Oleh Osman Ayob
18 Disember 2021, 23:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Osman Ayob berkongsi pengalaman kreatifnya, khususnya dalam peranan alam terhadap novel sulungnya, Warna Sebuah Lembah.

Betapa pedih dengan deritanya hati seseorang pengarang ketika menggarap novelnya, dan hal ini menjadi ‘bahagia’ yang sukar digambarkan apabila pengarang sampai di penghujung dan meletakkan noktah pada ayat terakhir …

Semua karya kreatif, khususnya novel, lahir daripada keprihatinan pengarang dengan persekitarannya. Persekitaran yang dimaksudkan ialah apa-apa yang dialami oleh pengarang melalui pancainderanya; mata yang melihat, telinga yang mendengar, suara yang mencetuskan komunikasi antara pengarang dengan khalayak, di samping pembacaan yang turut  mempengaruhi sensitiviti yang secara langsung membentuk pertautan antara realiti dengan imaginasi yang akhirnya, lahirlah sesebuah karya kreatif.

Novel sebagai karya kreatif lahir daripada daya sensitiviti yang mendalam daripada pengarangnya. Lazimnya, seseorang pengarang yang tersentuh dengan sesuatu peristiwa yang alami, didengar dan dirasainya, mempunyai keinginan untuk merakamkannya dalam bentuk karya yang boleh menjadi dokumentasi yang akan menjadi kenangan dalam hidupnya. Namun begitu, proses untuk melahirkan dokumentasi kreatif itu (dalam hal ini, novel) bukannya mudah. Ada takah-takahnya; peringkat demi peringkat perlu dilalui sebelum terhasil sebuah novel yang baik.

Pada peringkat awal, pengarang perlu menulis sinopsisnya dahulu dengan ringkas dan padat. Sinopsis mengandungi permulaan daripada asas cerita dan persoalan yang kukuh dengan permasalahannya, dan berakhir dengan happy atau unhappy ending. Daripada sinopsis ini, pengarang yang sudah memantapkan keinginan untuk menghasilkan sebuah novel tentu dengan mudah dapat mengembangkan sinopsis itu menjadi lebih luas dan teliti lagi. Dengan itu, timbullah watak dan perwatakannya, konflik yang timbul antara satu watak dengan watak yang lain, berputar daripada satu persoalan cerita yang menjadi tema yang ingin diketengahkan oleh pengarang.

Semua ini mesti bertapak pada satu latar belakang dan persekitaran yang selari dengan alur cerita. Seterusnya, pengarang yang sudah sebati dengan cerita yang mahu ditulis, sering tergganggu fikirannya, sehingga terbawa-bawa ke mana sahaja dia berada, sudah pasti boleh memulakan susunan pecahan bab mengikut plot yang telah ditetapkan. Meskipun ketika dalam proses penulisan, pecahan bab mungkin boleh ditambah dan dikembangkan lagi.

Hal ini merupakan gambaran bahawa pengarang semakin terbuka sensitiviti dan mindanya untuk menggarap persoalan yang ingin diketengahkan dengan lebih mantap lagi. Jika hal ini sudah dicapai, maka pengarang yang setiap ketika bergelumang dan berfikir bersama watak dan perwatakan dalam novelnya, sudah memiliki satu kesungguhan yang  mengingatkan kita kepada kata-kata Sasterawan Negara A. Samad Said yang tepat sekali pengertiannya, “derita dalam bahagia”. Maksud beliau ialah, betapa pedih dengan deritanya hati seseorang pengarang ketika menggarap novelnya, dan hal ini menjadi “bahagia” yang sukar digambarkan apabila pengarang sampai di penghujung dan meletakkan noktah pada ayat terakhir dalam novel yang sudah sekian lama ditulis dengan segala susah payah dan tekanan mental dan perasaannya.

Meskipun terdapat perbezaan menulis sebuah novel dengan sebuah novel yang lain, supaya tulisan ini menjadi lebih fokus, penulis akan memberi tumpuan kepada penulisan novel Warna Sebuah Lembah (DBP, 1990). Keistimewaan yang ada pada novel ini selain ia merupakan novel sulung penulis, yang lebih penting ialah bagaimana novel ini lahir daripada pengalaman penulis yang hidup di sebuah kampung yang dikelilingi sawah padi di Kedah lalu berhijrah dan memulakan penghidupan baharu di Kuala Lumpur, yang bukan sahaja penuh dengan cabaran (juga perbezaan), bukan sahaja dari segi rentak kehidupan tetapi yang lebih penting ialah penulis berhadapan dengan suasana alam, manusia dan masyarakatnya, perangai dan tingkah laku mereka yang complicated akibat daripada cabaran hidup semasa.

Pengalaman dan Dugaan Hidup di Kuala Lumpur

Kampung Simpang Batu terletak dalam sebuah lembah di tepi sungai yang terlindung daripada pandangan orang ramai yang lalu-lalang …

Penulis berhijrah ke Kuala Lumpur setelah mendapat tawaran jawatan Kerani di Ibu Pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Malaysia (JHEOA) Kuala Lumpur. JHEOA terletak di tingkat 11, Wisma Keramat, Jalan Gurney (sekarang Jalan Semarak). Penulis melaporkan diri untuk bertugas pada 1 Mac 1976 dengan tawaran gaji pokok RM180.00 sebulan. Dengan gaji tersebut, cuba bayangkan bagaimana penulis walaupun masih bujang boleh memulakan penghidupan di Kuala Lumpur, sedangkan pada masa itu kos hidup sudah tinggi dan membebankan. Tidak menghairankan jika ketika itu, pertumbuhan kampung-kampung setinggan amat rancak, bukan sahaja di sekitar Kampung Baru, Kampung Datuk Keramat, Jalan Ipoh hingga membawa ke Sentul, Gombak, Batu Cave, dan di merata tempat lagi.

Dengan bantuan bapa saudara penulis yang pernah bekerja di Kuala Lumpur, penulis dibawa menumpang di rumah rakannya yang tinggal di Kampung Simpang Batu; sebuah perkampungan setinggan yang terletak di sebuah lembah tepi sungai yang sentiasa deras airnya, walaupun ketika tiada hujan. Perkampungan ini boleh dimasuki melalui Jalan Ipoh, di celah-celah rumah-rumah orang Cina yang memelihara banyak anjing. Perkara ini belum mengambil kira anjing-anjing liar yang berkeliaran dan berbahaya kepada pejalan kaki, terutamanya pada waktu malam. Laluan itu ialah sebuah titi gantung yang sentiasa teroleng-oleng. Kerana kedudukan titi gantung yang hanya muat seorang untuk lalu di tebing sebelah rumah Cina yang lebih tinggi dari tebing sebelah kampung, ia agak berbahaya dan menjadi kemestian setiap orang untuk berpaut pada tali regang. Akan tetapi, titi itu tetap penting: menjadi laluan penduduk pergi dan balik dari kerja, baik siang mahupun malam.

Satu laluan masuk lagi ialah melalui tepian Bulatan Jalan Kucing yang sentiasa sibuk dengan kenderaan keluar masuk ke Kuala Lumpur dari utara. Di tepi bulatan ini, terdapat tanah lapang yang akhirnya dibangunkan menganjur hingga ke Menara UMNO dan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang terkenal itu. Kini, PWTC telah berubah nama; Pusat Dagangan Dunia. Perlu digambarkan bahawa dari tepi sungai berhampiran Balai Bomba yang masih wujud hingga sekarang, menganjur di atasnya beberapa pokok paku lima yang rendang dan tinggi, tumbuh di atas sebidang tanah datar, di mana sekarang tegak bangunan UMNO yang menjadi kebanggaan orang-orang Melayu.

Kampung Simpang Batu terletak dalam sebuah lembah di tepi sungai yang terlindung daripada pandangan orang ramai yang lalu-lalang, sama ada melalui Bulatan Jalan Kucing atau Jalan Sultan Ismail. Kampung itu terletak betul-betul bertentangan dengan sebuah bukit di seberang sungai yang bercerun curam, tinggi dan semak, di atasnya terletak Sekolah Menengah Seri Puteri yang menghimpunkan ramai pelajar perempuan terpilih dari seluruh negara. Kebanyakan kegiatan luar di sekolah itu, antaranya pasukan pancaragam atau orkestranya ketika berlatih dapat didengar oleh penduduk Kampung Simpang Batu.

Penulis ditumpangkan di rumah seorang buruh bandar raya, rakan bapa saudara yang baik hati. Menyedari pendapatan penulis yang kecil, penulis diterima dengan senang hati dan berharap agar penulis dapat menyesuaikan diri dengan suasana kehidupan di kampung setinggan yang daif dan sesak itu. Bagi penulis, dapat menumpang di rumah buruh tersebut adalah sesuatu yang amat disyukuri.

Buruh tersebut mempunyai dua orang anak kecil dan seorang isteri yang rajin dan tidak banyak kerenah. Sebelum pulang, bapa saudara penulis berpesan supaya penulis dapat bekerja dengan tekun selain dapat merasai kehidupan dalam persekitaran kampung setinggan yang tentu amat berlainan dengan kehidupan kampung di Kedah. Bapa saudara penulis juga berharap, apabila sudah bekerja dan mempunyai ramai kawan, penulis bolehlah mencari tempat tinggal lain yang lebih sesuai dan selesa. Oleh sebab ketika itu masalah dadah tidaklah seteruk sekarang, penulis dapat menikmati kehidupan yang agak tenteram. Hal yang lebih penting, penulis dapat mengutip pengalaman hidup yang amat berharga selama hampir setahun tinggal di kampung tersebut.

Bibit-bibit Lahirnya Idea Menulis Warna Sebuah Lembah

Pada waktu pagi, sama ada bas Sri Jaya mahupun bas mini sentiasa padat dengan penumpang. Pada masa itu, penduduk di sekitar Lembah Keramat sudah ramai berikutan pertumbuhan rumah-rumah baharu dan kilang-kilang perusahaan atau industri ringan yang menganjur hingga ke Hulu Kelang.

Setiap pagi lepas subuh, penulis menggunakan jalan keluar sebelah Bulatan Jalan Kucing. Penulis terpaksa mendaki jalan tanah merah, boleh muat kereta untuk turun dan naik. Jalan itu agak tinggi dan jauhnya hampir 50 meter untuk sampai ke atas jalan yang berhadapan dengan bulatan yang sentiasa sibuk, baik siang mahupun malam.

Dari Bulatan Jalan Kucing, penulis berjalan kaki sahaja ke Chow Kit. Berjalan kaki merupakan “joging” yang biasa bagi penulis. Penulis melintasi sungai dan di tepi tebing sebelah kanan, terletak Balai Bomba, manakala di kiri terletak pintu masuk Sekolah Menengah Seri Puteri yang terkenal itu. Penulis mendapat tahu, isteri Ketua Pengarah JHEOA, Dr. Baharon Azhar Rafie mengajar di sekolah berprestij itu. Ke hadapan lagi, terletak pula Sekolah Menengah Maxwell dan sebuah hotel yang masih wujud hingga sekarang. Terdapat sebuah bulatan di mana bertembung pula Jalan Ipoh yang tidak kurang sibuknya. Bulatan itu tidak wujud lagi setelah dibina jejambat bertingkat sekarang.

Dari bulatan tersebut, penulis berjalan kaki sahaja ke Chow Kit yang jauhnya lebih dari satu kilometer. Di Chow Kit terdapat sebuah lagi bulatan dan tidak jauh dari situ ialah perhentian bas Sri Jaya ke Jalan Gurney dan Keramat. Tambang untuk ke Wisma Keramat ialah 30 sen sahaja, tetapi jika menggunakan bas mini, tambang yang dikenakan ialah 50 sen sehala. Pada waktu pagi, sama ada bas Sri Jaya mahupun bas mini sentiasa padat dengan penumpang. Pada masa itu, penduduk di sekitar Lembah Keramat sudah ramai berikutan pertumbuhan rumah-rumah baharu dan kilang-kilang perusahaan atau industri ringan yang menganjur hingga ke Hulu Kelang.

Wisma Keramat merupakan bangunan yang “hebat” di Kuala Lumpur. Hal ini kerana, di sinilah terletaknya Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan dan Kementerian Kemajuan Tanah. Menteri Kebudayaan Belia dan Sukan ialah Datuk Abdul Samad Idris (Allahyarham), manakala Menteri Kemajuan Tanah ialah Datuk Mohd. Asri Haji Muda (Allahyarham). JHEOA diletakkan di bawah Kementerian Dalam Negeri kerana matlamat utama jabatan ini adalah untuk membawa pembangunan kepada masyarakat orang asli, di samping menyekat pengaruh komunis ke dalam kehidupan mereka.

Penulis dapat bekerja dengan baik dan penuh dedikasi. Bekerja di ibu pejabat JHEOA meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan kerana Ketua Kerani, mendiang S. Thambinathan merupakan seorang “bapa” yang tidak jemu memberi tunjuk ajar dalam pekerjaan, selain memberi galakan bahawa kejayaan dalam hidup boleh disumbangkan oleh peningkatan dalam pelajaran. Justeru, pada tahun 1978, penulis telah lulus sijil penuh STP/HSC yang diambil secara persendirian. Sesuatu yang amat menggembirakan, malah tidak boleh dilupakan ialah nama-nama calon yang lulus STP/HSC disiarkan dalam akhbar Straits Time dan The Star. Apabila penulis meninggalkan JHEOA setelah tiga tahun berkhidmat, ia merupakan kenangan manis yang akan dipaparkan dalam memoir penulis kelak.

Sebelum timbulnya bibit-bibit untuk menulis novel Warna Sebuah Lembah, penulis sudah menghasilkan beberapa buah cerpen yang tersiar dalam akhbar dan majalah tanah air. Cerpen sulung penulis, “Membawa Damai” tersiar dalam akhbar Berita Minggu, 23 Mac, 1975. Sesungguhnya, hidup ini dipenuhi dengan cita-cita dan matlamat untuk peningkatan. Menulis cerpen merupakan permulaan untuk menulis karya yang lebih panjang dan luas skopnya; yakni novel. Jadi novel apa yang mahu ditulis? Jika cerpen-cerpen yang penulis hasilkan dikutip daripada pengalaman dalam hidup seharian, maka bukankah baik dalam novel juga dirakamkan pengalaman hidup yang sedang penulis lalui?

Dalam hubungan ini, penulis akur dengan pengakuan Sasterawan Negara Shahnon Ahmad (2008:148), “selama lebih kurang 10 tahun aku mengarang cerpen, bermula dari awal tahun 1950-an hinggalah sekarang, hanya pada awal tahun 1960-an sahaja baru aku memberanikan diri mengarang novel.” Hal ini memperlihatkan bahawa, kesungguhan Shahnon untuk menulis novel bermula seperti menulis cerpen juga, iaitu bermula dari satu idea pokok yang sudah dipastikan sikap terhadapnya, memastikan pula matlamat terhadap sikap itu, meletakkannya pada satu latar yang cocok dalam segala bentuk sebelum “dipasangkan” ceritanya. Mengikut Shahnon lagi (1979:4), novel ialah satu bentuk pentafsiran hidup manusia menerusi satu bentuk sastera, iaitu cereka. Ia adalah satu rangkuman tiga faktor utama yang timbal-menimbal antara satu dengan yang lain, iaitu pengalaman peribadi, realiti rencaman hidup dan imaginasi.

Daripada rentetan pengalaman Shahnon inilah menjadi bibit yang mendorong penulis untuk menulis novel. Penulis merasakan sudah mempunyai idea yang mencukupi untuk mengembara dalam ruang penulisan sebuah novel sulung yang berkesan. Berdasarkan pembacaan yang teliti daripada beberapa buah novel tulisan Shahnon Ahmad, A. Samad Said, Pramoedya Ananta Toer, Ibrahim Omar, dan beberapa penulis yang lain, penulis mendapat kekuatan untuk menghasilkan sebuah novel. Penulis tertarik pada novel Ranjau Sepanjang Jalan, bagaimana Shahnon membawa elemen alam untuk menghidupkan watak dan perwatakannya. Penulis juga kagum dengan gaya penulisan A. Samad Said yang melukiskan suasana alam di Singapura dan memaparkan persekitaran Kampung Kambing dengan teliti sekali. Novel Salina bagi penulis sangat berjaya dengan unsur alamnya yang begitu berkesan dalam menghidupkan suasana cerita. Sama halnya dengan Keluarga Gerilya karya Pramoedya, walaupun latar konflik atau perang yang singkat, tetapi alam banyak membantu menghidupkan kisah yang dipaparkan dengan berkesan sekali. Selain itu, dalam novel Desa Pingitan karya Ibrahim Omar, suasana desa yang aman damai membangkitkan naluri yang indah dengan realiti kehidupan tradisional dalam sebuah kampung yang menjadi latar dalam novel tersebut.

Lahirnya idea untuk menulis Warna Sebuah Lembah banyak didorong oleh persekitaran alam, ulang-alik penulis ke tempat kerja dan kesibukan panorama Kuala Lumpur itu sendiri. Inilah “asas utama” bagaimana elemen alam memainkan peranan menyalakan dorongan untuk menulis sebuah novel. Asas utama inilah yang merendang dan menjadi ranting yang lebih lengkap berkaitan alam, sehingga terciptanya Warna Sebuah Lembah. Bertolak daripada asas utama pembentukan alam ini, beranting dan merendanglah elemen-elemen lain yang saling lengkap-melengkapi dengan pembentukan alam yang lebih terperinci. Rahimah A. Hamid (2017:73) memetik Emerson melihat alam sebagai penawar yang memberikan kesan positif kepada rohani dan jasmani manusia. Tegasnya lagi, alam ialah objek yang tidak statik, sebaliknya selalu mengalami perubahan. Justeru, keindahan alam boleh terus-terusan dinikmati oleh manusia, tanpa menimbulkan rasa jemu. Gejala-gejala perubahan alam yang rutin berlaku, misalnya pergantian musim, merupakan kesempurnaan fenomena yang mampu merangsang akal intelek manusia supaya berfikir secara rasional bahawa setiap kejadian itu ada tujuannya.

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

Peranan Alam Mempengaruhi Penulisan Novel Warna Sebuah Lembah (Bhg. 2)

_________________________

Osman Ayob sudah menghasilkan lebih 166 cerpen. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi