir semacam ini sudah menjadi rutin sejak perkampungan ini dibuka dulu. Ini bukan bermakna penduduk kampung ini sudah lali dan memandang enteng dengan banjir. Banjir menyusahkan, malah menjadi igauan yang cukup menakutkan semua orang. Lebih-lebih lagi jika banjir berlaku pada waktu malam. Segala-galanya tambah menyulitkan. Suluhan lampu picit, lampu minyak tanah, lilin dan lain-lain menambah kemurungan suasana dan keluh-kesah setiap orang. Pada saat cemas begitu, ada yang tidak tahu ke mana mahu dituju. Tidak tahu barang mana mahu diselamatkan dahulu. Masing-masing bergelut dengan hal sendiri.

(Warna Sebuah Lembah:140–41)

Dalam novel Warna Sebuah Lembah, Kampung Simpang Batu penulis namakan sebagai “Kampung Lembah”. Sebagai sebuah perkampungan setinggan, kedudukan di antara sebuah rumah dengan rumah yang lain tentulah tidak teratur. Bentuknya juga pelbagai rupa dan tidak enak dipandang mata. Terdapat kira-kira 100 buah rumah dan dihuni kira-kira 1000 orang daripada pelbagai lapisan penduduk yang terdiri daripada buruh, peniaga kecil, pemandu teksi, kakitangan kerajaan dan swasta, penganggur, dan lain-lain.

Dua: Banjir ialah bencana alam yang amat tidak disenangi oleh penduduk. Oleh sebab lokasinya di sebuah lembah dan di tepi sungai, setiap kali hujan lebat, pasti sungai yang tohor, airnya melimpahi tebing. Air sungai yang deras selain membawa sampah sarap, reba juga bangkai kembung berulat. Ketika bangkai dibawa arus, baunya mengasak ke hidung penduduk yang berumah beberapa kaki sahaja dari tebing. Sekiranya air melimpahi tebing dan membanjiri kampung, suasana menjadi riuh-rendah. Seisi penduduk terpaksa membawa barang-barang rumah naik ke atas tebing hingga ke tepi jalan raya. Keadaan menjadi lebih kelam kabut apabila banjir berlaku pada waktu malam. Selain tidak dapat tidur, ramai penduduk tidak dapat bekerja keesokannya kerana menjaga dan mengemaskan semula barang setelah banjir surut. Suasana panik ketika banjir dilukiskan oleh penulis dengan gambaran berikut:

Malam pekat mulai hidup. Dalam kegilaan hujan, Safian melihat kegelapan malam sudah menembusi jurai-jurai cahaya lampu suluh dari berbagai arah. ‘Nyatalah, semua orang sudah bersiap-siap,’ fikirnya. Dia mendengar bermacam-macam suara bising dari setiap rumah. Riuh dan kalut sekali. Tidak kurang juga bunyi sesuatu terjatuh ke lantai. Bagaikan ada sesuatu bertaburan. Disusuli pula dengan suara pertengkaran dan rengekan anak kecil.

Safian mengusap rambut Halim. Budak itu yang berpakaian tebal seperti kegelian lalu bergerak memaut lehernya.

“Banjir! Banjirrr!”

Safian terdengar pekikan itu mencecah lebih bergema dari tadi.

“Banjir! Bersiap cepat! Air makin naik!”

Safian terdengar lagi, dari arah lain pula.

“Banjir! Cepat pindah ke tebing jalan!” sahut satu suara lagi, garau memang deru hujan.

(Warna Sebuah Lembah:422–23)

Tiga: Selain air sungai dan banjir sering mengancam kehidupan penduduk Kampung Simpang Batu, air juga keperluan asas yang amat perlu untuk kehidupan baik di mana-mana kita berada. Bagi penduduk kampung itu, mereka hanya dibekalkan dengan sebuah paip awam yang terletak di tengah-tengah kampung, hanya kira-kira lima meter sahaja dari tebing sungai. Terdapat longkang kecil tempat mengalirkan air mandi dan air basuhan ke sungai. Paip awam ini berfungsi dua puluh empat jam sehari. Penulis menggambarkan paip awam ini seperti petikan yang berikut:

Satu-satunya pili awam untuk kegunaan ratusan penduduk kampung dalam lembah di tepi sungai itu, memang setiap hari sebelum subuh sudah dikerumuni orang. Apabila matahari mula menyimbahkan sinarnya ke kampung tersorok itu, kaum perempuan pula berduyun datang memenuhi kawasan pili itu. Semacam sudah lali dengan keadaan, masing-masing tidak malu mandi-manda dan membasuh pakaian dengan berkemban sahaja. Walaupun tidak putus-putus orang lalu-lalang di jalan tidak jauh dari situ, tidak ada perasaan segan dan silu dalam kalangan mereka.

(Warna Sebuah Lembah:11–12)

Selain orang perempuan tidak segan silu menggunakan pili yang sebuah itu, orang lelakinya pula menggunakan sehelai tuala sahaja sebagai kain basahan untuk mandi. Di samping itu, beberapa orang penduduk menggunakan saluran getah untuk menyalurkan air ke rumah. Kesempatan ini ada pada waktu lewat malam, ketika tiada lagi orang menggunakan paip itu. Jika ketika waktu puncak, saluran getah itu pantas ditanggalkan, tetapi tiada pula kedengaran pergaduhan kerana merebut air. Demikianlah “air menjadi sumber alam” yang amat diperlukan oleh manusia demi kelangsungan hidup baik di mana-mana pun manusia berada.

Empat: Selain air, banjir, bau busuk daripada bangkai, dan jamban yang boleh dikaitkan dengan pembentukan elemen alam yang menghidupkan nadi Kampung Simpang Batu, satu lagi gejala yang memerangkap kampung itu, sama ada disedari atau tidak oleh penghuninya ialah pencemaran udara. Daripada ratusan ribu kenderaan yang lalu-lalang di Jalan Kucing dan jalan-jalan yang lain, juga cerobong-cerobong asap yang memuntahkan asap daripada kilang-kilang industri kecil dan sederhana di sekitarnya, secara langsung telah menghasilkan karbon dioksida yang berterusan dan gagal diserap ke dalam udara semula jadi. Gejala ini secara diam-diam dan tersembunyi mengancam kehidupan penduduk Kampung Simpang Batu. Bukan semata-mata atas sebab pembangunan, tetapi juga atas sebab kesihatan dan kelestarian hidup sebuah kota raya. Maka keputusan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk memindahkan penduduk Kampung Lembah ke beberapa buah rumah pangsa di Sentul merupakan satu keputusan yang tepat, walaupun tercetus tentangan dan konflik yang menjadi tema utama dalam novel Warna Sebuah Lembah.

Lima: Dalam kehidupan pada zaman moden ini, satu keperluan asas yang tidak kurang pentingnya ialah bekalan elektrik. Sebagai sebuah kampung setinggan pada ketika itu, Kampung Simpang Batu tidak dibekalkan dengan tenaga elektrik. Tenaga elektrik boleh ditakrifkan sebagai elemen alam yang amat penting dalam kehidupan sebuah bandar raya. Tenaga elektrik selain menjana jentera dan segala peralatan, tenaga elektrik juga merupakan sumber yang menyuluh sebuah bandar raya dengan neon pelbagai warna yang gemerlapan pada malam hari. Tanpa tenaga elektrik, gelaplah segala keghairahan dalam kehidupan malam. Bayangkan Kampung Simpang Batu yang terletak di tengah nadi kota raya, tiada bekalan elektrik? Cahaya lampunya terpaksa diperoleh daripada generator (itu pun orang yang mampu sahaja yang dapat menggunakannya), manakala yang lain terpaksa menggunakan lampu gasolin, lilin dan lampu minyak tanah bagi menerangi ruang rumah masing-masing.

Satu-satunya keluarga yang mempunyai generator elektrik ialah Berahim Kedai. Hal itu pun untuk memudahkan jualan barangan runcit di kedainya yang mempunyai sebuah TV yang dikerumuni penduduk apabila ada siaran langsung perlawanan bola sepak. Hal ini dijelaskan dalam situasi yang berikut:

Bakri tiba-tiba menghentikan ucapannya apabila bunyi sorakan penonton TV di rumah Berahim Kedai  membingit:

“Gol! Gol!”

Tepukan gamat menyusul kemudian. Berselang-seli pula dengan sorakan.

(Warna Sebuah Lembah:272)

Bakri, ketua kampung merangkap Ketua UMNO Kampung Lembah yang bertugas sebagai Inspektor Bas Seri Bumi hanya mampu memiliki lampu gasolin dan hanya digunakan pada ketika tertentu, termasuk mesyuarat. Hal ini diketengahkan seperti petikan yang berikut:

Lampu gasolin yang tersangkut pada alang tengah rumah Bakri bercahaya terang sekali. Semua tingkap dan pintu terbuka lebar. Cahaya daripada lampu yang dikerumuni unggas itu menular keluar menerangi halaman sempit dan rumah-rumah sebelah-menyebelah. Ruang beranda yang terletak di sebelah kanan menghadap jalan juga cerah. Pintu yang memisahkan ruang tengah dengan ruang dengan ruang beranda awal-awal lagi dibuka dan kedua-dua belah daun pintu diselak ke tepi dinding.

(Warna Sebuah Lembah:258–59)

Reaksi

Tujuannya tidak lain, untuk menguji sejauh mana manuskrip ini sanggup dibaca dan dinilai dan bagaimana pula hasilnya oleh barisan penilai yang hebat …

Penulis mengambil masa kira-kira empat tahun untuk menghasilkan novel sulung ini. Pada peringkat permulaan, penulisan novel ini agak lambat dan terbantut oleh beberapa sebab yang tidak dapat dielakkan, termasuk hal peribadi. Kerana manuskripnya ditulis awal, tidak terlintas sama sekali untuk penulis mengemukakan manuskrip novel ini kepada urus setia Sayembara Mengarang Novel Yayasan Sabah-GAPENA ke-IV yang dilancarkan pada tahun 1988. Cuma apabila pengumuman tentang pelancaran hadiah ini dibuat, barulah penulis berusaha dengan lebih keras menyiapkannya untuk menyertai sayembara yang berprestij itu. Tujuannya tidak lain, untuk menguji sejauh mana manuskrip ini sanggup dibaca dan dinilai dan bagaimana pula hasilnya oleh barisan penilai yang hebat, antaranya termasuk Prof. Dr. Mohd Yusof Hasan. Penulis menghantar sendiri manuskrip ini kepada Setiausaha GAPENA, Allahyarham Drs. Yahaya Husin (Jihaty Abadi) yang ketika itu bertugas di Pusat Bahasa, Universiti Malaya.

Pengadilannya mengambil masa hampir setahun. Sebelum menerima surat rasmi, penulis menerima panggilan daripada Allahyarham Drs. Yahaya yang menyatakan manuskrip tersebut memenangi tempat ketiga bersama-sama manuskrip Jaringan karya Rosmini Shaari yang berasal dari Kedah juga. Tiada pemenang pertama, hanya pemenang kedua dengan manuskrip berjudul Empangan, buah tangan Dr. Zakaria Ali dari Universiti Sains Malaysia. Walau bagaimanapun, setelah semua novel tersebut diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), kelahiran Empangan ditolak oleh pengarangnya kerana banyak suntingan telah dibuat sehingga menjejaskan keasliannya. Oleh itu, DBP terpaksa mencetak semula novel tersebut yang kemudian menjadi teks sastera peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Warna Sebuah Lembah diterbitkan oleh DBP pada tahun 1990 dan dicetak ulang pada tahun 2010 dengan beberapa pembaikan. Novel ini mendapat sambutan yang baik. Allahyarham Dr. Othman Puteh dalam kritikannya dalam Dewan Sastera pernah menulis “Warna Sebuah Lembah: Satu Potret Realiti Kreatif”. Beliau memperkatakan novel ini dari aspek gambaran sosial masyarakat setinggan yang mewarnai realiti kehidupan di Kuala Lumpur, lantaran begitu banyak perkampungan setinggan yang memercup tumbuh pada waktu itu. Wujudnya kampung-kampung setinggan memberikan gambaran tentang kepincangan sosial dan ramainya orang dari luar bandar berhijrah mencari penghidupan baharu di Kuala Lumpur. Justeru, kerajaan wajar melakukan sesuatu bagi mengatasi kepincangan yang berlaku.

Tengku Intan Marlina Tengku Mohd Ali (kini Prof. Madya) menjadikan novel ini sebagai kajian bagi memenuhi keperluan Ijazah Sarjana Muda Sastera di Universiti Malaya pada tahun 1994/95. Tesis beliau berjudul “Warna Sebuah Lembah: Satu Kajian Realiti Masyarakat”. Beliau memfokuskan kajiannya tentang pergolakan dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat setinggan, meliputi sosiopolitik, sosioekonomi dan sosiobudaya di kampung tersebut.

Sebenarnya, kajian terhadap novel ini berterusan sehingga kini, terutamanya dalam kalangan pelajar ijazah pertama di beberapa buah universiti. Penulis gembira dengan perkembangan ini dan menggambarkan novel ini terus malar segar apabila persoalan setinggan terus hidup di dalam kota raya Kuala Lumpur dengan konflik semasa yang semakin menekan, sehingga kerajaan telah mengambil langkah melaksanakan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) dan lain-lain.

Demikianlah Warna Sebuah Lembah menghimpunkan segugus kenangan manis yang tidak dapat dilupakan dalam hidup penulis. Hal yang nyata, tidak akan terhasil novel ini jika penulis tidak tinggal di Kampung Simpang Batu dengan elemen alam menjadi faktor utama yang mencetus dan menggerakkan idea dan juga daya imaginasi penulis mengadunkan realiti dan imaginasi yang membawa kepada kelahiran novel ini.

Novel sulung inilah yang menjadi asas yang begitu penting dalam penulisan novel-novel berikutnya. Kini sudah sepuluh buah novel (dewasa) yang penulis hasilkan; Embun di Hujung Daun, Ombak Bukan Penghalang, Empangan Tugal, Lembah Kencana, Dukhan Langit Akhir Zaman, Anak Primadona, CEO Baru, Kugenggam Tanganmu, dan Perca Asmara. Novel-novel ini tidak terpisah daripada adunan latar alam kota dan desa. Semuanya merakamkan pengalaman hidup penulis yang mengalami betapa berbezanya suasana hidup di kota dan di desa. Pengalaman inilah yang memperkaya dan memperkembangkan idea dan imaginasi penulis dalam menghasilkan novel. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat tafsiran dan penilaian berdasarkan persepsi masing-masing.

 

RUJUKAN

Osman Ayob, 1990/2010. Warna Sebuah Lembah. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Othman Puteh. “Warna Sebuah Lembah: Satu Potret Realiti Kreatif” dlm. Dewan Sastera Disember 1992.

Rahimah A. Hamid, 2017. Proses Kreatif Sensitiviti dan Kreativiti Pengarang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahnon Ahmad, 1979. Gubahan Novel. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Shahnon Ahmad, 2008. Weltanschauung. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Tengku Intan Marlina Tengku Ali, 1994/95. “Warna Sebuah Lembah: Satu Kajian Realiti Masyarakat”. Tesis Sarjana Muda, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.

Baca Bahagian Pertama Refleksi |

Peranan Alam Mempengaruhi Penulisan Novel Warna Sebuah Lembah (Bhg. 1)

_________________________

Osman Ayob sudah menghasilkan lebih 166 cerpen. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.