28 November 2023, 09:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persembahan teater dan seni puisi Nuansa Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2 akan dilangsungkan atas permintaan ramai ekoran kejayaan Nuansa Teaterikal Pasar di Bawah Tiang Lampu baru-baru ini.

Nuansa Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2 akan diadakan di Panggung Bandaraya Kuala Lumpur pada 23 Disember depan, bermula jam 8.30 malam.

Penganjurnya Katarsis Seni turut menjemput penyair yang juga tokoh teater tanah air, Datuk Dinsman bersama-sama pelakon, penyanyi dan komposer lagu puisi, Sani Sudin dan Adiwangsa Sukma; penyair-pelakon Pyanhabib; pendendang syair, Dr. Shafa’atussara, dan deklamator Lin Haslinaz membuat persembahan.

Pelakon drama televisyen terkenal Adam Lee bersama-sama Fairul Pujangga; Dr. Sifuart Bibet, Dr. Mohd. Zahuri, Moh Azam Rezali, serta pelajar Fakulti Muzik dan Seni Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) juga akan tampil di pentas.

Nuansa Pasar Seni di Bawah Tiang Lampu 2 dianjurkan dengan sokongan Yayasan Hasanah, Arts For All Seasons (ArtsFAS), Kementerian Kewangan Malaysia, Bleu Holdings, serta kerjasama dari Kolej Za’ba UPSI.

Sani dan Pyanhabib merupakan antara pengasas bacaan puisi di bawah tiang lampu Pasar Seni bersama-sama pelakon-pelukis Imuda, penyanyi-pelakon Siso dan Usop, serta pelakon terkenal Kamarool Haji Yusoff.

Kegiatan mereka yang digelari sebagai Penyair Tiang Lampu atau PETILAM itu mendapat sambutan hangat, yang kemudian membawa Sani, Siso dan Usop muncul sebagai kumpulan Kopratasa sehingga kini.

Ketika belum bergelar Sasterawan Negara, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan juga mantan editor Dewan Sastera, Allahyarham Sutung Umar RS pernah tampil mendeklamasikan sajak di bawah tiang lampu Pasar Seni itu.

Dr. Norzuraina Mohd. Nor

Penerapan puisi dalam pementasan ini bertepatan dengan salah satu matlamat penganjuran yang dijelaskan oleh penerbitnya, Dr. Norzuraina Mohd. Nor, iaitu menjadikan puisi, seni, sastera, dan budaya satu elemen akar umbi melalui apresiasi jiwa golongan muda.

“Matlamat lain ialah mahu memberi peluang kepada peserta mengetengahkan idea dan pandangan dalam aspek seni dan budaya, selain membentuk mahasiswa dan mahasiswi yang menghargai aspek kesenian dan kebudayaan,” tambah Dr. Norzuraina yang juga Presiden Kelab Katarsis Seni.

Kata beliau lagi, penonton sasaran ialah kalangan siswa dan siswi universiti awam dan swasta, serta pelbagai lapisan masyarakat.

“Sehubungan itu, saya amat teruja kerana pementasan ini melibatkan mahasiswa dan mahasiswi dari UPSI secara langsung, yang berpotensi menjadi pelapis seni dalam pengurusan dan persembahan sesebuah pementasan.

“Insya-Allah, pementasan kali ini ditampilkan dengan idea lebih segar agar menepati cita rasa pelbagai lapisan masyarakat untuk mengangkat Pasar Seni yang sedikit sebanyak turut berjasa melahirkan nama-nama hebat dalam bidang sastera tanah air,” ujar Zuraina.

Justeru, beliau menjemput agar semua hadirin nanti menikmati pementasan arahan Nazihan Abdullah dengan bantuan Dr. Eddi Hashim sebagai pengurus pentas.

Tiket persembahan RM30 untuk orang awam dan RM15 bagi pelajar, dan boleh dibeli dengan mengimbas QR Code Googleform pada poster program. Tiket yang dibeli pada hari persembahan bergantung pada kekosongan yang akan dimaklumkan di media sosial nanti.

Kredit Foto: Katarsis Seni

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.